Rencana
2019 tahun animasi tempatan cipta sejarah?


Tarikh disiarkan: 23 Mac 2019


Mampukah ketiga-tiga filem animasi ini dapat kutipan pecah panggung?

Mungkin ramai yang tidak sedar yang Malaysia sebenarnya mempunyai industri animasi yang cukup hebat dan kini semakin berkembang dengan pesat sekali termasuk mempunyai lebih dari 10 studio animasi yang menghasilkan animasi bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran luar negara.

Percaya atau tidak kualiti animasi tempatan kini sudah setanding animasi luar negara, jadi tidak hairan animasi tempatan kini semakin mendapat sambutan daripada penonton daripada luar negara.


Walaupun industri animasi semakin berkembang, namun tidak banyak studio animasi tempatan yang berani tampil menghasilkan filem cereka animasi kerana kekurangan modal berikutan ia melibatkan kos yang besar.

Oleh itu, studio animasi lebih cenderung menghasilkan siri animasi terlebih dahulu dan sekiranya produk mereka berjaya barulah mereka akan mengangkat animasi tersebut ke layar perak. Perkara ini boleh dilihat pada siri animasi popular "Upin & Ipin".

Selepas mencipta kejayaan dalam dan luar negara, animasi terbitan Les' Copaque ini akhirnya diangkat ke layar perak pada tahun 2009 menerusi "Geng: Pengembaraan Bermula" dan ia terus mencipta kejutan apabila berjaya mendapat kutipan pecah panggung iaitu lebih RM6.2 juta sekaligus menjadi filem animasi tempatan pertama mendapat kutipan tinggi.

Bagaimanapun rekod tersebut dileburkan oleh sebuah filem animasi baharu terbitan Animonsta Studios (Monsta) menerusi "BoBoiboy: The Movie" yang ditayangkan pada tahun 2016 apabila berjaya mendapat kutipan pecah panggung lebih RM15 juta.

Kejayaan filem "BoBoiBoy" disumbang daripada kejayaan siri animasi televisyen yang bukan sahaja ditayangkan dalam negara tetapi juga di negara jiran.

Sejak dari itu, industri animasi tempatan semakin dikenali dan kini lebih banyak animasi baru muncul dan memeriahkan industri tempatan.

Pada tahun ini iaitu 2019, akan tercatat sejarah baru apabila sebanyak tiga buah filem animasi tempatan bakal ditayangkan pada tahun yang sama.

Filem animasi pertama pada tahun ini adalah "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang baru sahaja mula ditayangkan sejak 21 Mac yang lalu. Ini merupakan satu strategi yang bijak oleh Les' Copaque kerana waktu tayangan filem animasi terbaru mereka ini adalah pada musim cuti sekolah.

Apa yang membanggakan adalah filem ini adalah buatan seratus-peratus anak tempatan. Ia juga merupakan filem animasi tempatan yang paling lama untuk disiapkan dan paling mahal iaitu kira-kira 10 tahun pembikinan serta menelan belanja sebanyak RM20 juta.

"BoBoiBoy Movie 2" bakal menyusul

Selepas kejayaan filem pertama mereka, Animonsta Studios bakal kembali dengan filem animasi kedua mereka yang diberi judul "BoBoiBoy Movie 2" tidak lama lagi.

Ketika ini, sebuah teaser treler telah pun diriliskan dan ia mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada peminat yang rata-rata tidak sabar untuk menonton filem animasi ini dipawagam kelak.

Filem ini bukan sahaja akan ditayangkan di Malaysia sahaja, sebaliknya ia turut akan ditayangkan di beberapa negara Asia lain yang mana ia kini masih dalam proses perbincangan dan senarai negara dan pawagam yang akan menayangkan "BoBoiBoy Movie 2" akan diumumkan kelak.

Dengan jumlah peminat yang semakin meningkat dengan mendadak sejak tayangan filem pertama, filem terbaru "BoBoiBoy" dilihat tidak berdepan masalah untuk mengatasi jumlah kutipan filem pertama dan berkemungkinan besar akan mencipta rekod baru filem animasi tempatan.

Apa-apa pun, sama-sama kita nanti berita mengenai tarikh tayangan filem ini dari semasa ke semasa.

"Ejen Ali The Movie" tampil pertama kali di layar perak

Pada tahun ini juga akan menyaksikan sebuah lagi filem animasi terbaru akan ditayangkan di pawagam iaitu "Ejen Ali The Movie".

Animasi terbitan Wau Animation ini mula dikenali menerusi animasi mereka iaitu "Ejen Ali" berkisarkan tentang pelajar sekolah yang menjadi perisik negara dan perlu menentang penjahat yang cuba memusnahkan negara.

Animasi "Ejen Ali" ini mula mendapat sambutan daripada penonton sejak hari pertama siri animasi itu ditayangkan di TV3 pada tahun 2016. Dengan permintaan daripada peminat yang mahu animasi ini diangkat ke layar perak, pihak Wau Animation akhirnya menunaikan impian peminat mereka dengan menghasilkan "Ejen Ali The Movie".

Selain ditayangkan di Malaysia, animasi "Ejen Ali" juga ditayangkan di lebih 50 buah negara dan kini menjadi animasi kanak-kanak popular di Asia Tenggara. Jadi sudah pasti pihak studio dan penerbit mempunyai perancangan untuk turut menayangkan filem animasi ini di luar negara.

Dengan kerjasama Primeworks Studios, filem animasi ini akan menampilakn elemen-elemen baru yang belum pernah ditayangkan dalam siri animasi televisyen. Malah ejen MATA baru juga akan diperkenalkan.

Apa yang pasti, filem animasi ini menjanjikan aksi mendebarkan dan pasti akan membuatkan penonton teruja menontonnya. Buat masa ini tarikh tayangan untuk filem animasi ini masih lagi belum didedahkan, jadi teruskan membaca Cinema Online untuk berita terkini mengenai tarikh tayangan filem animasi ini.

Dengan tiga buah filem animasi yang bakal ditayangkan, di harap ketiga-tiga filem animasi yang mempunyai keistimewaan tersendiri akan mencapai kejayaan sekaligus melonjak industri animasi tempatan ke tahap tertinggi.

Penulis: Ashraf Nasser