Rencana
Syamsul & Syafiq Yusof pakar dalam membikin filem pecah panggung


Tarikh disiarkan: 12 Mei 2019


Sehingga kini tiada siapa yang mampu menandingi jumlah kutipan filem kedua-dua beradik ini.

Sebut sahaja nama Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof, sudah pasti ramai mengenali dua anak muda ini yang merupakan anak kepada pengarah, penerbit dan pelakon tersohor tanah air iaitu Datuk Yusof Haslam.

Walapun kedua-dua mereka ini lahir dalam keluarga yang mempunyai syarikat perfileman gergasi di Malaysia, Skop Productions, namun kedua-dua mereka tetap berdepan cabaran yang besar datangnya daripada bapa mereka sendiri.

Jadi tiada istilah 'jalan pintas' untuk mereka ini apabila mula-mula menceburkan diri dalam dunia seni ini, sebaliknya mereka perlu bekerja keras untuk membuktikan kemampuan mereka untuk bergelar sebagai pengarah, pelakon dan penerbit di usia yang muda.

Permulaan kerjaya dalam dunia seni

Syamsul Yusof

Anak sulung kepada Yusof Haslam, Syamsul memulakan memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2005 menerusi filem "Gila-Gila Pengantin Popular" yang mana dia kemudian membintangi drama bersiri arahan bapanya iaitu "Gerak Khas" pada tahun 2006.

Walaupun berlakon, namun Syamsul mempunyai minat yang cukup mendalam dalam dunia pengarahan. Bagaimanapun ia bukanlah semudah yang disangka apabila bapanya tidak akan sewenang-wenangnya membiarkannya mengarah filem sendiri, sebaliknya memberi ujian kepadanya untuk mengarah drama arahan bapanya iaitu "Gerak Khas" untuk beberapa episod.

Selepas berjaya barulah bapanya memberi kebenaran untuknya mengarah filem sulung berjudul "Evolusi KL Drift". Bagaimanapun, ia tidak berjalan seperti yang dirancang apabila skrip yang dihasilkan bersama sepupunya Rizal Ashreff ditolak oleh bapanya dan diminta untuk merombak semula. Selepas dirombak, bapanya akhirnya meluluskan filem itu dengan bajet bernilai RM1.35 juta sebagai kos dan tarikh siap selama 35 hari. Dia terpaksa berdepan situasi yang memberinya tekanan selain berbalah dengan bapanya mengenai soal kos filem yang terpaksa dinaikkan sehingga RM2 juta.


Bagaimanapun, segala kerja keras tidak mengenal erti penat akhirnya membuahkan hasil apabila filem yang ditayangkan pada 3 April 2008 berjaya mendapat kutipan pecah panggung di pawagam. Sejak dari itu, Syamsul terus meneroka dunia pengarahan dan telah menghasilkan lebih dari 10 buah filem dan hampir kesemuanya mendapat kutipan pecah panggung.

Syafiq Yusof


Sama seperti abangnya Syamsul, Syafiq Yusof juga memulakan kerjaya seninya menerusi bidang lakonan apabila melakonkan watak pembantu dalam beberapa episod kepolisan "Gerak Khas". Sejak dari itu Syafiq kemudian mula berjinak-jinak dalam dunia pengarahan apabila menjadi pengarah bersama abang tirinya Faizal Yusof untuk mengarah beberapa episod drama "Roda-Roda Kuala Lumpur".

Selepas mengarah drama, Syafiq buat percubaan sebagai pengarah menerusi beberapa filem pendek seperti "Abangku Gengster" (2010) dan "Along" (2011). Bagaimanapun pada tahun 2012, Syafiq telah mendapat peluang untuk mengarah filem sulungnya iaitu "SAM: Saya Amat Mencintaimu" yang merupakan sebuah naskhah romantik psiko thriller. Percubaan pertamanya juga membuahkan hasilkan sehingga dia mendapat pengiktirafan pada usia yang muda.

Kejayaan itu diteruskan apabila dia terus diberi kepercayaan untuk mengarah telefilem dan filem. Sejak dari itu, dia telah menghasilkan lapan buah filem dan seperti abangnya, Syamsul, hampir kesemua filem arahannya berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

Perbezaan dalam menggarap filem

Walaupun kedua-dua dilihat lebih cenderung untuk menghasilkan filem aksi, namun sebenarnya kedua-dua mereka ini mempunyai gaya pengarahan yang cukup berbeza selain masing-masing mempunyai kecenderungan genre yang berbeza.

Syamsul seorang pengarah yang lebih cenderung kepada filem padat dengan aksi, seram dan lebih bersifat realiti dan terbaru ke arah berdakwah dalam setiap naskhah arahannya. Kesemua genre ini mempunyai jalan cerita yang cukup menarik dan menepati cita rasa penonton kerana ia dipaparkan secara 'straight forward'.

Antara filem-filem arahan Syamsul yang berjaya menjadi filem pecah panggung adalah "KL Gangster", "Khurafat", "Munafik", "Munafik 2", "Bohsia: Jalan Pilih Jalan Hitam", "Bohsia 2: Jalan Kembali" dan banyak lagi.

Selepas filem aksi "KL Gangster 2", Syamsul telah berehat beberapa tahun berikutan kecewa apabila filem "KL Gangster 2" dibocorkan di alam maya sebelum tarikh tayangan. Dia kembali dengan filem "Munafik" yang mana ketika itu dia sudah mengubah garapannya yang mana memilih untuk berdakwah melalui filem.

Filem "Munafik" yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi iaitu lebih RM17 juta. Kejayaan itu membawanya untuk menghasilkan filem sekuel "Munafik 2" yang mana ia berjaya memecah rekod dan sehingga kini memegang rekod filem tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah dengan lebih RM40 juta.

Manakala bagi Syafiq pula, dia bermula dengan sebuah naskhah agak berat iaitu "SAM: Saya Amat Mencintaimu" bergenre romantik psiko thriller pada tahun 2012. Filem itu telah membuka mata penonton termasuk penggiat seni lain terhadap bakat yang ada pada Syafiq dalam bidang pengarahan walaupun ketika ini masih berusia belasan tahun.

Sejak dari itu, Syafiq terus mengarah filem dari pelbagai genre seperti seperti seram, aksi, aksi komedi, thriller dan banyak lagi seperti "KL Special Force", "Abang Long Fadil", "Desolasi", "Villa Nabila" dan banyak lagi. Sama seperti abangnya Syamsul, boleh dikatakan hampir kesemua filem arahannya berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

Selain mengarah, Syafiq juga cenderung dalam penghasilkan kesan khas visual sendiri dan pada tahun 2013 dia bersama dua rakan niagannya telah menubuhkan Viper Studios yang memberi tumpuan kepada penerbitan filem, kesan visual, pasca-penerbit dan animasi.

Kali terakhir Syafiq muncul dengan filem adalah "Misteri Dilaila" yang merupakan thriller yang dibintangi oleh pelakon hebat tanah air iaitu Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Namron dan ramai lagi.

Tidak mengecewakan apabila filem ini berjaya mendapat kutipan pecah panggung. Apa yang lebih menarik adalah filem ini mempunyai dua pengakhiran yang berbeza, sekaligus membuat peminat sanggup menonton kedua-dua versi untuk mendapatkan gambaran mengenai kedua-dua pengakhiran itu.

Filem terbaru Syamsul & Syafiq

Jika sebelum ini Syamsul hanya mengarah filem terbitan Skop Productions, kini Syamsul mencuba sesuatu baru apabila mengarah sebuah filem epik "Mat Kilau" terbitan produksi Studio Kembara. Filem ini merupakan filem bermasalah apabila sudah beberapa kali tertangguh ketika penggambaran sedang berlangsung.

Apabila Syamsul ambil alih, dia merombak keseluruhan skrip dan barisan pelakon. Menerusi filem "Mat Kilau" ini, Syamsul mempertaruhkan Datuk Ady Putra sebagai peneraju termasuk Fattah Amin, Johan As' ari dan ramai lagi. Apa yang sudah pasti, ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan filem padat dengan aksi terbaru Syamsul selepas "KL Gangster" dan "KL Gangster 2".

Selain "Mat Kilau", Syamsul juga bakal muncul dengan filem seram ketiga dari francais "Munafik". Sehingga kini "Munafik 3" sememangnya disahkan akan dihasilkan tetapi tiada sebarang butiran lanjut mengenai filem itu didedahkan. Apa yang diketahui adalah Syamsul dan Maya Karin akan kembali menghidupkan watak asal mereka. Kehebatan pada filem "Munafik 2" membuat peminat nyata tidak sabar menunggu tayangan filem ketiga ini.

Manakala Syafiq pula mempunyai tiga buah filem terbaru arahannya. Antaranya adalah "Lagenda Long Piah" yang mana butiran mengenai filem itu tidak didedahkan lagi termasuklah siapa yang akan membintangi filem itu.

Selain mengarah, Syafiq juga kini mula menceburkan diri dalam dunia penerbitan filem apabila bakal menerbitkan filem sulungnya yang diberi judul "Sekolahaha". Filem komedi ini akan menyaksikan Syafiq akan menjadi pengarah bersama Mat Luthfi. Ia akan dibintangi oleh beberapa pelakon popular tanah air antaranya Elizabeth Tan, Sharifah Amani, Adibah Noor, Altimet dan ramai lagi.

Bagaimanapun filem paling ditunggu-tunggu oleh peminat adalah filem ketiga "Abang Long Fadil 3". Filem aksi komedi yang dibintangi oleh Zizan Razak ini turut akan dibintangi ramai pelakon hebat tanah air.

Penggambaran filem ini akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat ini akan menyaksikan Syafiq akan mengeluarkan bajet besar untuk filem ketiga ini iaitu kira-kira RM4 juta. Menurut Syafiq, dia menambah kos pembikinan untuk filem terbaru ini adalah sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap filemnya.

Dengan bajet yang lebih besar ini, Syafiq menjanjikan sebuah naskhah yang mantap dan berkualiti, sekaligus dapat mengatasi kehebatan filem pertama dan kedua "Abang Long Fadil".


Anugerah & pengiktirafan

Syamsul

Syamsul Yusof mula mendapat pengiktirafan pada tahun 2008 di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21) yang mana dia telah berjaya merangkul trofi Keberkesanan Aksi Lasak Di Layar Perak menerusi fiilem "Evolusi KL Drift". Kejayaan itu diteruskan menerusi filem sekuel "Evolusi KL Drift 2" apabila ia berjaya merangkul dua anugerah di FFM 22 apabila dinobat sebagai Pengarah Terbaik dan Penyuntingan Terbaik.

Kecemerlangan Syamsul di FFM berterusan apabila dia sekali lagi merangkul dua anugerah di FFM 24 menerusi filem "KL Gangster" apabila menang dua kategori sama ketika di FFM 22. FFM 26 menerusi filem "KL Gangster 2"; Sinematografi Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik. FFM 28 menerusi "Munafik" berjaya merangkul dua trofi iaitu Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan. Manakala di FFM 30 Syamsul berjaya dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam "Makrifat Cinta".

Selain FFM, filem-filem Syamsul juga cemerlang di beberapa anugerah lain seperti Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Anugerah MeteTop Era, Festival Filem Asia Pasifik dan beberapa lagi yang mana bukan sahaja tercalon tetapi juga berjaya membawa pulang trofi.

Syafiq

Sama seperti abangnya, Syafiq juga mencipta kejayaan awal menerusi filem "SAM: Saya Amat Mencintaimu" pada tahun 2012 apabila dia telah berjaya merangkul trofi Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM 25). Kejayaan itu telah membuatnya menerima pengiktirafan sebagai Pengarah Paling Termuda oleh The Malaysia Book of Records.

Ketika FFM 29, filem "Abang Long Fadil 2" telah berjaya merangkul trofi Filem Box Office dengan kutipan lebih RM18 juta.

Selain FFM, Syafiq juga telah dinobat sebagai Pengarah Terbaik di Anugerah PROFIMA 2017 menerusi filem "Desolasi". Selain itu beberapa filem arahannya lain seperti "KL Special Force" dan "Abang Long Fadil 2" turut tercalon di Anugerah Skrin 2018, namun tidak berjaya menang sebarang anugerah.

Apa yang boleh diperkatakan adalah kedua-dua beradik Syamsul dan Syafiq dijangka akan terus menghasilkan filem-filem pecah panggung dan mampu antara sutradara tersohor tanah air satu hari nanti.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik 2 (Melayu) (30 Ogos 2018)
Abang Long Fadil (Melayu) (29 Mei 2014)
KL Special Force (Melayu) (8 Mac 2018)
Desolasi (Melayu) (8 Disember 2016)
SAM (Melayu) (16 Ogos 2012)