10 Fakta menarik tentang Shah Rukh Khan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

10 Fakta menarik tentang Shah Rukh Khan

Penulis: Nisa Irina

Fakta tentang Shah Rukh Khan yang manakah paling menarik perhatian anda?
Fakta tentang Shah Rukh Khan yang manakah paling menarik perhatian anda?

"Badshah of Bollywood", "King Khan", "King of Romance" dan "The King of Bollywood". Itulah gelaran diterima bintang terkenal Bollywood Shah Rukh Khan yang namanya tidak asing dalam industri seni dan hiburan global. Shah Rukh Khan merupakan seorang aktor, penerbit filem, personaliti televisyen yang menerima pelbagai anugerah terulung dan berprestij serata dunia atas penglibatannya dalam dunia seni dan juga aktiviti-aktiviti kemanusiaan.

Perjalanan hidup Shah Rukh Khan untuk bergelar seorang bintang filem sangat hebat, yang mana dia mula menapak dalam industri perfileman Bollywood dengan menerima lima projek filem dalam sehari biarpun pada asalnya dia tiada keyakinan untuk menceburi bidang tersebut. Kini Shah Rukh Khan mempunyai lebih daripada 90 buah filem dalam tangan.

Mungkin kebanyakan butiran mengenai filem-filemnya anda semua sudah sedia tahu, terutamanya para peminat setia Shah Rukh Khan yang sememangnya tidak akan pernah terlepas menontonnya di layar perak mahupun di kaca televisyen.

Namun tahukah anda bahawa bintang Bollywood yang macho ini tidak menggemari aiskrim dan takut untuk menunggang kuda? Itu baru sedikit fakta tentangnya, jadi jom ikuti entri kali ini untuk mendedahkan fakta-fakta menarik lain yang mungkin anda tidak tahu tentang Shah Rukh Khan!

Beri anugerahnya kepada Salman Khan

Pada 1998, Shah Rukh Khan telah dinobatkan sebagai Aktor Terbaik filem "Dil To Pagal Hai" bagi Anugerah Zee Cine 1998 tetapi apa yang lebih mengejutkan adalah dia memanggil Salman Khan untuk naik ke pentas dan mengambil anugerah itu. Malah, ucapan penghargaan juga disampaikan oleh Salman sendiri. Ternyata persahabatan dua bintang besar Bollywood ini tiada tandingannya!

Terima gelaran Datuk di Malaysia

Shah Rukh Khan mencipta sejarah di Malaysia pada tanggal Oktober 2008, apabila kerajaan Melaka mengumumkan bahawa Shah Rukh Khan bakal dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk. Shah Rukh Khan tiba di Melaka untuk menerima anugerah itu pada Disember tahun yang sama dengan lengkap berbaju Melayu serta samping. Walau bagaimanapun, perkara itu menjadi kontroversi ramai pihak termasuk persatuan SENIMAN yang mempersoalkan sumbangan Shah Rukh Khan kepada negara. Bagaimanapun mungkin ramai yang terlepas pandang kerana Shah Rukh Khan sebenarnya telah banyak kali memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran filemnya. Kali terakhir adalah menerusi filem "Don 2" yang turut menjalani penggambaran di sekitar Malaysia termasuk sebuah penjara di Melaka.

555

Begitu taksubnya Shah Rukh Khan dengan kepercayaan numerologi sehingga hampir semua benda di sekelilingnya mempunyai nombor atau kombinasi nombor 555 seperti nombor plat keretanya. Malah ada sumber yang memberitahu tiga nombor terakhir untuk telefon bimbitnya dan isteri Gauri serta semua pekerjanya Shah Rukh Khan juga adalah 555. Misteri di sebaliknya? Mungkin kerana mempercayai ianya membawa tuah. Walau apapun, hanya tuan empunya badan yang tahu mengapa dia memilih nombor sebegitu.

Mempunyai tanah di bulan

Percaya atau tidak, seorang peminat Shah Rukh Khan di Australia bernama Sandi akan membeli sebidang tanah di bulan daripada Persatuan Republik Lunar setiap kali tibanya hari ulang tahun kelahiran Shah Rukh Khan iaitu pada 2 November dan sijil perakuannya diberikan kepada Shah Rukh Khan. Dikatakan mereka sering berhubung menerusi emel. Hebat juga para peminat setia Shah Rukh Khan. Sanggup membuat apa sahaja demi idola kesayangan!

Tak suka makan aiskrim dan takut tunggang kuda

Kepada para peminat setia Shah Rukh Khan, sila jauhkan aiskrim daripada idola kesayangan anda ya! Untuk pengetahuan semua, Shah Rukh Khan tak pernah makan aiskrim seumur hidupnya. Memang bunyinya macam pelik tetapi jika fikirkan balik, semua orang ada makanan tertentu yang mereka tak suka bukan?

Selain itu, hero Bollywood pujaan ramai ini sebenarnya takut untuk menunggang kuda sejak dia membintangi filem "Asoka" (2001) kerana mempunyai masalah untuk mengendalikan kuda yang ditunggangnya. Jadi sebab itulah anda tak dapat tengok Shah Rukh Khan menunggang kuda dalam kebanyakan filemnya sehingga kini.

Gaji pertama

Untuk bergelar seorang bintang terkenal dengan nilai bersih sebanyak USD600 juta (kira-kira RM2.6 billion), pasti memerlukan kerja keras dan usaha yang tiada henti. Namun siapa sangka, gaji pertama Shah Rukh Khan hanya bernilai Rs 50 (RM2.83). Apa yang dibuat dengan gaji sebanyak itu? Shah Rukh Khan telah membeli tiket kereta api ke Taj Mahal di Agra untuk memenuhi impiannya melihat dengan mata sendiri bangunan tersergam indah itu. Dengan baki yang tinggal, Shah Rukh Khan sempat membeli minuman lassi ketika dalam perjalanan ke sana.

Dr. Shah Rukh Khan

Bukan sahaja berbakat, malah pemikirannya juga bergeliga! Pada 2019, Shah Rukh Khan telah dianugerahkan segulung Ijazah Kepujian Kedoktoran oleh Universiti La Trobe di Festival Filem India Melbourne (IFFM), Australia, atas usaha bagi membantu kanak-kanak kurang berkemampuan, dedikasinya terhadap memperjuangkan hak wanita melalui pertubuhan MEER Foundation serta kejayaannya dalam industri hiburan India. Pada tahun yang sama juga, Shah Rukh Khan dianugerahkan Ijazah Kepujian Kedoktoran oleh Universiti Undang-Undang London dalam Kedermawanan. Selain itu, Shah Rukh Khan juga pernah menerima anugerah yang sama dari Universiti Maulana Azad Kebangsaan Urdu, Universiti Edinburgh dan Universiti Bedfordshire.

Legion of France & syiling emas di Muzium Grevin Perancis

Negara Perancis memutuskan untuk memberi penghormatan kepada Shah Rukh Khan dengan memberinya pengiktirafan tertinggi iaitu Legion of France pada 2014. Shah Rukh Khan juga merupakan satu-satunya aktor Bollywood yang namanya dipatrikan pada syiling emas untuk dipamerkan di Muzium Grevin Perancis. Malah, patung lilinnya turut dipamerkan di muzium terkenal itu.

TED Talks

Sekali lagi Shah Rukh Khan mencipta sejarah pada 2017 apabila menjadi aktor Bollywood pertama yang menyampaikan TED Talk di Vancouver, Kanada, iaitu persidangan tahunan yang menampilkan ahli-ahli fikir terkemuka di dunia. Walau bagaimanapun, ramai penonton di sana yang tak mengenali aktor tersebut. Namun Shah Rukh Khan memperkenalkan dirinya diselitkan dengan sedikit gurauan dan masih dapat memukau penonton dengan bual bicaranya yang santai dan menyentuh hati selama 20 minit.

Dilwale Dulhania Le Jayenge

Mula melibatkan diri dalam dunia filem dengan menjayakan watak-watak antagonis, Shah Rukh Khan mengaku dia menolak tawaran pengarah Aditya Chopra untuk membintangi "Dilwale Dulhania Le Jayenge" (1995) kerana tidak yakin dia boleh menjadi hero filem romantik. Namun setelah dipujuk beberapa kali, dia akhirnya menerima tawaran tersebut. Ternyata pilihan Aditya tepat kerana sehingga kini para peminat tidak dapat bayangkan orang lain selain Shah Rukh Khan untuk menjayakan watak Raj Malhotra. Sejak itu, Shah Rukh Khan membuktikan kepada semua bahawa dialah hero Bollywood paling menawan!

Cinema Online, 30 Apr 2020

Waktu Tayangan