Rencana
Remy Ishak dedah kisah silam sebelum bergelar pelakon


Tarikh disiarkan: 14 Julai 2019


Remy Ishak tidak pernah impi jadi pelakon popular.

Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei bin Ishak merupakan salah seorang pelakon lelaki terkenal dan sememangnya tidak asing lagi dalam dunia seni tanah air.

Pelakon ini mula dikenali ramai sejak berganding dengan Tiz Zaqyah untuk membintangi drama fenomena TV3 berjudul "Nur Kasih" yang diarahkan oleh Kabir Bhatia pada 2009.


Walau bagaimanapun, perjalanan Remy untuk bergelar seorang anak seni bukanlah semudah yang disangka kerana ia disertakan dengan pahit getir kehidupannya.

Jadi kali ini Cinema Online akan membawa anda menyingkap kisah dan latar belakang Remy Ishak dengan lebih lanjut.

Kerah tenaga buat pelbagai kerja

Sebelum bergelar selebriti terkenal, anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini berhempas pulas mencari rezeki dengan melakukan pelbagai kerja berat. Kerja yang dilakukan termasuklah bekerja di pasar pagi dengan menjual ikan dan ayam untuk membayar duit yuran persekolahan.

Selain itu, dia turut menoreh getah, menjadi kelindan lori, buruh kasar serta membuat kerja landskap di tepi jalan dengan menanam pokok dan membina jambatan. Remy nekad untuk menyara keluarga terutama adik-adiknya yang masih bersekolah.

Pada usia 18 tahun, Remy cuba nasib dengan mencari kerja di Kuala Lumpur dan terpaksa tidur di masjid untuk berteduh dari panas dan hujan. Akhirnya dia telah diterima bekerja di Hotel Mandarin Oriental dengan bantuan dari rakannya.

Namun pekerjaannya sebagai pengemas bilik hotel tidak lama kerana diberhentikan akibat kemelesetan ekonomi. Kemudian dia bekerja di sebuah kelab malam sebagai pelayan tetapi nekad untuk berhenti kerana hatinya tidak tenteram.

Remy meneruskan kerja baru sebagai pelayan di sebuah kafe di KLCC dan berpeluang menjadi pelayan di hotel lima bintang. Pendapatannya semakin bertambah selepas diberi kepercayaan oleh pihak hotel untuk menjaga tetamu VIP.

Tidak impi jadi pelakon

Remy mengakui bahawa dia hanyalah seorang pemuda kampung yang tidak pernah menyimpan impian untuk menjadi pelakon terkenal. Pada tahun 2005, Remy telah menghadiri uji bakat lakonan sebuah filem arahan Osman Ali berjudul "Akuarium Cinta".

Bagaimanapun, filem itu gagal disiapkan menyebabkan Remy kecewa dan menggugurkan hasratnya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

Ternyata Osman Ali tidak mensia-siakan bakat Remy apabila dia dipilih untuk membawa watak bekas mat rempit dalam filem "Anak Halal" yang berjaya mencapai kutipan pecah panggung sekaligus mengangkat nama Remy Ishak di mata rakyat Malaysia termasuk para karyawan filem.

Pada 2010, Remy digandingkan dengan Zul Ariffin menerusi filem aksi permotoran pecah panggung arahan Syamsul Yusof berjudul "Evolusi KL Drift 2".

Dilihat semakin ligat di layar lebar, Remy kembali berkolaborasi dengan Osman Ali menerusi filem "Jiwa Taiko". Remy turut terlibat dalam sebuah filem biografi fantasi "29 Februari" arahan Edry Abdul Halim di bawah syarikat KRU Studios.

Terus mengorak langkah dalam dunia filem, kini Remy mempunyai lebih 20 buah filem dalam genggamannya termasuk filem-filem hebat seperti "Nur Kasih The Movie", "Sejoli: Misi Cantas Cinta", "CEO", "Pilot Café", "Pulang" dan "Bu, Kasih Suci".

Pada tahun ini, Remy bakal muncul dalam tiga buah filem terbaru iaitu "The Legend of Pontianak", "Proksi" dan bergandingan dengan Zul Ariffin menerusi filem "Sangkar".

Drama, telefilem dan fenomena "Nur Kasih"

Walaupun telah menjayakan beberapa buah drama sejak 2007, namun kemuncak populariti Remy dilihat dalam drama fenomena TV3 "Nur Kasih" yang menyatukannya semula dengan Tiz Zaqyah.

Dalam drama itu, Remy membawa watak Adam, anak bongsu kepada Ustaz Hassan dan Hajah Khadijah. Drama arahan Kabir Bhatia itu menerima sambutan yang menggalakkan serta merekod rating tertinggi iaitu sebanyak 5 juta tontonan pada 2011.

Sejak itu, Remy dipilih menjadi peneraju drama-drama terbitan saluran televisyen tempatan seperti "Cinta Jangan Pergi", "#Antidot", "Cik Serba Tahu", "Kekasih Paksa Rela" dan banyak lagi.

Remy sekali mencetuskan fenomena apabila peminat suka akan lakonannya dengan pelakon jelita Mira Filzah menerusi drama "Lelaki Kiriman Tuhan" dan "Pujaan Hati Kanda" yang sekali lagi berjaya mendapat rating belasan juta tontonan.

Beralih ke telefilem pula, Remy telah membintangi lebih 50 buah telefilem sehingga kini. Antaranya ialah "Ku Pinang Kau Dengan Bismillah", "Anak Aku Bukan Milik Aku", "Takdir Cinta", "Tercipta Untukku", "Siapa Dia Sebenarnya" dan yang terbaru "Pujaan Hati Kanda Raya".

Selain watak serius dan romantik, Remy juga berbakat dalam menjayakan genre komedi apabila pernah berlakon dalam telefilem 2010 berjudul "Sabar". Dalam telefilem itu, Remy mencuit hati penonton dengan wataknya sebagai Hussin Bangla yang mahir menjahit baju.

Anugerah dan pengiktirafan

Kejayaan Remy dalam bidang lakonan yang diceburi sejak dahulu melayakkannya dicalonkan serta memenangi anugerah. Sejak tahun 2009, Remy telah menjadi calon dalam beberapa kategori anugerah berprestij dan memenanginya. Antara anugerah tersebut ialah Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Festival Filem Malaysia, Anugerah Stail EH!, Anugerah Blokbuster, Anugerah Melodi dan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. "Nur Kasih The Movie dan "Pulang" ialah antara naskhah yang berjaya dicalonkan dalam anugerah-anugerah tersebut.

Kontroversi

Jika sudah bergelar selebriti, mana mungkin seseorang itu dapat lari dari dihimpit gosip dan kontroversi. Begitu juga dengan Remy di mana dia telah dipilih untuk berlakon dalam filem pendek bertemakan cinta sama jenis berjudul "Comolot" pada 2007. Akibatnya, Remy menjadi bahan kritikan dan tohmahan orang ramai ketika itu.

Satu lagi isu bangkit apabila Remy dilaporkan telah mencederakan seorang pelakon wanita di kediaman pelakon terbabit. Pembantu rumah kepada pelakon itu dikatakan menjadi saksi insiden tersebut. Berikutan isu tersebut, ibu kepada pelakon itu telah menulis satu surat terbuka yang berunsur nasihat dan sedikit amaran kepada Remy terhadap perbuatannya itu.

Kongsi kisah hidup dalam "Sedekad"

Pada April lalu, Remy telah melancarkan sebuah buku biografi bertajuk "Sedekad" yang memaparkan kisah serta liku-liku kehidupan Remy sebelum bergelar selebriti. Buku itu dilancarkan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-37.

Remy berasa teruja dan gembira dapat berkongsi segala jalan cerita hidupnya bersama para peminat. Dalam buku tersebut, Remy telah mengungkapkan segala rasa dan perjalanan selama bergelar anak seni.

Bagaimanapun dia tidak berkongsi kisah peribadinya secara terperinci memandangkan dia bukan seorang yang bersikap terbuka berkenaan hal peribadi. Remy berharap kisah yang dikongsinya dapat dijadikan inspirasi buat anak-anak muda mencapai impian yang diingini.

Ternyata Remy Ishak bukanlah calang-calang pelakon apabila dia telah menonjolkan bakat lakonan yang mantap. Dia berkebolehan untuk menjayakan pelbagai jenis watak dalam segala naskhah yang dibintanginya dengan bersahaja.

Jika dilihat dalam industri lakonan tempatan, tidak semua pelakon ternama di Malaysia mampu menggalas pelbagai jenis watak dari pelbagai genre. Mereka mempunyai keistimewaan dalam genre-genre tertentu sahaja. Jadi tidak hairanlah Remy sering diberi kepercayaan oleh pembikin filem untuk menjayakan naskhah hebat mereka.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Bu (Melayu) (11 April 2019)
Langsuir (Melayu) (20 September 2018)
Rise: Ini Kalilah (Inggeris / Melayu / Tamil / Cina) (13 September 2018)





Ticket Pricing Guide