10 Filem tempatan paling rugi dan menyedihkan! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

10 Filem tempatan paling rugi dan menyedihkan!

Penulis: Ashraf Nasser

Adakah anda sudah tonton file mini? Jika sudah, apa komen anda?
Adakah anda sudah tonton file mini? Jika sudah, apa komen anda?

Tahun 2020 merupakan tahun paling teruk pernah direkodkan dalam sejarah industri perfileman tempatan berikutan dunia dilanda pandemik COVID-19 telah menyebabkan banyak industri lain turut terjejas.

Jika industri filem Hollywood yang sangat besar boleh terjejas, bayangkan industri filem tempatan yang kecil ini sudah pasti terjejas dengan lebih teruk.

Sejak negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lebih tiga bulan hampir kesemua penerbit filem mengambil keputusan untuk menunda tayangan filem mereka yang dijadualkan ditayangkan pada tahun ini berikutan bimbang tidak akan mendapat pulangan susulan pawagam dikehendaki mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Walaupun kebanyakkan penerbit tidak berani tayang filem mereka ketika ini, namun masih ada sejumlah kecil penerbit yang berani salah satunya adalah Kuman Pictures yang menayangkan filem seram "Roh" mereka sebaik sahaja pawagam dibenarkan kembali beroperasi.

Agak mengejutkan apabila filem itu berjaya meraih kutipan lebih RM500,000 walaupun terpaksa mengikut SOP yang ketat, malah filem ini mendapat pujian daripada penonton.

Bagaimanapun, untuk artikel kali ini penulis bukan ingin mengupas lanjut mengenai keadaan industri sebaliknya mahu membawa pembaca imbas semula filem paling rugi atau bahasa kasarnya filem 'tak laku' yang mendapat kutipan yang cukup menyedihkan.

Nak tahu filem apa? Jom baca 10 buah filem tempatan yang paling rugi dan menyedihkan.

"Mahaguru" (RM2,330.50)


Mungkin anda pernah membaca kritikan hebat orang ramai terhadap filem aksi "Mahaguru" dua tahun lalu iaitu 2018 apabila ia ditayangkan di pawagam. Filem arahan pengarah veteran Z.Lokman ini mula menjadi sebutan orang ramai sejak treler rasmi filem itu diriliskan yang mana ramai yang mengecam teruk apabila kualiti treler tersebut sangat mengecewakan dan ramai yang berkata filem itu tidak layak diangkat ke layar perak berikutan kualitinya setaraf seperti menggunakan kamera telefon berformat 3gp. Walaupun dihentam teruk, namun pengarah tidak berasa sedikit pun kesal sebaliknya menyalahkan penonton yang menghentam filemnya sebelum menontonnya.

"Bidong The Boat People" (RM3,536.00)


Filem "Bidong The Boat People" ini turut diriliskan pada tahun yang sama dengan filem "Mahaguru" pada tahun 2018. Filem arahan pengarah veteran Allahyarham Yusof Kelana ini tidaklah seteruk kualiti seperti filem arahan Z Lokman, tetapi jalan ceritanya yang ditampilkan sangat lemah dan tidak menyakinkan. Penulis juga agak terkejut apabila filem ini secara tiba-tiba dikatakan bakal ditayangkan sedangkan tiada promosi atau berita mengenai filem "Bidong The Boat People" sebelum ini. Inilah masalah utama pembikin filem tempatan yang sedang mengabaikan bajet untuk promosi, jadi tidak hairanlah kutipan filem ini menyedihkan.

"Spy In Love" (RM4,085)


Ini sebuah lagi filem yang 'tiada angin, tiada ribut' tiba-tiba muncul sebulan sebelum ia ditayangkan di pawagam. Tiada sebarang promosi langsung dilakukan oleh pihak produksi, jadi tidak hairan apabila kutipan filem arahan Daniel Rifki ini sangat menyedihkan. Walaupun dibintangi pelakon popular seperti Keith Foo, Siti Saleha dan Nasha Aziz ini nyata tidak menarik minat penonton langsung. Apa yang menjadi punca utama kegagalan filem ini? Sudah semestinya tiada promosi.

"Luqman" (RM4,085.00)


Tahun 2018 boleh dikatakan tahun 'magik' buat industri filem tempatan apabila banyak filem yang secara tiba-tiba muncul ditayangkan tanpa pengetahuan penonton termasuklah pihak media sendiri. Filem arahan Mahadi J Murat ini adalah salah satu lagi bukti yang pernah disebut oleh penulis iaitu sesebuah filem itu tidak akan laku sekiranya tiada promosi dibuat walaupun dibintangi pelakon popular. Siapa tidak kenal dengan Wan Hanafi Su, Raja Ilya dan Josiah Hogan. Ketika tayangan filem ini, mereka merupakan pelakon popular ketika itu.

"Mendidih Bro" (RM4,090.00)


Jangan terkejut kerana dalam senarai ini ada dua buah filem arahan Z Lokman iaitu "Mendidih Bro" selepas "Mahaguru". Berbeza dengan filem "Mahaguru" yang dihentam teruk kerana jalan cerita dan kualitinya yang dikatakan tidak layar untuk tayangan di layar perak, filem ini mempunyai jalan cerita yang agak menarik dan dibintangi barisan pelakon popular seperti Juliana Evans, Marlyn Guinto, Azreal Ismail, Amy Mastura dan ramai lagi. Tetapi nasib tidak menyebelahi filem ini kerana kekurangan bajet untuk promosi sekaligus menyumbang kepada kegagalan di pawagam.

"Puthiya Payanam" (RM6,561.00)


Dalam senarai ini bukan sahaja ada filem Melayu sahaja, tetapi turut ada filem tempatan lain juga antaranya filem Tamil "Puthiya Payanam". Rasanya orang tidak terkejut langsung dengan kutipan filem ini kerana sudah sedia maklum industri filem Tamil di Malaysia sangat kecil, oleh itu tidak hairan apabila banyak filem-filem Tamil berjaya kutip bawah RM10,000. Namun, orang ramai akan terkejut sekiranya filem Tamil dapat kutipan tinggi contohnya filem "Jagat" yang mencetuskan fenomena menjadi filem Tamil tempatan kutip lebih RM1 juta dengan rangkul pelbagai anugerah. Filem arahan Raven ini sebuah naskhah aksi drama sukan yang akan agak menarik, namun gagal dapat sambutan. Antara faktor utama adalah tidak banyak pawagam yang menayangkan filem ini.

"Vasantha Villas" (RM7,264.00)


Pembikin filem Tamil sudah sedia maklum bahawa industri Tamil di negara sangat kecil dan amat sukar untuk mereka mendapat kutipan di pawagam, namun apa yang penulis kagum adalah semangat mereka yang tidak pernah putus asa dalam berkarya dan terus menghasilkan filem setiap tahun. Sama seperti filem arahan Roy ini yang menampilkan jalan cerita yang boleh dikatakan agak menarik iaitu mengenai sekumpulan pemuda yang terlibat dengan jenayah, namun gagal mendapat sambutan.

"Enjin No 9" (RM7,566,17)z


Filem "Enjin No 9" ini adalah mempunyai kombinasi sebagai sebuah filem gagal iaitu muncul secara tiba-tiba beberapa hari sebelum ia ditayangkan di pawagam, jalan cerita tidak menarik dan lemah dan paling utama tiada bajet untuk promosi. Yang menariknya filem ini diarahkan oleh pengarah dan penerbit sensasi Raja Azmi yang sedia maklum dengan perancangan sesebuah filem, namun penulis tidak pasti akan yang difikirkannya sehingga tidak menyediakan bajet untuk promosi. Dibintangi oleh penyanyi popular ketika itu iaitu Tajul Arif dan pelakon popular Kazar, Sharifah Shahira dan Ayuni Asyiqin, ia masih tidak mampu menarik penonton ke pawagam.

"RIP?" (RM8,156.00)


Pengarah S.T Bala cuba buat kebangkitan selepas kegagalan filem terdahulunya "It's The Moment Yang Arif" menerusi "RIP?". Bagaimanapun percubaan terbarunya masih gagal membuahkan hasil apabila ia tidak mendapat kutipan yang lebih rendah berbanding filem terdahulunya. Tiada apa yang boleh dipersalahkan di sini kerana seperti anda sedia maklum, filem Tamil tempatan amat jarang sekali mendapat kutipan tinggi.

"Hanyut" (RM68,695.74)


Judul filem "Hanyut" ini menggambarkan secara tepat kutipan filem ini yang sememangnya hanyut teruk. Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa filem "Hanyut" berada dalam senarai yang hampir kesemua dapat kutipan bawah RM10,000 tetapi filem ini lebih RM60,000 berada dalam senarai ini. Untuk makluman pembaca, filem arahan U-Wei Haji Shaari ini sebuah filem bajet besar iaitu sekitar RM20 juta termasuk promosi, namun hanya berjaya mengutip sekitar 5 peratus sahaja dari jumlah keseluruhan pembikinan filem. Ia sangat menyedihkan dan paling utama sangat rugi. Ia sebuah naskhah yang cukup hebat dan dibintangi oleh barisan pelakon tersohor tanah air seperti Diana Danielle, Sofea Jane, Ady Putra, Bront Palarae, Peter O'Brien dan ramai lagi. Segala persiapan termasuk promosi dilakukan, namun tidak tahu mana silapnya apabila ia tidak mendapat sambutan langsung. Penulis secara peribadi merasakan filem 'art' seperti ini tidak menarik minat penonton tempatan langsung, jadi ia menjadi faktor utama mengapa filem ini gagal.

Cinema Online, 08 Nov 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan