Rencana
Zul Ariffin terus jadi buruan penerbit & pengarah


Tarikh disiarkan: 5 Mac 2019


Zul Ariffin sentiasa akan cuba watak baru yang lebih mencabar kerana tidak mahu terus
berada dalam zon selesa

Pelakon Zul Ariffin terus menjadi buruan penerbit dan pengarah filem yang mahukan khidmatnya dalam filem terbitan mereka dan terbaru, dia baru sahaja muncul dengan filem thriller berjudul "Misteri Dilaila" yang mana ia sedang hangat diperkatakan sejak hari pertama tayangannya.

Dalam filem arahan pengarah muda berbakat besar Syafiq Yusof ini, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin terus diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama sebagai Jefri bersama dua pelakon utama wanita iaitu Elizabeth Tan dan Sasqia Dahuri.

Filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw ini dijangka akan menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi pada tahun ini berikutan kutipan filem ini pada hari keempat sudah mendapat RM4 juta.

Pelakon kelahiran Taiping, Perak ini mula menceburi bidang lakonan pada 2008 menerusi drama "Awan Dania" yang mana dia memegang watak pembantu sebelum mendapat kepercayaan untuk menggalas watak utama dalam drama kepolisan "Gerak Khas" sebagai Inspektor Ashraf.


Dalam filem "Evolusi KL Drift" Zul Ariffin bawa watak sebagai pegawai polis Inspektor Zam.

Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2010 pelakon berusia 32 tahun itu akhirnya berjaya mendapat peluang untuk membuat kemunculan dalam filem pertamanya berjudul "Evolusi KL Drift" arahan Syamsul Yusof.

Selepas filem berkenaan berjaya mendapat sambutan memberangsangkan, Zul tampil dengan dua buah filem lagi iaitu "Bikers Kental" arahan Helmi Yusof dan filem seram "Penanggal" arahan Ellie Suriati yang mana menyaksikan Zul telah berjaya dinobat sebagai Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-26 (FFM 26).

Bagaimanapun, populariti Zul ketika itu tidaklah sepopular seperti pelakon-pelakon lain walaupun membintangi banyak drama dan telefilem ketika itu.


Drama "Rindu Awak 200%" menjadi pencetus kepada lahirnya banyak drama yang memaparkan
hero bekerjaya sebagai juruterbang.

Namun semuanya berubah pada tahun 2014 apabila dia membintangi drama "Rindu Awak 200%" bergandingan bersama Ayda Jebat yang menyaksikan popularitinya melonjak dengan begitu mendadak.

Kejayaan drama itu kemudian membawanya sekali lagi bergandingan dengan Ayda untuk drama "M.A.I.D" yang turut mendapat sambutan penonton, malah gandingan berkesan mereka telah mengangkat nama Zul untuk meraih trofi Gandingan Serasi Di Layar pada Anugerah Bintang Popular BH Ke-28 (ABPBH 28).


Salah satu babak dalam filem "J Revolusi" yang mana Zul menjayakan watak sebagai
seorang pegawai UTK PDRM turut mendapat sambutan daripada peminat.

Sejak kejayaan itu, nama Zul terus menjadi rebutan para penerbit dan pengarah filem, drama dan telefilem yang masing-masing mahu Zul membintangi karya mereka.

Sehingga kini, Zul sudah pun membintangi 10 buah filem, 37 buah drama, 23 telefilem dan sebuah web drama.

Walaupun sudah melakonkan pelbagai jenis watak daripada pelbagai genre, Zul masih lagi mahu meneroka perkara baru dalam lakonan dan mahukan watak yang lebih mencabar bagi mengukur kemampuan lakonannya agar dirinya berada dalam kalangan antara pelakon hebat tanah air.


Filem paling dinanti-nantikan oleh peminat berjudul "Sangkar" akan menyaksikan Zul Ariffin
akan beraksi dalam filem sukan MMA.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya pada tahun 2019, dia bakal muncul dengan dua buah filem aksi iaitu "Sangkar", sebuah filem sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) bersama pelakon hebat Remy Ishak dan filem sekuel "J Revolusi", yang mana akan menyaksikan dia bakal kembali menghidupkan wataknya sebagai pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia sebagai Jay Zulkarnaian.

Kedua-dua filem itu kini dalam dalam peringkat akhir untuk disiapkan dan tarikh tayangan untuk kedua-dua filem ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Misteri Dilaila (Melayu) (21 Februari 2019)
J Revolusi (Melayu) (2 Mac 2017)
Penanggal (Melayu) (28 November 2013)
EVOLUSI KL DRIFT 2 (Melayu) (25 Mac 2010)





Ticket Pricing Guide