Jom imbas lima filem terbaik kumpulan SENARIO | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Jom imbas lima filem terbaik kumpulan SENARIO

Penulis: Ashraf Nasser

Filem Senario manakah yang paling anda suka?
Filem Senario manakah yang paling anda suka?

Apabila bercakap mengenai kumpulan pelawak popular tanah air sudah semestinya nama kumpulan Senario akan disebut kerana kumpulan itu adalah kumpulan pelawak paling berpengaruh di Malaysia pada tahun 90an dan awal 2000.

Sehingga kini tiada lagi kumpulan pelawak tanah air yang mampu menandingi kehebatan Senario yang bukan sahaja hebat dalam membuat lawak tetapi turut mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

Jadi rasanya tidak keterlaluan jika hendak dikatakan Senario merupakan kumpulan pelawak paling terhebat sepanjang zaman. Ya, sememangnya kini kita mempunyai ramai pelawak seperti Jozan (Johan dan Zizan Razak), Bocey, Nabil Ahmad dan banyak lagi, namun jika dilihat dari segi konsistensi tiada satu pun yang dapat menyaingi Senario.

Senario lahir daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1996 yang mempunyai tujuh orang ahli asal iaitu Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussain, Ilya Buang dan Hamdan Ramli dan kemudian diikuti oleh Saiful Apek dan Yassin Yahya.

Bagaimanapun bukanlah semua kekal bersama kerana Shamsul, Ilya Buang, Hamdan Ramli dan Farouk Hussain telah keluar dari kumpulan itu menjadikan Senario mempunyai lima ahli sahaja.

Selepas berjaya sebagai pelawak yang mempersembahkan sketsa merupakan sitkom "Senario", mereka melebarkan sayap seni mereka dengan menceburi bidang nyanyi dan juga berlakon filem.

Namun untuk artikel ini, Cinema Online tidak mahu mengulas lanjut mengenai kerjaya muzik mereka sebaliknya mahu memberi fokus pada filem-filem lakonan mereka.

Walaupun mereka mempunyai banyak filem, namun penulis tidak akan mengulas kesemua filem-filem Senario, sebaliknya akan menyenaraikan lima buah filem terbaik dan pecah panggung Senario.

"Senario The Movie" (1999) – RM5.2 juta

Kita mulakan dengan filem pertama Senario iaitu pada tahun 1999 berjudul "Senario The Movie". Selepas berjaya mencipta nama dalam dunia komedi dan nyanyian, mereka beralih ke layar perak pula menerusi filem yang diarahkan oleh Aziz M.Osman ini. Ia berkisarkan mengenai tiga sahabat sejak kecil iaitu Azlee, Wahid dan Mazlan. Ketika mereka kecil satu insiden telah berlaku melibatkan Azlee dan Wanita Perogol Bersiri yang telah menyebabkan Azlee hilang ingatan akibat renjatan elektrik.

Bagaimanapun mereka tetap bersama sehingga besar dan berjaya membuka rumah hantu di sebuah funfair milik Apek Saiful. Bagaimanapun masalah berlaku telah menyebabkan Wahid tidak lagi dibenarkan untuk mengendalikan rumah hantu. Dia kini terpaksa bekerja dengan seorang Orang Kaya sebagai hantu untuk menakutkan pengungjung sebuah kedai kopi kerana mahu membeli tanah tersebut.

Selain dibintangi kumpulan Senario, ia turut dibintangi pelakon hebat lain seperti A.R. Badul, Shamsul Ghau Ghau, Rohani Ujang, Syanie, Zahidah Rafik, Rashidi Ishak, Ako Mustapha dan ramai lagi. Filem itu berjaya meraih kutipan pecah panggung iaitu RM5.2 juta. Bayangkan jumlah tersebut pada tahun 90an ia merupakan sesuatu yang luar biasa.

"Senario Lagi" (2000) – RM4.37 juta

Selepas kejayaan filem pertama, Aziz M. Osman tidak menunggu lama untuk kembali dengan filem kedua Senario yang diberi judul "Senario Lagi" pada tahun 2000. Jika filem pertama hanya menampilkan hanya empat ahli Senario, namun untuk filem kedua ini ia dibintangi oleh lima ahli Senario iaitu Azlee, Wahid, Mazlan, Saiful Apek dan Yassin.

Ia berkisarkan mengenai Azlee yang baru sahaja dinaikkan pangkat telah membeli kereta terpakai untuk membawa isteri dan anaknya bercuti ke Cherating. Bagaimanapun kereta yang dibeli oleh Azlee merupakan kereta curi dan ejen bank iaitu Mazlan mengekori kereta itu hingga ke Cherating. Namun perjalanan mereka penuh dengan pelbagai insiden yang melucukan.

Tidak dapat dinafikan, filem "Senario Lagi" merupakan sebuah naskhah yang cukup menarik dan walaupun banyak kali ditonton sudah pasti penonton akan tetap ketawa sepanjang filem itu. Selain Senario, ia turut dibintangi pelakon popular lain seperti Syanie, Al-Fariz, Umie Aida. Apa yang menariknya adalah walaupun filem ini menampilkan ramai pelakon utama, namun tiada seorang pelakon yang tampak tenggelam atau lebih menyerlah dari pelakon lain. Semuanya disusun dengan begitu cantik sekali, jadi tidak salah untuk mengatakan "Senario Lagi" adalah filem 'road trip' tempatan terbaik pernah dihasilkan.

"Lagi-lagi Senario" (2001) – RM6.33 juta

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh Senario dan Aziz M. Osman. Filem ketiga "Lagi-Lagi Senario" pada tahun 2001 ini merupakan filem Senario yang mendapat kutipan tertinggi dan tertinggi sepanjang zaman ketika itu dengan meraih kutipan sebanyak RM6.33 juta dan kekal selama 9 tahun sebelum diatasi filem "Adnan Sempit" pada tahun 2010.

Filem Senario paling ikonik yang pernah dihasilkan. Ia berkisarkan mengenai Wahid seorang pelayan di sebuah restoran eksklusif dipecat gara-gara pelanggan yang dibawa masuk mengkritik masakan yang dimasak oleh ketua cef. Lebih malang lagi, Wahid telah dihalau keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Kerana tiada tempat untuk tidur, dia telah ambil keputusan untuk tidur di sebuah warung milik Azlee. Azlee yang kesian dengan nasib malang Wahid telah memberi bantuan dengan memberinya kerja sebagai pelayan warung.

Bagaimanapun, Azlee pula berdepan masalah apabila Mazlan muncul membuka warung betul-betul di sebelah warungnya dan lebih parah lagi 'mencuri' dua pekerja Azlee. Ketika Azlee dalam keadaan tertekan Wahid nekad untuk membalas budi Azlee dengan berusaha untuk membantu warung Azlee untuk kembali maju. Antara babak paling diingati adalah babak 'Roti Canai Terbang Rock & Roll'.

Selain Senario, filem ini turut dibintangi pelakon popular lain seperti Wardina Safiyyah, Accapan, Ayu Mayuni, Osman Kering, Nasir Ali, Nabila Huda, Erma Fatima dan ramai lagi.

"Senario The Movie: Episode 1" (2008) – RM4.26 juta

Selepas kejayaan besar filem "Lagi-lagi Senario" pada tahun 2001, Senario muncul lagi dengan tiga buah filem iaitu "Lang Buana" (2003), "Senario X" (2005) dan "Senario Pemburu Emas Yamashita" (2006) bagaimanapun kutipan ketiga-tiga filem itu berkurang dan jika dicampur pun belum mampu menandingi kutipan filem "Lagi-lagi Senario". Namun pada tahun 2008 Senario muncul dengan filem terbaru berjudul "Senario The Movie: Episode 1" yang diarahkan oleh pengarah popular Ahmad Idham yang berjaya mengembalikan zaman kegemilangan filem Senario.

Filem yang dibahagikan kepada dua bahagian itu berjaya meraih kutipan RM4.26 juta yang mana ia berkisarkan mengenai tiga sahabat yang mahu mengejar cita-cita menjadi bintang pelawak. Mereka berasal dari kampung dan negeri berbeza tetapi mempunyai tujuan yang sama iaitu menghadiri uji bakat di Kuala Lumpur untuk menjadi pelawak. Pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu mereka hadapi.

Dalam filem ini hanya tiga orang ahli Senario sahaja yang membintanginya iaitu Mazlan, Azlee dan Wahid sebagai peneraju. Ia turut menampilkan barisan pelakon popular lain seperti Ilya Buang, Hamdan Ramli, Shamsul Ghau Ghau, Zaibo, Zul Huzaimy, Julia Hana dan ramai lagi. Jika anda perasan filem-filem Senario selalunya dibintangi oleh ramai pelakon popular ketika itu, jadi tidak hairanlah Senario mengekalkan status sebagai kumpulan pelawak terhebat sepanjang zaman.

"Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" (2009) – RM3.09 juta

"Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" adalah kesinambungan dari filem "Senario The Movie Episode 1" pada tahun sebelumnya yang mana ia turut diarahkan oleh Ahmad Idham. Pada pengakhiran filem episod pertama, tiga sahabat Azlee, Mazlan dan Wahid tidak berjaya menjadi pelawak seperti yang diinginkan, sebaliknya mereka bertiga bekerja di Zoo Negara.

Bagaimanapun setelah lama bekerja, mereka ambil keputusan untuk pergi bercuti untuk berehat dari kerja mereka dan telah memilih untuk bercuti di Teluk Dalam Resort. Percutian mereka bertukar menjadi kelam-kabut apabila mendapati dompet mereka dicuri selain berlaku perbalahan antara mereka bertiga dengan tiga gadis yang turut mahu menaiki feri. Nasib malang mereka berterusan apabila mereka tiba di resort itu mendapati ia tidak seperti yang digambarkan. Selepas mendengar keluhan pemilik resort itu, mereka ambil keputusan untuk menolong pemilik resort itu untuk mengembalikan zaman kegemilangan resort itu. Sepanjang dua minggu mereka di sana, pelbagai insiden yang berlaku, namun ia tetapi berakhir dengan kegembiraan.

Selain Azlee, Mazlan dan Wahid, ia turut dibintangi pelakon popular lain seperti Marsha Milan, Mek Siti, Maria Farida, Datuk Jamali Shadat, Munir dan ramai lagi.

Sepanjang kerier mereka, Senario telah membintangi 10 buah siri filem dan merupakan siri filem paling lama dalam sejarah perfileman tanah air. 10 filem tersebut adalah "Senario The Movie" (1999), "Senario Lagi" (2000) dan "Lagi-Lagi Senario" (2001) merupakan trilogi asal yang diarahkan oleh Aziz M.Osman.

Filem "Lang Buana" (2003) pula merupakan filem arahan pertama Mamat Khalid. Aziz M.Osman kembali semula untuk mengarahkan filem "Senario XX" (2005) dan "Senario Pemburu Emas Yamashita" (2006). "Senario The Movie: Episode 1" (2008) dan "Senario The Movie Episode 2: Beach Boys" (2009) diarahkan oleh Ahmad Idham. "Senario Asam Garam" diarahkan oleh Hatta Azad Khan manakala "Senario The Movie Ops Pocot" diarahkan oleh Ismail Bob Hashim.

Cinema Online, 29 Nov 2020

Filem Berkaitan:
SENARIO THE MOVIE EPISODE 2: BEACH BOYS (Melayu) (19 Nov 2009)
SENARIO THE MOVIE EP.1 (Melayu) (01 Okt 2008)
Senario Asam Garam (Melayu) (09 Sept 2010)


Waktu Tayangan