Rencana
"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" filem wajib tonton Mac ini!


Tarikh disiarkan: 10 Februari 2019


Filem animasi 3D terbaru ini ketengahkan kisah-kisah dongeng tempatan.

Bermula sejak tahun 2007, animasi tempatan "Upin & Ipin" telah menjadi animasi pertama Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa yang mana ia bukan sahaja menarik minat kanak-kanak sahaja, tetapi juga orang dewasa untuk menontonnya.

Mengetengahkan dua kembar seiras yang diberi nama Upin dan Ipin, ia berkisarkan tentang kehidupan dua beradik ini dalam menjalani kehidupan mereka sebagai kanak-kanak bersama rakan-rakan daripada pelbagai kaum.

Kejayaan animasi itu telah membuatkan Les' Copaque menerbitkan filem animasi 3D pertama mereka pada tahun 2009 berjudul "Geng: Penggembaraan Bermula" yang mana ia telah mencetuskan fenomena dan filem animasi ini berjaya mendapat kutipan pecah panggung.


Kejayaan itu sekaligus telah membuatkan filem animasi tersebut menjadi filem animasi tempatan pertama negara mendapat kutipan tertinggi di pawagam.

Kini selepas hampir sedekad yang lalu, Les' Copaque bakal kembali dengan filem animasi 3D terbaru mereka iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang dikatakan bakal menjadi penanda aras baru kepada filem animasi 3D tempatan.

Jadi sebelum anda membawa anak-anak anda menonton filem ini di pawagam di seluruh negara pada 21 Mac nanti, jom baca mengapa anda perlu tonton filem "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ini terlebih dahulu.

Diarahkan oleh 3 orang pengarah muda

Pertama kali mendapat tahu filem animasi 3D "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ini diarahkan oleh tiga orang pengarah. Penulis agak terkejut juga kerana jarang sekali kita mendengar sampai tiga orang mengarah sebuah filem. Pengarah-pengarah muda tersebut merupakan Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim. Ketiga-tiga mereka bukanlah orang baru dalam industri, tetapi yang berpengalaman berikutan mereka pernah mengarah siri animasi "Upin & Ipin", "Pada Zaman Dahulu" dan "Puteri". Setiap daripada mereka ini mempunyai kepakaran masing-masing dan gabungan mereka dikatakan akan menjadi filem animasi 3D terbaru ini antara yang terbaik pernah dihasilkan.

Menelan belanja RM20 juta dan lima tahun untuk disiapkan

Satu lagi kejutan yang ada pada filem animasi 3D ini adalah kos pembikinannya yang melebihi RM20 juta, sekaligus menjadikan ia filem animasi 3D tempatan yang tertinggi. Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa kos terlalu tinggi bukan? Antara faktor yang menyebabkan kos pembikinan filem ini tinggi adalah tempoh pembikinannya yang lama, iaitu lima tahun untuk dihasilkan. Selain itu, filem animasi 3D ini dihasilkan menggunakan teknologi terbaru dan canggih, dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kos pembikinan.

Filem animasi 3D ini menggunakan sepenuhnya kepakaran anak tempatan

Walaupun kos pembikinan tinggi, namun bagi Pengarah Urusan Les' Copaque, Tn Haji Burhanuddin Md Radzi, dia gembira kerana filem animasi 3D ini dihasilkan menggunakan kepakaran anak-anak tempatan. Walaupun menggunakan teknologi dari luar negara, namun yang membuatkan filem ini adalah anak-anak tempatan. Ini adalah salah satu faktor mengapa kos pembikinan filem animasi 3D ini tinggi, kerana anak-anak tempatan ini dilatih sendiri menggunakan teknologi terbaru sehingga mereka mahir menggunakannya.

Masih mengekalkan jalan cerita mengenai budaya tempatan

Animasi "Upin & Ipin" sememangnya dikenali dengan jalan cerita yang mengetengahkan mengenai budaya tempatan dan ini diteruskan dalam filem "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal". Untuk filem animasi 3D terbaru ini, ia menceritakan mengenai pengembaraan Upin dan Ipin bersama kawan-kawan ke sebuah kerajaan dongeng bernama 'Inderaloka'. Sepanjang pengembaraan mereka, mereka akan bertemu dengan pelbagai watak dongeng seperti Mat Jenin, Bawang Merah, Bawang Putih, Pak Belalang dan banyak lagi.

Mampukah animasi 3D ini dapat kutipan lebih RM20 juta?

Dengan kos pembikinan menelan belanja RM20 juta, secara kasarnya filem animasi 3D ini perlu mengutip sekurang-kurangnya RM40 juta untuk mendapatkan semula pulangan modal, namun perkara ini tidak dilihat sebagai sesuatu yang mustahil kerana tahun lalu industri filem tempatan memperlihatkan peningkatan ketara apabila beberapa filem tempatan sudah berjaya mendapat kutipan puluhan juta. Apa-apa pun, tanpa sokongan daripada penonton tempatan apa sahaja filem tidak akan berjaya, jadi jangan lupa untuk menotonton filem "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ini di pawagam sepanjang musim cuti sekolah nanti.

Penulis: Ashraf Nasser