Rencana
"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" berjaya takluki Asia!


Tarikh disiarkan: 28 April 2019


Sudahkah anda menonton filem terbaru "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal"?

Mula ditayangkan pada tahun 2007 di televisyen, animasi 3D tempatan "Upin & Ipin" terbitan Les' Copaque tidak perlu menunggu lama apabila animasi itu mendapat sambutan cukup luar biasa sejak ia mula ditayangkan.

Menerusi animasi ini, pasangan suami isteri Tuan Haji Burhanuddin Md Radzi dan isterinya Hajah Ainon, yang merupakan pengasas dan pemilik produksi animasi berkenaan mempunyai visi, iaitu menghasilkan sebuah animasi yang mempunyai jalan cerita yang ringkas tetapi boleh dikaitkan kepada sesiapa tanpa mengira usia dan latar belakang.

Malah antara perkara yang paling diutamakan menerusi animasi ini adalah elemen tempatan yang merangkumi budaya serta kepelbagaian kaum yang dapat hidup dalam suasana yang aman.

Secara ringkasnya, animasi "Upin & Ipin" ini memaparkan mengenai kehidupan pasangan kembar seiras comel bernama Upin dan Ipin, dalam menjalani kehidupan seharian mereka bersekolah, bermain dan mengembara bersama rakan-rakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum berlatarkan di sebuah kampung.

Selain memberi fokus kepada elemen budaya tempatan, animasi ini tidak ketinggalan memasukkan elemen-elemen pengajaran dan nilai-nilai murni yang boleh dicontohi oleh kanak-kanak yang menonton animasi ini.

Bukan sahaja menghiburkan, tetapi animasi "Upin & Ipin" ini sarat dengan elemen-elemen bagus, maka tidak hairanlah animasi ini telah mendapat banyak pengiktirafan dan anugerah dari dalam dan luar negara.

Filem animasi 3D terbaru "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" akan ditayangkan di China

Selepas menunggu hampir 10 tahun untuk filem terbaru "Upin & Ipin", Les' Copaque akhirnya tampil dengan filem kedua mereka yang diberi judul "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang mana ia merupakan filem animasi tempatan pertama mengambil yang masa selama lima tahun untuk dihasilkan selain menelan belanja paling besar iaitu lebih RM20 juta.

Menurut pengarah urusan Les' Copaque iaitu Burhanuddin, pembikinan animasi 3D kedua ini mengambil masa dan kos besar kerana dia mahukan animasi terbaru "Upin & Ipin" menjadi penanda aras baru buat industri animasi tempatan.

Dengan menggunakan teknologi terbaru dan canggih serta dihasilkan oleh anak tempatan, filem animasi kedua ini menampilkan kualiti animasi setaraf antarabangsa termasuk Hollywood. Mula ditayangkan pada bulan Mac lalu, filem animasi ini telah berjaya mendapat kutipan lebih RM25 juta sekaligus menjadi filem animasi tempatan mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah. Jumlah kutipan itu akan terus meningkat berikutan ia masih lagi ditayangkan.

Selain tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura, filem terbaru "Upin & Ipin" ini menyaksikan ia turut ditayangkan di beberapa negara Asia lain seperti Indonesia, Vietnam, Jepun, India dan negara Timur Tengah.

Terbaru, pihak Les' Copaque telah menempa satu lagi kejayaan apabila filem itu bakal ditayangkan di lebih 10,000 pawagam di negara China tidak lama lagi selepas menjalin kerjasama dengan Cultural Investment Holding Co Ltd sebagai rakan strategik untuk mengedar filem itu ke China.

Hasil kerjasama itu, pihak Cultural Investment Holding Co Ltd akan menanggung kesemua perbelanjaan untuk pemasaran dan promosi yang mana dikhabarkan ia menelan perbelanjaan sebanyak RMB10 juta atau sekitar RM6.18 juta.

"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" dijangka akan mula ditayangkan di China menjelang Jun atau Julai ini selepas proses alih suara selesai dilakukan.

Animasi "Upin & Ipin" mampu tawan seluruh dunia pula selepas ini

Sekiranya tayangan filem "Upin & Ipin" berjaya mencipta sejarah di China, ia pasti akan mengangkat animasi tempatan ke persada dunia dan membuka mata pengedar filem di serata dunia. Sekiranya animasi ini berjaya takluk Asia sepenuhnya, tidak mustahil "Upin & Ipin" akan mampu menembusi pasaran Barat terutamanya Hollywood.

Kejayaan Les' Copaque ini bukan sahaja dapat memperkenalkan Malaysia di mata dunia, tetapi ia secara tidak langsung dapat membantu industri animasi tempatan terutamanya studio-studio animasi lain untuk turut sama melebarkan sayap masing-masing ke persada antarabangsa.


Jike hendak diikutkan, tidak sukar buat animasi "Upin & Ipin" ini hendak menembusi pasaran Barat terutamanya di Amerika Syarikat berikutan animasi ini mempunyai peminat sejumlah besar di sana. Ia dibuktikan menerusi saluran Les' Copaque di laman YouTube yang menyaksikan animasi ini sudah ditonton lebih 3 billion kali.

Antara penonton terbanyak di YouTube datang dari Malaysia, Indonesia dan Amerika Syarikat, dan jika disaring lagi, Los Angeles dan Texas adalah dua negeri di Amerika yang menyumbang kepada jumlah tontonan terbesar.

Selain menjual animasi ini di stesen televisyen atau di layar perak, Les' Copaque turut mendapat sumber pendapatan daripada platform YouTube kira-kira sebanyak USD180,000 (lebih RM740 ribu) sebulan. Ia satu angka yang cukup menakjubkan.

Jika kecemerlangan ini berterusan, maka tidak mustahil dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun lagi animasi "Upin & Ipin" ini bakal menjadi salah sebuah animasi 3D terkenal di seluruh dunia dan ini sekaligus dapat mengharumkan nama negara.

Melebarkan sayap perniagaan "Upin & Ipin"

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Les' Copaque bukan sahaja menumpukan perhatian kepada pembikinan animasi sahaja sebaliknya ia turut melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan juga.

Di bawah Les' Copaque Sdn Bhd, terdapat beberapa buah lagi anak syarikat lain seperti LC Merchandising Sdn Bhd, Les' Copaque Animation Academy (LCAA), Geng's Corner, Les' Copaque Games Development Inc dan Kedai Makan Upin & Ipin.

Kesemua anak syarikat ini menjalankan perniagaan masing-masing seperti LC Merchandising bertanggungjawab dalam penghasilan barangan eksklusif "Upin & Ipin" seperti peralatan tulis, beg, cenderahati, baju, permainan dan banyak lagi. Manakala LCAA pula adalah satu inisiatif oleh Les' Copaque untuk memperkasakan industri animasi tempatan dengan menyediakan pusat akademi untuk anak muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia animasi.

Selain itu, mereka juga mempunyai pasukan khas yang bertanggungjawab dalam menghasilkan permainan video menerusi anak syarikat Les' Copaque Games Development Inc. Dengan ini mereka dapat pastikan kualiti permainan video yang dihasilkan menepati kualiti yang dimahukan.

Mereka turut terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman menerusi Geng's Corner iaitu sebuah restoran makanan berkonsepkan "Upin & Ipin". Tidak terbatas kepada restoran sahaja, mereka turut mengeluarkan minuman ringan jenama mereka sendiri yang mana ia boleh didapati di pasaraya seluruh negara termasuk di stesen-stesen minyak.

Tidak lengkap sekiranya sesebuah animasi sekiranya tidak ada komik bukan! Jadi untuk realisasikan perkara itu pihak Les' Copaque telah memberi lesen kepada syarikat penerbitan Nyla Sdn Bhd yang akan bertanggungjawab dalam penerbitan komik "Upin & Ipin" ini yang mula dijual sejak Disember 2009.

Rancangan untuk membina taman tema

Rancangan untuk membina taman tema berkonsepkan "Upin & Ipin" ini pernah disuarakan oleh Burhanuddin dalam satu temubual bersama Cinema Online beberapa tahun lalu, namun sehingga kini ia masih lagi belum dapat dilaksanakan.

Impian itu tidak lagi berkubur sebaliknya ia akan diteruskan sekiranya ada pelabur yang sanggup melabur dalam pembinaan taman tema ini kerana ia satu pelaburan yang cukup besar dan mencecah angka billion.

Mengikut perancangan mereka sudah pun mempunyai lokasi iaitu berdekatan Lembah Klang untuk membina taman tema ini dan terbaru dikatakan sudah mempunyai pelabur dari luar negara yang berminat untuk menjadikan rancangan ini satu realiti.

Sekiranya semua berjalan dengan lancar, taman tema ini bukan sahaja akan dibina di Malaysia, malah ia akan turut difrancaiskan kepada mana-mana negara yang berminat untuk membina taman tema "Upin & Ipin" di negara mereka. Untuk taman tema di luar negara pihaknya tidak akan menguruskan taman tema itu sebaliknya hanya akan menyediakan segala rekaan. Menerusi kerjasama itu pihaknya akan menjana pendapatan menerusi royalti dan berkemungkinan peratusan daripada jualan tiket.

Jika ini berlaku dan Les' Copaque terus konsisten tidak mustahil animasi tempatan ini mampu menjadi francais terbesar di dunia sekaligus mampu menjadi Disney 'Malaysia'.

Penulis: Ashraf Nasser