Rencana
"Motif" sebuah naskhah wajib tonton


Tarikh disiarkan: 24 September 2019

Poster filem "Motif" yang menampilkan barisan pelakon tersohor tanah air.
Poster filem "Motif" yang menampilkan barisan pelakon tersohor tanah air.

"Motif" mengisahkan tentang seorang anggota polis, Inspektor Dewi, yang ditugaskan untuk merungkai misteri disebalik kehilangan seorang remaja perempuan bernama Anna di sebuah pekan kecil di Tanah Merah.

Namun, kehadirannya tidak disenangi oleh penduduk pekan, termasuk rakan setugasnya, Inspektor Rizal. Selain itu, bapa Anna, Hussein, tidak percaya bahawa Inspektor Dewi mampu menjalankan tugasnya. Dalam pada cuba menyelesaikan masalah orang lain, dirinya juga tersepit dengan masalah peribadi.


Ternyata filem ini adalah suatu naskhah baru dan segar yang menggabungkan elemen misteri jenayah, thriller dan konflik poligami yang ingin pengarah sampaikan kepada para penonton di Malaysia.

Salah seorang bintang utamanya yang juga pelakon tersohor tanah air, Datuk Rosyam Nor, turut mengakui dia akan berasa menyesal jika menolak untuk berlakon dalam filem ini.

Jika ingin tahu lebih lanjut, Cinema Online akan menyenaraikan beberapa sebab untuk menyakinkan lagi pembaca ke pawagam untuk menonton filem ini.

Diarahkan oleh Nadiah Hamzah

Sudah sedia maklum bahawa industri perfileman tanah air kita diwarnai dengan beberapa orang pengarah wanita hebat seperti Erma Fatima, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Eyra Rahman, dan Allayarham Yasmin Ahmad.

Namun begitu, industri filem tanah air kita telah melahirkan seorang lagi pengarah wanita berbakat besar iaitu Nadiah Hamzah. Pada Jun lalu, Nadiah berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat gangsa bagi kategori Pesanan Khidmat Masyarakat di anugerah antarabangsa Cannes Lion 2019 di Perancis.

Sebelum ini, Nadiah terkenal dengah mengarah video-video iklan yang penuh mesej mendalam serta beberapa filem pendek seperti "Hi, I'm Julia", "Cure to Catastrophe" dan "Hujan Panas" yang dibintangi oleh pelakon Beto Kusyairy.

"Motif" merupakan filem cereka pertama arahan Nadiah yang mana dia berharap dapat membuka mata dan minda para penonton untuk menerima sebuah genre baru dalam industri filem tanah air.

Plot penuh dengan teka teki

Tahun demi tahun, kita dapat lihat industri filem tanah air banyak menghasilkan genre-genre filem yang sama iaitu seram, romantik, aksi dan komedi. Jadi dari situ pengarah berkeinginan untuk tampil dengan sebuah filem berunsurkan 'murder-mystery' dan diselitkan dengan konflik poligami.

Baru-baru ini penulis berpeluang untuk hadir ke malam gala tayangan perdana filem "Motif" dan sangat kagum dengan jalan cerita yang tidak dapat dijangka dalam filem ini. Ternyata pengarah berjaya membuatkan penonton keliru dan tidak dapat meneka siapakah antagonis sebenar sehinggalah ke penghujung filem ini. Sekiranya anda ingin tahu apa yang membuatkan penulis kagum dengan filem ini? Anda perlulah ke pawagam untuk menonton filem ini.

Sinematografi memukau

Sejujurnya, penulis merasakan naskhah ini difilemkan dengan begitu teliti dan berjaya memukau mata penonton dari awal hingga akhir. Sinematografi filem sangat bersesuaian dengan tema dan genre misteri filem. Syot yang diambil oleh jurukamera mampu membangkitkan 'mood' suspens serta membuatkan penonton dapat merasakan seperti mereka berada dalam situasi atau lokasi filem ini.

Tidak hairanlah jika penulis berpendapat sinematografi filem ini setanding filem antarabangsa kerana menurut pengarah, dia mendapat inspirasi melalui minatnya terhadap siri televisyen misteri jenayah Skandinavia yang sering ditontonnya.

Dibintangi barisan pelakon mantap

Buat pertama kalinya Datuk Rosyam Nor dan Sharifah Amani akan berkongsi skrin walaupun mereka berdua sudah lama berada dalam industri. Menarik bukan? Menurut Datuk Rosyam, selepas menonton filem ini, dia berasa bangga kerana dapat membintangi sebuah naskhah hebat yang dihasilkan oleh Nadiah Hamzah dan akan berasa menyesal jika menolaknya.

Begitu juga dengan Amani atau Nani, yang pertama kali dapat menggalas watak sebagai anggota polis. Nani memberitahu bahawa dia nampak visi dan idea yang berlainan berbanding filem-filem lakonannya sebelum ini. Mereka berdua dilihat dapat menjiwai watak masing-masing dengan jayanya.

Tidak lupa juga barisan pelakon lain yang membintangi filem ini iaitu Taqim Zaki, yang berjaya membuatkan penonton ketawa walaupun dalam situasi serius, Iedil Dzuhrie Alaudin, Emma Tosh, Azhan Rani, Sherie Merlis dan ramai lagi.

Jadi penulis berharap rakyat Malaysia dapat ramai-ramai pergi menonton serta menerima naskhah hebat dari Nadiah Hamzah ini, di mana dia berharap dapat mengubah minda dan membuka mata penonton untuk memberi ruang kepada genre baru dalam industri filem tempatan.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Motif (Melayu) (26 September 2019)