Rencana
6 Filem terbaik Tan Sri P. Ramlee sepanjang zaman


Tarikh disiarkan: 31 Ogos 2019


Masihkah anda ingat dialog-dialog popular dalam filem-filem Tan Sri P. Ramlee ini?

Biarpun tahun berganti tahun, namun karya-karya filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tidak pernah lekang dek zaman dan masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

Lihat sahajalah sehingga kini filem-filem Seniman Agung Negara ini masih diminati ramai dan terus ditonton oleh semua lapisan umur. Malah filem-filem beliau masih disiarkan di kaca televisyen. Ternyata kehadiran seniman ini telah mengubah industri perfileman dan muzik tanah air.

P. Ramlee atau nama sebenar beliau, Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, merupakan seorang pelakon, pengarah, penyanyi, pemuzik dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang.


Filem pertama arahan P. Ramlee adalah "Penarek Becha" 1955 yang kemudiannya terpilih sebagai filem terbaik dan sekaligus menjadikan beliau sebagai pengarah terbaik pada tahun 1956.

Seumur hidup beliau, P. Ramlee telah berjaya menghasilkan sebanyak 66 buah filem dan 401 buah lagu. Antara karya filem terkenal arahan beliau ialah "Ahmad Albab", siri filem "Bujang Lapok" dan "Do Re Mi", "Ibu Mertua-ku", "Labu dan Labi", "Madu Tiga", "Nujum Pak Belalang", "Tiga Abdul" dan banyak lagi.

Dalam bergelak ketawa dan menangis menonton filem-filem beliau, P. Ramlee turut menyelitkan pengajaran dan sindiran yang boleh dijadikan iktibar buat masyarakat.

Bagi penulisan kali ini, Cinema Online akan menyingkap semula antara enam buah filem terbaik yang pernah dipersembahkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

"Pendekar Bujang Lapok"

"Hei mambang kuning mambang merah mambang puteh mambang biru mambang coklat mambang hitam mambang biru air laut..."

Masihkah anda ingat dialog lucu ini? Ia dituturkan oleh P. Ramlee dalam babak di mana Ramlee, Sudin (S. Shamsuddin) dan Ajis (Aziz Sattar) ingin berguru dengan Pendekar Mustar di rumahnya. Filem ini adalah salah satu di antara siri filem "Bujang Lapok" terkenal yang diarah dan dilakonkan oleh P. Ramlee. Ia mengetengahkan tema dunia samseng Melayu zaman dahulu yang mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Sudah kita tahu bahawa P. Ramlee gemar menyelitkan sindiran dan pengajaran dalam setiap filem yang dibikin oleh beliau. Ingat lagi babak pada awal filem di mana kamera memberi fokus kepada tiga orang tua yang hanya melihat pergaduhan yang berlaku di jeti sambil menghembus asap rokok? Dari situ kita dapat lihat P. Ramlee ingin menggambarkan masyarakat Melayu pada zaman itu atau zaman sebelum kemerdekaan Tanah Melayu yang tidak berani bangun menetang penindasan penjajah dan hanya mampu melihat selama 500 tahun dijajah tanah bumi sendiri.

Filem ini turut menggambarkan masyarakat kampung yang kurang berkemampuan dan ditindas oleh orang kaya mempunyai keberanian untuk bangkit semula. Selain itu, babak di mana Bujang Lapok pergi ke sekolah orang-orang tua yang buta huruf menunjukkan bahawa menuntut ilmu tidak mengenal usia.

Tahun ditayangkan: 1959

"Nujum Pak Belalang"

"Belalang! Kau buatkan bapak secawan kopi Belalang.. Kopi?? Kopi mana ada pak.. dah berapa tahun kita tak minum kopi.. Ehhh.. engkau tumbuklah arang-arang dekat dapur tu belalang.. kemudian engkau bancuh dengan air sejuk.. asal hitam macam kopi jadilah..."

Itu adalah sebahagian dialog yang dituturkan oleh watak Pak Belalang dan anaknya Belalang dalam salah satu babak ikonik dalam filem ini yang dilakonkan oleh P. Ramlee dan Bad Latiff. Pak Belalang kemudiannya menyamar sebagai seorang ahli nujum bagi memperdayakan orang kampung demi mendapatkan upah. Ternyata nasib Pak Belalang seperti tikus jatuh di beras akhirnya.

Diangkat dari cerita dongeng yang berlatarbelakangkan budaya masyarakat Melayu lama, filem klasik ini mengetengahkan genre komedi. Buat pengetahuan umum, filem ini berjaya menjuarai Filem Komedi Terbaik di Festival Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun.

Antara pengajaran yang ingin disampaikan dalam filem ini ialah taat kepada pemimpin seperti mana Pak Belalang taat kepada Sultan negeri Beringin Rendang, berfikiran positif serta jangan meletakkan masa depan kita di tangan orang lain.

Tahun ditayangkan:
1959

"Labu dan Labi"

"Allah, pecah juga harta aku Labu.. Yang sebetulnya encik, saya ada sawan encik. Bila terpekik saja, sawan saya datang encik. Kerana penyakit sawan kau tu.. papa lah aku Labu. Tidak encik, lain tahun nanti sawan saya kasi kaya encik."

Itulah sedikit sedutan yang dipetik dari filem "Labu dan Labi" yang dibintangi oleh P. Ramlee, M. Zain dan Udo Omar. Jika diimbas semula, boleh dikatakan dialog-dioalog yang terdapat dalam filem ini agak kasar walaupun ia berunsur komedi. Wataknya diinspirasikan dari pasangan komedi Hollywood Laurel dan Hardy.

Filem yang dibikin di Singapura ini menceritakan kisah kehidupan Labu dan Labi, dua orang pembantu rumah yang penuh dengan imaginasi pelik dan bekerja di rumah seorang lelaki kaya tetapi bersifat bakhil iaitu Haji Bakhil bin Haji Kedekut.

Menerusi filem ini, P. Ramlee ingin menyindir golongan feudal yang mengambil kesempatan dan menindas golongan pekerja. Sikap Haji Bakhil yang tidak adil kepada pekerjanya sepatutnya dijadikan pengajaran dan dielakkan oleh golongan majikan masa kini.

Tahun ditayangkan: 1962

"Ibu Mertua-ku"

"Kassim Selamat? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Majistret? Ahli muzik? Memang pantang datuk nenek aku ahli muzik!"

Pasti terngiang-ngiang suara Nyonya Mansoor apabila membaca dialog ini bukan? Itulah antara herdikan yang diterima oleh Sabariah daripada ibunya kerana menolak calon suami pilihan ibunya sehinggakan dia dibuang keluarga.

Filem ini adalah filem arahan P. Ramlee yang mengambil masa paling lama untuk disiapkan iaitu enam bulan. Watak Nyonya Mansoor dilakonkan oleh Mak Dara kerana P. Ramlee menganggap hanya wanita itu yang boleh menjayakan watak seorang ibu mertua yang kejam dengan sempurna.

Watak Nyonya Mansoor menunjukkan sifat seorang ibu yang terlalu mengongkong anaknya namun ia agak rasional kerana dia ingin melihat anaknya mempunyai masa depan yang senang. Ia juga menunjukkan perbezaan dua darjat yang sangat ketara seperti mana yang berlaku pada zaman sekarang.

Tahun ditayangkan: 1962

"Madu Tiga"

"Malam ini Abang Jamil pulang ke rumah Kak Tipah, malam esok rumah Cik Hasnah, malam lusa rumah Ani. Haa begitulah seterusnya sampai Abang Jamil mampus. Setuju?"

Filem ini membawa tema yang agak berbeza dari filem-filem P. Ramlee yang sebelumnya iaitu mengenai isu poligami. Jika dilihat sekarang, memang benar isu poligami banyak diperkatakan dan berleluasa. Selain itu, sifat manusia seperti 'ada udang di sebalik batu' juga dilihat menerusi watak yang digalas oleh P. Ramlee.

P. Ramlee membawa watak Jamil yang sudah sekian lama mendirikan rumah tangga dengan Latifah, namun bercadang untuk memperisterikan Hasnah dan Rohani. Ketiga-tiga wanita itu tidak tahu bahawa mereka bermadu sehinggalah mereka bertiga mula berkawan.

Sedikit fakta mengenai filem ini, idea asal dan jalan cerita datang daripada S. Kadarisman selepas dia berbaik dengan P. Ramlee. Sebelumnya, S. Kadarisman dikatakan cemburu dengan kejayaan P. Ramlee namun perasaan itu hilang selepas P. Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem "Antara Dua Darjat".

Tahun ditayangkan: 1964

"Tiga Abdul"

'Cerita Paling Nakal Daripada Segala Kenakalan Yang Pernah Dinakal-nakalkan!'

Ternyata slogan yang terpapar di bahagian atas poster filem ini benar. Filem ini merupakan filem terakhir arahan dan lakonan P. Ramlee di bawah syarikat produksi Malay Film Productions.

Seperti filem-filem sebelumnya juga, tema anti-feudal masih dikekalkan oleh P. Ramlee. P. Ramlee telah mengambil S. Kadarisman berlakon di sampingnya dalam filem ini.

Judul asal filem ini adalah "Abdul Wahab Abdul Wahib Abdul Wahub" sebelum ditukarkan kepada "3 Abdul" sekaligus menandakan filem pertama P. Ramlee yang menggunakan angka dalam judulnya.

Pengajaran yang ingin disampaikan dalam filem ini adalah sikap tamak manusia yang terhadap harta hingga meretakkan hubungan sesama sendiri. Selain itu, P. Ramlee turut menyelitkan sedikit elemen sejarah iaitu kekhalifahan Turki Uthmaniyah yang pernah menaungi umat islam sebelum dunia Islam dijajah.

Tahun ditayangkan:
1964

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Nujum Pak Belalang (Melayu) (22 Ogos 2019)
Madu Tiga (Melayu) (24 Ogos 2019)
Ibu Mertuaku (Melayu) (23 Ogos 2019)