Rencana
5 Selebriti lelaki Bollywood dengan pendapatan tertinggi


Tarikh disiarkan: 12 Ogos 2019


Siapakah antara mereka yang menjadi idola Bollywood anda?

Industri filem Bollywood merupakan salah satu industri hiburan terbesar dan dilihat semakin kukuh di peringkat global. Berpangkalan di Mumbai, syarikat-syarikat produksi di sana ialah pengeluar filem terbesar di India serta salah satu yang terbesar di dunia sejak tahun 1990-an lagi.

Dunia Bollywood tidak kurang hebatnya dari Hollywood. Tahun demi tahun, industri filem Hindi telah melahirkan ramai selebriti berbakat besar yang menyaji peminat dan penonton dengan filem-filem pecah panggung dan kualiti lakonan yang hebat.


Sudah tentu jika sudah bergelar selebriti, bayaran yang diterima bagi membintangi sesebuah filem pasti tinggi. Malah boleh menjangkau hingga angka berjuta-juta. Jadi tidak hairanlah jika ada di antara mereka yang disenaraikan dalam carta selebriti terkaya di dunia kerana memiliki kemewahan yang luar biasa.

Menerusi artikel kali ini, Cinema Online akan menyenaraikan lima orang selebriti lelaki Bollywood dengan pendapatan paling tinggi sepanjang berkecimpung dalam karier mereka.

Akshay Kumar

Digelar 'Khiladi of Bollywood' yang bermaksud individu pintar, nama Akshay Kumar tercatat di tangga paling atas bagi carta ini selepas mencatat sejarah apabila tersenarai sebagai satu-satunya selebriti India dalam Selebriti Terkaya Di Dunia Forbes 2019.

Filem yang dibintangi Akshay dengan pulangan paling tinggi ialah filem "Pad Man", iaitu sebanyak 208 Crores (sekitar RM123 juta) tercatat bagi kutipan dari seluruh dunia. Filem itu diterbitkan oleh Akshay dan isterinya, Twinkle Khanna di bawah tenaga kerja beberapa buah syarikat produksi.

Menyingkap semula karier Akshay, kita dapat lihat dia telah banyak membintangi watak bagi filem-filem biopik yang berjaya mencapai kutipan pecah panggung. Akshay juga merupakan seorang penerbit dan pengasas kepada dua buah syarikat produksi iaitu Hari Om Entertainment dan Grazing Goat Pictures.

Selain itu, Akshay juga memperoleh pendapatan sampingan apabila diangkat menjadi duta bagi jenama dan label terkenal. Dalam sumber pendapatan lain, Akshay memperoleh keuntungan dengan menjadi seorang pakar aksi lagak ngeri yang dilakonkan dalam filem-filem aksi.

Anggaran pendapatan sebuah filem: 35 Crores – 40 Crores (sekitar RM20 juta – RM23 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM166.8 juta

Salman Khan

Siapa saja yang tidak mengenali hero Bollywood yang berbadan tegap dan berwajah macho ini? Mempunyai lebih daripada satu billion pengikut dan peminat, karya-karya oleh Salman Khan sering mendapat sambutan yang menggalakkan serta diterima baik di pasaran filem seluruh dunia.

Tahun ini merupakan tahun yang sibuk bagi anak kepada penulis terkenal Salim Khan ini kerana dia mempunyai beberapa buah projek filem besar yang sedang diusahakan. Salman sering melancarkan filemnya pada Hari Raya Aidilfitri dan sudah tentu filem-filem tersebut berpotensi untuk mendapat kutipan pecah panggung.

Sebagai contoh, kutipan bagi filem "Tiger Zinda Hai" yang diterbitkan pada 2017 berjaya mencecah hingga 339 Crores (sekitar RM200 juta), dan filem "Bajrangi Bhaijaan" 2015 mendapat kutipan sebanyak 320 Crores (sekitar RM189 juta). Baru-baru ini, Salman telah melancarkan filem "Bharat" yang ditayangkan pada Aidilfitri dan ia juga mendapat pulangan yang memberangsangkan iaitu kira-kira 150 Crores (sekitar RM88 juta).

Anggaran pendapatan sebuah filem: 58 Crores – 60 Crores (sekitar RM34 juta – RM35 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM158.6 juta

Aamir Khan

Aamir Khan merupakan seorang aktor dan pembikin filem yang bekerja dalam satu filem pada satu masa maka sebab itu peminat menggelarnya 'Mr. Perfectionist' dalam industri Bollywood. Dia juga seorang yang sentiasa memberikan persembahan yang terbaik bagi memastikan kerjanya sempurna.

Pemilik nama Mohammed Aamir Hussain Khan ini telah berkecimpung dalam industri Bollywood selama lebih 30 tahun, menjadikan dia sebagai salah seorang pelakon paling berpengaruh dalam industri filem India.

Dalam memperkembangkan karier sebagai pembikin filem, Aamir telah menubuhkan syarikat produksi Aamir Khan Productions di mana filem-filem pecah panggung seperti "Secret Superstar", "Talaash" dan "Delhi Boy" telah diterbitkan.

Salah sebuah filem yang berjaya memecahkan rekod sepanjang karier Aamir adalah filem "Dangal" yang telah memenangi beberapa anugerah besar di festival-festival filem antarabangsa. Diterbitkan pada 2016, filem itu telah menjadi filem India dengan pulangan paling tinggi serta filem sukan dengan pulangan paling tinggi di seluruh dunia iaitu sebanyak 2,100 Crores (sekitar RM1.2 billion).

Anggaran pendapatan sebuah filem: 50 Crores – 60 Crores (sekitar RM29 juta – RM35 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM135.9 juta

Shah Rukh Khan

Salah satu nama yang tidak asing lagi dari dunia Bollywood pastinya 'King Khan of Bollywood' iaitu Shah Rukh Khan. Sebelum ini, Shah Rukh Khan merupakan selebriti Bollywood yang mencatat pendapatan paling tinggi namun kedudukannya telah 'dirampas' oleh Akshay Kumar.

Shah Rukh Khan dibayar tinggi atas kualiti lakonan yang hebat sejak dahulu lagi. Tampil dalam lebih dari 80 buah filem dan menerima pelbagai anugerah berprestij, jadi tidak hairanlah jika dirinya sentiasa menjadi pujaan ramai dari seluruh dunia sehingga kini.

Untuk pengetahuan ramai, Shah Rukh Khan tidak meletakkan caj kepada penerbit jika skrip sesebuah filem itu dilihat menarik baginya. Dia juga tidak akan meminta gaji selagi sesebuah filemnya mempunyai potensi untuk mendapat kutipan pecah panggung.

Namun pendapatannya bukan hanya bergantung kepada lakonan kerana Shah Rukh Khan juga merupakan seorang penerbit dan pengarah. Selain itu, Shah Rukh Khan pernah menjadi duta kepada beberapa buah jenama terkemuka di seluruh dunia sekaligus meningkatkan sumber pendapatannya.

Shah Rukh Khan adalah pengasas kepada Meer Foundation, sebuah organisasi yang membantu golongan wanita yang kurang bernasib baik dengan membina rangkaian sokongan.

Filem lakonan Shah Rukh Khan yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi adalah "Chennai Express" iaitu 227 Crores (sekitar RM134 juta). Diarahkan oleh Rohit Shetty, Shah Rukh Khan telah digandingkan bersama aktres Deepika Padukone dalam filem yang diterbitkan pada 2013 itu.

Anggaran pendapatan sebuah filem: 40 Crores – 70 Crores (sekitar RM23 juta – RM41 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM131.8 juta

Hrithik Roshan

Mempunyai kelebihan dalam menari, anak kepada aktor Rakesh Roshan iaitu Hrithik Roshan adalah salah seorang pelakon aksi serta penari paling terkenal dalam dunia Bollywood. Dia telah membuat debut menerusi filem "Kaho Naa Pyaar Hai" pada tahun 2000.

Antara filem lakonannya yang berjaya pecah panggung ialah "Koi Mil Gaya", "Dhoom 2", "Krrish", "Bang Bang", "Kabil" dan "Agneepath". Terbaru, terdapat laporan menyatakan bahawa Hrithik telah meminta bayaran yang agak tinggi bagi filem aksinya bersama Tiger Shroff iaitu "War".

Selain menjana pendapatan menerusi filem, Hrithik turut mengusahakan jenama pakaian miliknya sendiri. Bekas isterinya, Sussanne Khan juga merupakan seorang pereka fesyen. Dia turut diangkat menjadi duta kepada beberapa produk terkenal.

Anggaran pendapatan sebuah filem: 40 Crores – 48 Crores (sekitar RM23 juta – RM28 juta)
Anggaran pendapatan 2019: RM188.4 juta

Penulis: Nisa Irina