5 Filem Korea menarik anda patut tonton | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

5 Filem Korea menarik anda patut tonton

Penulis: Ashraf Nasser

Pastikan anda tonton filem-filem ini pasti anda tidak akan menyesal.
Pastikan anda tonton filem-filem ini pasti anda tidak akan menyesal.

Ketika seluruh rakyat Malaysia tidak sabar menanti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya tamat pada 14 April, kerajaan sekali lagi terpaksa melanjutkan tempoh PKP sehingga 28 April ini.

Lanjutkan tempoh PKP terbaru ini selama dua minggu lagi ini nyata meresahkan orang ramai yang sudah bosan di rumah kerana tidak tahu hendak buat apa lagi.

Bagaimanapun jangan risau, Cinema Online ada cadangan yang akan mengurangkan sedikit kebosanan anda di rumah.

Jika sebelum ini anda lebih menggemari filem-filem Hollywood, Bollywood atau tempatan, apa kata anda ubah selera sedikit dengan menonton filem Korea pula.

Jangan risau, senarai filem-filem Korea yang penulis akan senaraikan ini bukanlah filem-filem 'romantik dongeng' ya! Tetapi filem yang penulis akan senaraikan adalah naskhah yang mempunyai jalan cerita yang cukup menarik dan mungkin ada sedikit kaitan dengan keadaan semasa.

Jadi jom lihat filem-filem Korea menarik yang anda patut tonton:

"The Gangster, The Cop, The Devil"

Kepada peminat filem aksi thriller, filem "The Gangster, The Cop, The Devil" adalah sebuah naskhah yang wajib anda tonton kerana ia menampilkan jalan cerita yang cukup menarik. Penulis bukanlah seorang peminat filem Korea tetapi selepas membaca beberapa ulasan positif, penulis mahu tonton sendiri dan ia memang tidak mengecewakan langsung.

Filem ini berkisarkan megnenai seorang anggota polis jujur bernama Jung Tae-suk yang cuba menghapuskan organisasi jenayah terancang diketuai oleh Jang Dong-soo. Pada satu malam ketika Jang Dong-soo memandu dia telah mengalami kemalangan kecil, namun ia bukanlah kemalangan yang tidak disengajakan, sebaliknya ia adalah rancangan seorang pembunuh bersiri yang mahu melepaskan 'giannya' untuk membunuh.

Bagaimanapun usahanya itu gagal dan reputasi Jang Dong-soo sebagai ketua gengster tercalar akibat insiden itu. Dia telah nekad untuk mencari sendiri orang yang bertanggungjawab dan membunuhnya tetapi dihalang oleh Jung Tae-suk yang mahu suspek ditangkap hidup-hidup. Walaupun pada mulanya mereka sering bertengkar, kedua-duanya akhirnya bersetuju untuk bekersama untuk mencari dan menangkap individu kejam itu yang melakukan banyak pembunuhan.

Tidak dapat dinafikan lakonan Ma Dong-seok tidak boleh dipertikaikan lagi. Pembawakan wataknya sebagai seorang ketua gengster cukup berkesan. Secara peribadi, hampir kesemua barisan pelakon utama dan pelakon sampingan memberikan impak masing-masing, termasuklah suspek utama yang mempunyai perwatakan yang 'tenang' tetapi seorang yang tidak berhati perut dan kejam. Selain Ma Dong-seok dan Kim Mu-yeol, filem Lee Won-tae ini turut dibintangi Kim Sung-kyu, Choi Min-chul, Heo Dong-won dan ramai lagi. Jadi pastikan anda tonton filem ini, pasti tidak akan menyesal.

"Flu"

Memandangkan dunia kita dilanda musibah pandemik COVID-19, penulis merasakan filem "Flu" wajib berada dalam senarai ini kerana ia berkait rapat dengan situasi kita sekarang ini. Filem arahan Sung-su Kim ini menggambarkan bagaimana keadaan masyarakat apabila tersebarnya wabak yang boleh membawa maut ini.

Jadi bagaimana wabak ini boleh merebak? Ia bermula selepas dua pekerja sindiket pemerdagangan manusia membuka kontena yang menyembunyikan pendatang asing yang masuk secara haram. Ketika pintu kontena dibuka mereka terkejut melihat kesemua orang sudah mati dalam keadaan yang cukup tragis sekali. Ketika membuat pemeriksaan, seorang daripada pendatang asing itu masih hidup dan dia melarikan diri tanpa menyedari bahawa dia merupakan pembawa wabak tersebut.

Kedua-dua pekerja itu tidak tahu mereka turut dijangkiti sehinggalah salah seorang daripada jatuh sakit dan mati ketika mendapat rawatan. Apabila ia disahkan merupakan wabak berbahaya, seluruh bandar menjadi panik dan huru-hara berlaku. Penulis tidak ingin bercerita panjang mengenai filem ini kerana anda boleh tonton sendiri. Tetapi apa yang ingin penulis katakan adalah apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah sama dengan realiti yang berlaku ketika ini. Orang ramai menjadi panik dan cuba keluar dari kawasan itu tanpa memikirkan mereka akan menyebarkan wabak itu, termasuklah orang ramai berpusu-pusu membeli barangan keperluan secara banyak tanpa menghiraukan orang lain. Nampak sama bukan dengan apa yang terjadi di Malaysia? Ya, itulah yang berlaku.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon yang hebat seperti Soo Ae, Jang Hyuk, Park Min-ha, Yoo Hae-jin, Ma Dong-seok, Lee Hee-joo dan ramai lagi. Jadi pastikan anda tonton filem ini ya!

"Deranged"

Sebuah lagi filem yang mengetengahkan isu epidemik ini diarahkan oleh Park Jung-woo pada tahun 2012. Ia berkisarkan pada satu hari bandar itu dikejutkan dengan penemuan mayat di sungai yang mana pada mulanya pihak polis menyangka ia adalah akibat perbuatan bunuh diri, bagaimanapun apabila semakin banyak mayat ditemui ditambah dengan keadaan mayat yang ditemui seperti sudah lama mati membuatkan ramai panik.

Selepas dikaji selidik, punca kematian mereka ini berpunca daripada air yang tercemar yang mana 'cacing' telah masuk ke tubuh badan mereka membuatkan mereka berasa sentiasa dahaga sehingga membuatkan mereka menjadi gila sekiranya tidak dapat air. Bagaimanapun sekiranya mereka masuk ke dalam air, mereka akan mati.

Penulis tidak mahu ceritakan dengan lebih lanjut kerana anda perlu tonton sendiri filem ini untuk mengetahui punca berlakunya epidemik ini. Ia dibintangi oleh barisan pelakon handal seperti Kim Myung-min, Kim Dong-wan, Moon Jung-hee, Lee Ha-nui, Eom Ji-seong dan ramai lagi.

"Fabricated City"

Dalam senarai ini rasanya filem "Fabricated City" ini adalah yang terbaru iaitu kira-kira tiga tahun lalu. Mungkin dari poster atau judul filem ini tampak tidak menarik bukan? Itulah persepsi awal penulis apabila mendapat tahu mengenai filem ini, tetapi percayalah apabila anda mula tonton mata anda pasti akan melekat di skrin kerana jalan cerita yang ditampilkan menarik.

Ia berkisarkan mengenai seorang pemuda Kwon Yoo yang merupakan bekas juara kebangsaan taekwondo tetapi menghabiskan masanya dengan bermain permainan video di kafe internet. Dalam permainan itu, dia merupakan ketua dalam pasukan yang dikenali sebagai RESURRECTION yang bermain permainan video perang. Bagaimanapun, satu hari apabila dia terjaga dari tidur, dia diserbu oleh pihak polis yang mendakwa dia telah melakukan pembunuhan. Segala bukti mengenai pembunuhan itu merujuk kepadanya dan dia telah dijatuhi hukuman penjara.

Merasakan dirinya dianiaya, dia telah meminta bantuan pasukannya RESURRECTION untuk mencari dalang sebenar dan mengapa dia menjadi mangsa. Apa yang lebih menarik adalah motif dalang tersebut. Nak tahu? Anda perlu tonton filem ini sendiri. Filem arahan Park-Kwang-hyun ini dibintangi oleh Ji Chang-wook, Shim Eun-Kyung dan Ahn Jae-hong sebagai peneraju.

"Bedevilled"

Untuk filem kelima dan terakhir dalam senarai ini penulis rasa filem "Bedevilled" patut ada dalam senarai ini. Bagi penggemar filem thriller 'gore' ini, anda patut tonton filem ini. Walaupun mungkin ada yang akan berkata filem ini terlalu ekstrim tetapi bagi penulis 'gore' yang ditampilkan agak 'mild'.

Ia menceritakan tentang kehidupan seorang wanita yang mendiami di sebuah pulau diperlakukan seperti hamba oleh suami, abang ipar dan seluruh penduduk kampung yang rata-ratanya sudah wanita tua. Dia yang mempunyai seorang anak perempuan sering didera secara fizikal, mental dan seksual, namun dia tetap bersabar dan menanam hasrat untuk keluar dari pulau itu bersama anaknya. Usahanya bagaimanapun gagal apabila dia 'kantoi' telah menyebabkan dia dipukul teruk oleh suaminya yang kemudian secara tidak sengaja menolak anaknya jatuh dan mati.

Seperti mana-mana manusia pasti kesabaran itu ada tahapnya dan wanita itu akhirnya 'meletup' dan melakukan sesuatu di luar dugaan suami dan penduduk di situ. Bagaimanapun pengakhirannya agak tragis. Adakah dia akan berjaya memperoleh kebebasan? Anda perlu tonton sendiri ya! Filem arahan Jang Cheol-soo ini dibintangi oleh Seo Young-hee, Ji Sung-won, Park Jeong-hak, Baek Su-ryun dan ramai lagi.

Cinema Online, 26 Apr 2020

Waktu Tayangan