Rencana
10 Lagu 'evergreen' Bollywood yang masih diminati ramai


Tarikh disiarkan: 23 April 2019


Adakah anda salah seorang peminat lagu Bollywood?

Memang tidak lengkaplah filem Bollywood tanpa lagu-lagu dimainkan di dalamnya. Jika sebut saja judul filem terkenal Bollywood, pasti lagunya terngiang-ngiang dalam fikiran.

Biarpun sudah berdekad sejak ditayangkan, namun lagu-lagu dari filem Bollywood ini masih diminati ramai dan tidak lapuk dek zaman.

Tidak kurang juga sesetengah stesen radio tempatan yang masih rancak memutarkan lagu-lagu tersebut bagi hiburan semua pendengar.


Malahan, ada majlis perkahwinan yang dibuat bertemakan Bollywood. Dari segi pakaian hinggalah ke acara tarian dan nyanyian, peminat pasti tidak mahu ketinggalan untuk mengisi aura romantik, rentak gendang dan alunan lunak penyanyi Bollywood dari seleksi lagu-lagu yang menggamit memori percintaan.

Jadi kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan lagu-lagu popular Bollywood yang masih disukai peminat sehingga kini.

"Kuch Kuch Hota Hai"

Salah satu filem yang tidak asing lagi dari kalangan peminat Bollywood sudah tentunya filem "Kuch Kuch Hota Hai" yang menampilkan barisan pelakon terkemuka seperti Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukherji.

Sama seperti judul filem, lagu "Kuch Kuch Hota Hai" masih diminati ramai biarpun sudah lebih dua dekad sejak filem itu ditayangkan. Udit Narayan dan Alka Yagnik merupakan penyanyi asal lagu ini.

Alunan rancak lagu ini pasti membuatkan pendengar terhibur, termasuklah kanak-kanak yang seringkali dilihat menari mengikut rentak lagu ini.

Pada 2012, lagu ini telah diundi sebagai lagu soundtrack filem paling popular NDTV. Jumlah tontonan di YouTube sebanyak 29 juta kali juga menunjukkan lagu ini masih menjadi pilihan ramai untuk didengari. Itu belum lagi dikira stesen radio memainkan lagu ini selain di majlis-majlis perkahwinan.

Soundtrack filem ini turut memenangi pelbagai anugerah seperti Star Screen Awards, Zee Cine Award & Bollywood Movie Awards untuk pengarah muzik terbaik bagi Jatin Lalit.

"Bole Chudiyan"

Dari filem "Kabhi Khushi Kabhie Gham...", lagu rancak kegemaran ramai dalam filem ini pastinya "Bole Chudiyan". Bukan sahaja terkenal dalam kalangan peminat, malah orang yang tidak menonton filem Bollywood juga pasti tahu akan lagu ini.

Bilangan tontonan di laman YouTube yang mencecah lebih 356 juta sahaja sudah meletakkan lagu ini di atas carta lagu-lagu terbaik Bollywood sepanjang zaman. Konsep muzik video lagu ini bertemakan festival Karva Chauth untuk meraikan wanita Hindu selepas empat hari bulan purnama dalam bulan Kartika.

Barisan penyanyi bagi lagu ini ialah Amit Kumar, Sonu Nigam, Alka Yagnik, Udit Narayan dan Kavita Krishnamurthy. Filem "Kabhi Kushi Kabhie Gham..." menampilkan Shah Rukh Khan, Amitabh Bachchan, Kajol, Kareena Kapor dan Hrithik Roshan sebagai peneraju utama.

"Dhoom Machale Dhoom"

Filem aksi thriller, "Dhoom 3" arahan Vijay Krishna yang dibintangi Aamir Khan dan Katrina Kaif ini mendapat sambutan hangat oleh peminat filem Bollywood. Antara lagu yang menjadi kegemaran ramai dalam filem ini adalah "Dhoom Machale Dhoom" yang dinyanyikan oleh Aditi Singh Sharma.

Alunan dan rentak muzik yang rancak ini pasti membuatkan pendengar ingin turut menari seperti Katrina dalam muzik video yang mempunyai 36 juta jumlah tontonan di YouTube.

Tambahan lagi, ruangan komen bagi lagu ini penuh dengan komen peminat tentang filem dan muzik video "Dhoom Machale Dhoom" sehingga ke hari ini. Rata-rata mereka memuji kehebatan tarian Katrina Kaif.

"Humko Humise Chura Lo"

Siapa peminat filem "Mohabbatein" pasti tahu akan lagu "Humko Humise Chura Lo" dimana dalam muzik videonya terserlah keserasian Shah Rukh Khan dan aktres jelita Aishwarya Rai.

Penyanyi asal kepada lagu ini ialah Lata Mangeshkar, Udit Narayan dan tontonan di YouTube sudah mencapai lebih 30 juta tontonan dari peminat-peminat filem ini. Jika inginkan kelainan di majlis perkahwinan, bolehlah putarkan lagu ini bagi mencetus suasana romantis.

"Dil To Pagal Hai"

Judul lagu yang sama dengan judul filemnya pada 1997, "Dil To Pagal Hai" adalah salah satu lagu terbaik bagi pencinta muzik Bollywood yang dibawa oleh Lata Mangeshkar dan Udit Narayan.

Seperti lagu-lagu yang lain, lagu ini turut disenaraikan untuk lagu pilihan terbaik peminat filem Bollywood. Jumlah tontonan di YouTube pula sudah mencecah 44 juta, bukti peminat masih menyukai lagu ini sehingga sekarang.

Filem "Dil To Pagal Hai" juga merupakan filem bergenre musikal yang dibintangi Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit, Karisma Kapoor dan Akshay Kumar.

"Yeh Ladka Hai Allah"

Sebuah lagu perkahwinan dipetik dari filem "Kabhi Khushi Kabhie Gham..." atau K3G, menampilkan suara lunak Alka Yadnik dan Udit Narayan. Filem pecah panggung Bollywood ini adalah salah satu filem terbaik di India yang sesuai ditonton seisi keluarga.

Tidak hairanlah ia juga terkenal di Malaysia dan negara-negara lain. Peminat juga tentunya menghafal bait-bait lagu ini. Manakan tidak, tontonan di YouTube sahaja sudah cecah lebih 120 juta.

Peminat juga turut memberi komen bahawa lagu "Yeh Ladka Hai Allah" memberi nostalgia zaman kanak-kanak mereka yang sering menonton filem kegemaran ramai ini.

"Kabhi Khushi Kabhie Gham..."

Bukan sahaja filemnya menjadi pilihan ramai, lagu yang diberi tajuk sama juga turut menambat hati peminat filem Bollywood. Lagu dendangan Lata Mangeshkar ini berkonsepkan kekeluargaan seperti yang ditonjolkan dalam filem tersebut.

Menampilkan babak di mana Shah Rukh Khan turun dari helikopter untuk pulang ke pangkuan keluarganya, lagu ini memberi impak kepada lebih 26 juta penonton di YouTube.

Ada komen peminat yang menyatakan mereka terharu dan mengalirkan air mata apabila mendengar semula lagu ini.

"Saajanji Ghar Aaye"

Lagu romantis "Saajanji Ghar Aaye" dari filem "Kuch Kuch Hota Hai" atau KKHH adalah salah satu lagu yang sering dimainkan di majlis perkahwinan sehingga ke hari ini. Sebanyak 92 juta tontonan telah dicatat di YouTube untuk muzik video lagu ini.

Ia dimainkan dalam filem ketika babak Salman Khan ingin bertunang dengan Kajol. Suara penyanyi bagi lagu terkenal ini terdiri daripada Kumar Sanu, Alka Yagnik dan Kavita Krishnamurthy.

"Janam Janam"

Walaupun filem "Dilwale" kurang mendapat sambutan yang tinggi di India seperti filem-filem lama Shah Rukh Khan, namun lagu dalam filem ini berjaya menambat hati peminat antarabangsa.

Tajuk lagu yang diberi iaitu "Janam Janam" telah dipersembahkan oleh Arijit Singh dan Antara Mitra. Filem aksi yang dilakonkan oleh gandingan mantap Shah Rukh Khan dan Kajol ini berkisar tentang konflik keluarga di antara pasangan kekasih.

Menarik lagi, artis baru tempatan, Sheryl Shazwanie, telah menggubah lagu ini ke Bahasa Melayu dan mendapat lebih 4 juta tontonan di YouTube manakala muzik video lirik lagu asal mencecah 96 juta tontonan.

"Gerua"

"Gerua" juga merupakan single dari filem "Dilwale" yang dinyanyikan oleh penyanyi "Janam Janam", Arijit Singh dan Antara Mitra. Berbanding lagu "Janam Janam", lagu ini lebih laris dalam kalangan peminat dengan tontonan di YouTube mencapai lebih dari 258 juta.

Jelas bahawa peminat jatuh cinta akan lagu ini kerana ada yang menulis di ruangan komen YouTube yang mereka mendengar lagu ini setiap hari. Selain itu, Sony Music India turut menyatakan lokasi penggambaran muzik video lagu ini yang dibuat di Iceland.

Jangan terkejut kerana lagu popular ini juga terdapat dalam versi Bahasa Melayu seperti "Janam Janam". Lagu berjudul "Warna Cinta" ini dibawa oleh gandingan vokal Aliff Aziz dan aktres manis Kilafairy dihasilkan oleh Sony Music Malaysia.

Penulis: Nisa Irina