Rencana
Mampukah "Ejen Ali The Movie" cipta rekod kutipan baru?


Tarikh disiarkan: 17 November 2019

Penonton pasti tidak akan kecewa menonton
Penonton pasti tidak akan kecewa menonton "Ejen Ali The Movie" di pawagam nanti.

Selepas kejayaan dua buah filem animasi tempatan sebelum ini iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" dan "BoBoiBoy Movie 2", kini sebuah lagi filem animasi tempatan bakal menemui penonton tidak lama lagi iaitu "Ejen Ali The Movie".

Animasi yang dihasilkan oleh Wau Animation ini mula membuat debutnya menerusi siri animasi yang ditayangkan di TV3 pada tahun 2016, dan bersiaran selama dua musim sebelum mengorak langkah dengan menghasilkan filem animasi pertama mereka yang akan ditayangkan pada 28 November ini.


Siri animasi "Ejen Ali" ini bukan sahaja mempunyai peminat tegar di Malaysia, malah animasi ini sudah berjaya menembusi lebih 50 buah negara termasuk di rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV Indonesia dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Filem "Ejen Ali The Movie" ini berkisarkan mengenai Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi perisik bagi agensi perisikan yang dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristic Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System).

Jalan cerita untuk kanak-kanak & dewasa

Menurut pengarahnya yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation iaitu Usamah Zaid Yasin, cabaran pertama yang dihadapinya adalah menghasilkan jalan cerita yang bukan sahaja untuk tontonan kanak-kanak, tetapi juga untuk tontonan dewasa. Kenapa? Seperti anda sedia maklum, jika filem untuk kanak-kanak sudah pasti ibu bapa yang akan bawa anak-anak menonton, jadi jika jalan cerita yang ditampilkan dibuat untuk kanak-kanak sahaja, pasti ibu bapa yang menemani anak-anak mereka akan berasa bosan.

Oleh sebab itu, untuk filem pertama mereka ini pengarah cuba menghasilkan jalan cerita yang mana orang dewasa juga tidak bosan menonton. Ia bukanlah perkara yang mustahil untuk dilakukan kerana ia telah pun berjaya dihasilkan dan buktinya adalah "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" dan "BoBoiBoy Movie 2" yang mana ibu bapa turut terhibur menonton kedua-dua filem animasi itu. Jadi tidak mustahil untuk "Ejen Ali The Movie" juga mampu berbuat demikian.

Kualiti animasi untuk filem dipertingkatkan

Perkara paling penting dalam animasi adalah kualiti sesebuah animasi itu yang sangat penting untuk studio animasi kerana mereka sentiasa mahukan kualiti animasi mereka setaraf dengan animasi luar negara, dan ini sudah terbukti apabila kebanyakkan animasi tempatan sememangnya sudah setaraf dengan animasi luar negara. Menurut Usamah, untuk filem animasi pertama mereka, perkara utama yang mereka utamakan adalah kualiti animasi untuk "Ejen Ali The Movie" perlu lebih baik dari siri animasi. Banyak elemen teknikal yang diperkemas dengan menggunakan teknologi terbaru. Oleh itu, penonton sudah pasti tidak akan kecewa dengan kualiti animasi yang bakal ditampilkan dalam filem ini.

Bekerjasama dengan Primeworks Studios & dapat tajaan syarikat besar

Sejujurnya sekiranya sesebuah animasi itu tidak mempunyai peluang cerah untuk Berjaya, sudah pasti stesen televisyen atau pihak penaja tidak ingin terlibat kerana bimbang tidak mendatangkan keuntungan buat mereka, tetapi lain pula dengan animasi "Ejen Ali The Movie" ini kerana ia menarik minat stesen televisyen besar iaitu Media Prima menerusi Primeworks Studios sejak dari mula lagi kerana percaya dengan potensi animasi "Ejen Ali" ini. Pertaruhan mereka berjaya apabila siri animasi itu berjaya mendapat sambutan luar biasa daripada penonton tempatan dan luar negara.

Mereka tidak berhenti di situ sahaja, kerana Wau Animation bersama Primeworks Studios kemudian mengorak langkah dengan menghasilkan filem animasi pula. Umum sedia maklum untuk menghasilkan animasi memerlukan bajet yang agak besar. Sebagai contoh, untuk menghasilkan sebuah filem animasi ini boleh menghasilkan sebanyak lebih empat buah filem cereka sekiranya setiap sebuah filem menelan belanja RM1.5 juta. Bagaimanapun, Wau Animation dan Primeworks Studios tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan penaja atau pelabur kerana jenama "Ejen Ali" sememangnya sudah besar dan dikenali.

Untuk filem "Ejen Ali The Movie" ini, syarikat pembekal tenaga utama negara iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjadi penaja utama untuk filem animasi tersebut, selain beberapa syarikat besar lain seperti Mydin dan PediaSure yang percaya filem animasi ini mempunyai peluang cerah untuk mendapat kutipan pecah panggung, sekaligus mereka turut akan mendapat ROI (return of investment). Malah mereka juga sudah mempunyai perancangan untuk melakukan promosi besar-besaran termasuklah jelajah dan penjualan barangan eksklusif "Ejen Ali The Movie".

Jadi, mampukah "Ejen Ali The Movie" catat rekod baru kutipan filem tertinggi?

Apa yang penulis boleh katakan adalah tidak mustahil untuk filem animasi "Ejen Ali The Movie" ini untuk mencipta rekod kutipan baru memandangkan industri animasi tanah air kini sedang berkembang dengan begitu pesat sekali. Malah ia dibuktikan apabila dua buah filem animasi yang ditayangkan pada tahun ini dengan masing-masing mengutip RM26 juta dan RM30 juta. Jumlah ini akan terus meningkat selepas mereka mendapat jumlah kutipan dari beberapa negara lain yang turut menayangkan filem mereka. Bagaimanapun bagi pengarahnya Usamah, dia tidak meletak sasaran terlalu tinggi, sebaliknya hanya menyasarkan kutipan sebanyak RM20 juta memandangkan kos pembikinan filem "Ejen Ali The Movie" ini hanya menelan belanja sekitar RM6.5 juta. Apa yang penulis boleh katakan selepas menonton sedikit klip filem animasi ini, penonton yang akan menonton filem "Ejen Ali The Movie" di pawagam tidak akan kecewa kerana kualiti animasi yang ditampilkan cukup menakjubkan. Apa-apa pun teruskan memberi sokongan kepada industri filem tempatan.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Ejen Ali: The Movie (Melayu) (28 November 2019)





Ticket Pricing Guide