5 Filem terbaik lakonan Ayushmann Khurrana | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

5 Filem terbaik lakonan Ayushmann Khurrana

Penulis: Nisa Irina

Semua filem lakonan Ayushmann Khurrana ini berkait dengan isu sosial dan isu semasa.
Semua filem lakonan Ayushmann Khurrana ini berkait dengan isu sosial dan isu semasa.

Biarpun namanya masih belum sedekad berada dalam industri perfileman Bollywood, namun Ayushmann Khurrana layak digelar sebagai seorang aktor profesional dan versatil jika dilihat menerusi pencapaian filem-filemnya.

Kebanyakan filem yang dipilih oleh Ayushmann semuanya relevan dan banyak berkait rapat dengan isu-isu sosial yang berlaku dalam kehidupan semasa. Untuk rekod, pemilik nama asal Nishant Khurrana ini juga merupakan seorang penyanyi dan pengacara televisyen.

Buat pengetahuan semua, Ayushmann mula berjinak-jinak dengan bidang lakonan selepas dia membintangi filem debutnya berjudul "Vicky Donor" (2012) arahan Shoojit Sircar. Karier lakonannya semakin menyerlah selepas dia menjayakan filem "Dum Laga Ke Haisha" (2015) bersama aktres Bhumi Pednekar.

Kini Ayushmann mempunyai 15 buah filem dalam tangan dan banyak lagi yang bakal mendatang. Tahun lalu, Ayushmann telah dinobatkan sebagai Aktor Terbaik Anugerah Filmfare 2019 untuk persembahannya menjayakan filem "Andhadhun", serta "Article 15" dan "Bala" bagi Anugerah Skrin 2020. Kali ini, Cinema Online akan menyenaraikan lima filem terbaik lakonan Ayushmann Khurrana.

"Article 15"

Menerusi filem ini, Ayushmann membawa watak sebagai Ayan Ranjan iaitu seorang anggota polis IPS yang dibesarkan di Eropah, menjadikan pemahamannya terhadap negara India lebih eksotik dan berilmu. Pada hari pertama bekerja, kehidupannya berubah selepas terlihat jenayah ngeri melibatkan tiga orang gadis Dalit dari kampung kelas bawahan, Harimanpur. Konflik timbul apabila dia sedar akan cara sistem tradisional menyelesaikan kes tersebut tetapi jika dia masuk campur, ia akan menjadi musibah. Salah seorang daripada tiga gadis itu masih hilang, dan Ayan perlu memilih antara melepas tangan atau bertindak dengan betul dan melawan sistem kasta India. Secara ringkasnya, filem arahan Anubhav Sinha ini memaparkan Article 15 terkandung dalam Perlembagaan India, yang yang melarang diskriminasi terhadap agama, bangsa, kasta, jantina atau tempat kelahiran. Ia diinspirasikan daripada beberapa kisah benar termasuk kes tuduhan rogol Badaun 2014 dan insiden Una 2016. Filem ini memberi mesej yang menasihati orang ramai supaya melakukan perubahan walaupun kecil daripada tidak melakukan apa-apa. Seperti yang ditonjolkan oleh Ayan yang cuba mengurangkan kadar kes jenayah terhadap kasta Dalit. "Article 15" berjaya meraih kutipan pecah panggung dan menerima tayangan perdana di Festival Filem India London 2019. Ia juga telah merangkul Anugerah Skrin 2019, Anugerah Filmfare 2020 dan Anugerah Zee Cine 2020.

"Andhadhun"

Filem thriller jenayah arahan Sriram Raghavan ini berkisarkan tentang seorang pemain piano buta yang berdepan pelbagai masalah dalam hidupnya selepas dia terlibat dengan kes pembunuhan seorang aktor terkenal. Pengarah berjaya membuatkan para penonton berfikir dan berdebat mengenai babak terakhir filem ini yang tergantung. Menurut pengarah, dia mendapat inspirasi untuk menulis skrip ini berdasarkan filem pendek Perancis "L'Accordeur" (The Piano Tuner).

Menariknya, Ayushmann sanggup mempelajari cara bermain piano dan berlatih selama empat jam sehari bersama Akshay Verma, seorang pemain piano berpengkalan di Los Angeles. Malah, dia turut meneliti cara beberapa pelajar yang buta bermain alat muzik tersebut.

Lakonan hebat Ayushmann bersama aktres Tabu dan Radhika Apte dalam "Andhadhun" akhirnya melayakkan filem ini memenangi beberapa anugerah berprestij termasuk Anugerah Skrin 2018, Anugerah Asiavision 2019, Anugerah Zee Cine 2019, Anugerah Filmfare 2019 dan Anugerah Filem Nasional 2019.

"Dream Girl"

"Dream Girl" mengisahkan seorang pemuda yang mempunyai kebolehan menyerupai suara wanita, Karam, yang akhirnya membuat keputusan untuk bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi cari jodoh kerana terdesak mencari kerja. Namun situasi menjadi huru-hara apabila para pelanggannya, yang terdiri daripada lelaki dan wanita, mula jatuh cinta kepadanya dan cuba mencari tuan badan kepada suara tersebut.

Jalan cerita unik yang ditampilkan dalam filem berbajet kecil terbitan Ekta dan Shobha Kapoor ini akhirnya membuahkan hasil apabila ia meraih kutipan pecah panggung selepas ditayangkan. Biarpun tidak sehebat "Article 15" dan "Andhadhun", namun Ayushmann telah menjayakan watak Karam dengan baik sekaligus memberikan persembahan yang melucukan di dalam filem ini.

"Badhaai Ho"

Pengarah Amit Ravindrenath Sharma menampilkan isu sosial relevan menerusi filem komedi kekeluargaan ini, iaitu isu kehamilan golongan pertengahan usia. Ayushmann dipilih untuk membintangi filem ini sebagai Nakul Kaushik, pemuda yang malu dan risau menjadi bahan gurauan rakan-rakannya apabila mendapat tahu ibunya Priyamvada, yang berusia 50-an, hamil lagi.

Elemen-elemen lucu dalam filem ini bukan sahaja datang dari si ibu yang hamil, malah setiap ahli keluarga memainkan peranan penting dalam menjayakan jalan cerita "Badhaai Ho" sehingga ke penghujungnya. Selain Ayushmann, filem ini turut dibintangi Neena Gupta, Sanya Malhotra, Gajraj Rao, Surekha Sikri, Sheeba Chaddha dan ramai lagi.

Untuk rekod, "Badhaai Ho" berjaya dinobatkan sebagai filem pecah panggung kesembilan paling tinggi Bollywood pada tahun 2018. Ia juga telah membolot sebanyak empat anugerah dalam Anugerah Filmfare ke-64, termasuk Aktres Terbaik (Neena Gupta) serta dua kategori Pelakon Pembantu Terbaik untuk Gajraj Rao dan Surekha Sikri. Selain itu, ia turut memenangi anugerah berprestij lain pada 2019 termasuk Anugerah Asiavision dan Anugerah Filem Nasional.

"Bala"

Sama seperti filem "Badhaai Ho", filem "Bala" turut mengupas isu berkenaan masalah sosial, iaitu masalah keguguran rambut yang dialami kaum lelaki. Filem yang diarahkan oleh Amar Kaushik di bawah terbitan Dinesh Vijan ini diinspirasikan dari sebuah filem Bengali arahan Pavel Bhattacharjee.

Selain itu, filem Bala juga menyentuh perkara-perkara berkaitan ketidaksamaan jantina serta pantang larang yang ada dalam masyarakat melalui beberapa babak yang ditampilkan. Pelakon yang turut menjayakan filem ini selain Ayushmann ialah Bhumi Pednekar dan Yami Gautam.

Filem ini mengisahkan Bala, seorang lelaki berasal dari Kanpur, yang menghidap penyakit alopesia di mana ia menyebabkan dia mengalami masalah keguguran rambut yang sangat kritikal. Masalah itu menyebabkan dia mulai kurang keyakinan diri serta sukar untuk berdepan dengan masalah sosial.

Sewaktu dia cuba mengatasi masalah tersebut, terdapat dua orang wanita yang muncul di dalam hidupnya iaitu seorang model dan seorang wanita yang merupakan rakan sekolah sejak kecil. Mereka telah meninggalkan kesan yang besar dalam kehidupannya.

Cinema Online, 25 Apr 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan