Rencana
Prestasi industri filem tempatan suku ketiga 2019


Tarikh disiarkan: 15 September 2019


Sudahkah anda menonton filem-filem ini?

Masa berlalu dengan begitu cepat sekali dan kini kita sudah pun memasuki suku ketiga untuk tahun 2019. Ternyata tahun ini merupakan tahun yang cukup menarik buat industri filem dan seni tanah air.

Ia bermula dengan pengumuman perlantikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) iaitu Dato' Hans Isaac dan Ahmad Idham. Perlantikan kedua-dua anak seni ini nyata mendapat sokongan daripada penggiat industri apabila mereka berjanji mahu berjuang untuk anak seni.


Beralih kepada industri filem tempatan pula, sehingga suku ketiga ini dapat melihat penyusutan dari segi jumlah filem tempatan yang ditayangkan berbanding tahun lalu.

Jadi kali ini Cinema Online ingin membuat sedikit rumusan mengenai prestasi industri perfileman tempatan untuk suku ketiga tahun ini.

Jumlah filem tempatan ditayangkan menurun sedikit dari tahun 2018

Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 20 buah filem tempatan ditayangkan seperti yang diambil dari laman sesawang FINAS, namun mengikut perkiraan penulis, sebanyak 24 buah filem yang mana empat buah filem lagi ditayangkan pada bulan Ogos tidak dimasukkan dalam senarai lagi.

Jumlah ini menyaksikan ada sedikit penurunan berbanding tahun 2018 apabila sebanyak 33 buah filem ditayangkan sehingga hujung Ogos. Penurunan jumlah filem bermakna jumlah kutipan juga berdepan sedikit penurunan.

Untuk tahun tahun 2018, jumlah kutipan 33 buah filem yang ditayangkan berjumlah lebih RM91 juta dengan penyumbang utama adalah filem "KL Special Force" (RM12.2 juta), "Hantu Kak Limah" (RM36 juta) dan "Munafik 2" (RM37 juta).

Manakala untuk tahun 2019 pula, kutipan 24 buah filem lebih kurang RM75 juta dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat dalam masa terdekat ini.

Walaupun jumlah kutipan dilihat agak menurun sedikit, namun ia tidak bermakna prestasi suku ketiga tahun ini merosot sebaliknya ia berpunca daripada kurangnya filem tempatan ditayangkan sepanjang tempoh lapan bulan ini jika hendak dibandingkan pada suku ketiga tahun lalu.

Semakin sedikit filem diterbitkan

Bagi anda yang mengikuti perkembangan industri filem tempatan sudah pasti anda menyedari yang sejak beberapa tahun ini jumlah filem yang dihasilkan semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Masalah ini berpunca daripada pihak penerbit filem yang sudah tidak berani lagi menghasilkan filem kerana bimbang tidak dapat mendapat keuntungan.

Berbeza dengan keadaan 10 tahun lalu apabila ramai penerbit berlumba-lumba menghasilkan filem sehinggakan ada di kalangan penerbit 'bergaduh' untuk mendapatkan slot tayangan di pawagam. Ketika itu, boleh dikatakan hampir setiap filem yang ditayangkan akan mendapat sambutan daripada penonton.

Bagaimanapun keadaan positif ketika itu nyata disalah guna oleh penerbit terutamanya penerbit filem baru yang mahu mengaut keuntungan mudah dengan menghasilkan filem bajet rendah dengan kualiti yang boleh dikategorikan sebagai 'filem sampah'. Keadaan ini berterusan dalam tempoh yang agak lama dan akhirnya zaman 'kejatuhan' industri filem tempatan mula berlaku dan sehingga kini ia masih lagi bergelut untuk menarik perhatian penonton untuk tonton filem tempatan di pawagam.

Jurang kutipan antara filem-filem terlalu besar

Rasanya penulis pernah menyuarakan masalah ini pada artikel-artikel sebelum ini tentang jurang kutipan yang diperoleh setiap filem amat besar sekali. Ya tidak dapat dinafikan beberapa filem tempatan berjaya mendapat kutipan puluhan juta ringgit sekaligus mencipta rekod dan sejarah tersendiri sekaligus membuatkan jumlah kutipan sepanjang tahun nampak meningkat secara kasarnya.

Tetapi tahukan anda penyumbang kepada kejayaan sehingga suku ketiga ini hanyalah enam buah filem daripada 24 buah filem yang ditayangkan ketika artikel ini ditulis yang menjadi penyumbang terbesar kepada mendapat jumlah kutipan tertinggi.

Antara filem yang mendapat jumlah tertinggi adalah "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" (lebih RM26 juta), "Misteri Dilaila" (RM9.4 juta), "A Journey Of Happines " (RM3.5 juta), "Amazing Spring" (RM3 juta), "Bikers Kental 2" (RM7.6 juta) dan yang terakhir "BoBoiBoy Movie 2" yang kini sudah meraih kutipan lebih RM27 juta dan masih lagi meningkat.

Manakala 18 buah filem lagi mendapat kutipan yang sangat rendah iaitu filem paling tak laku "Bella & Jamie" yang hanya mengutip sekitar RM9 ribu lebih sahaja. Manakala paling tertinggi pula filem "Tiada Tajuk" yang berjaya kutip RM503 ribu.

Harus diingatkan jumlah kutipan di panggung ini bukannya seratus peratus dapat kepada penerbit sebaliknya ia perlu dibahagi dua iaitu kepada pihak pawagam yang akan mengambil sekitar 50-60% serta cukai hiburan lagi. Ini bermakna filem "Bella & Jamie" hanya akan mendapat sekitar RM3,000 sahaja. Kalau hendak diikutkan bayaran untuk seorang pelakon sahaja lebih daripada RM3,000. Ini bermakna hampir kesemua 18 filem yang mendapat kutipan rendah ini menanggung kerugian besar sehingga mencecah tujuh angka. Ini satu situasi yang tidak bagus buat industri filem tempatan.

Jadi penerbit-penerbit filem tempatan perlu cari jalan penyelesaian supaya masalah ini dapat diselesaikan.

Cadangan untuk mengatasi masalah filem tak laku

Ini hanyalah cadangan dan pandangan peribadi penulis iaitu perlunya kolaborasi antara dua atau lebih rumah produksi untuk sebuah filem. Ini kerana dengan adanya kolaborasi ini kos pembikinan sesebuah filem tidaklah ditanggung sepenuhnya oleh sebelah pihak tetapi kedua-dua pihak. Dengan kolaborasi ini juga ia dapat memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menggunakan kepakaran masing-masing dalam memastikan filem yang dihasilkan berjaya.

Ambil sebagai contoh filem yang sedang ditayangkan ketika ini iaitu "Sangkar". Filem bertemakan mixed martial arts atau MMA ini dihasilkan menerusi kolaborasi empat gergasi produksi filem tanah air iaitu Infinitus Gold, Astro Shaw, Primeworks dan mm2 Entertainment.

Oleh itu, penerbit-penerbit filem 'kecil' yang lain perlu melihat kolaborasi antara keempat-empat peneraju dunia perfileman tempatan ini sebagai contoh yang perlu diikuti. Dengan ini, penulis yakin kualiti filem tempatan akan bertambah lebih baik lagi. Selain itu ia juga akan membuka peluang untuk produksi tempatan untuk berkolaborasi dengan produksi luar negara untuk menghasilkan filem sekaligus akan berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Penulis: Ashraf Nasser