Lakonan mantap Sharifah Sakinah diingati penonton | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Lakonan mantap Sharifah Sakinah diingati penonton

Penulis: Ashraf Nasser

Disebalik kontroversi melandanya, namun ramai yang tidak boleh mempertikaikan bakat lakonan Sharifah Sakinah yang sentiasa memberikan lakonan mantap.
Disebalik kontroversi melandanya, namun ramai yang tidak boleh mempertikaikan bakat lakonan
Sharifah Sakinah yang sentiasa memberikan lakonan mantap.

Nama pelakon, pelawak dan pengacara sensasi Sharifah Sakinah bukanlah asing di kalangan peminat industri seni tanah air kerana namanya sentiasa menjadi tajuk utama portal-portal hiburan termasuklah perbualan ramai susulan kontroversi yang membabitkannya.

Di sebalik kontroversi yang melanda Sharifah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, tidak dapat dinafikan darah seni yang mengalir dalam keluarganya membuatkannya menjadi salah seorang pelakon yang bagus.

Sepanjang kariernya sebagai pelakon, beri apa sahaja watak kepada aktres berusia 31 tahun ini pastinya ia akan berjaya menjayakan wataknya dengan baik sekali sehingga memberi impak kepada penonton.

Jadi kali ini Cinema Online ingin senaraikan beberapa lakonan mantap Sharifah Sakinah yang masih diingati oleh penonton sehingga kini.

"Pekak"

Sharifah Sakinah kembali membuat penampilan di layar perak selepas tiga tahun debutnya menerusi filem "Pekak" pada tahun 2016. Filem arahan Mohd Khairul Azri Md Noor ini adalah sebuah naskhah berat yang menampilkan isu-isu yang sedang berlaku dalam masyarakat seperti dadah, pergaulan bebas dan banyak lagi. Dalam filem ini Sharifah Sakinah bawa watak sebagai seorang pelajar sekolah menengah bernama Melur.

Melur seorang gadis 'talam dua muka' iaitu berkelakuan baik di hadapan ibu bapa tetapi di belakang dia merupakan seorang gadis liar yang gemar berparti dan bersosial. Watak yang dibawanya membuatkan perasaan penonton bercampur-baur sepanjang filem ini. Nak tahu hebat ke tidak watak Melur ini, tahukah anda bahawa perkataan 'Onz' yang menjadi trend sejak beberapa tahun lalu sebenarnya datang dari dialog Melur dalam filem ini. Rasanya tak adil untuk penulis memuji Sharifah Sakinah sahaja, kerana setiap pelakon dalam filem ini iaitu Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Zahiril Adzim, Amerul Affendi dan Zaidi Omar memberikan lakonan yang cukup mantap. Sayangnya filem ini tak laku walaupun menang anugerah di luar negara.

"Girlfriend Aku Dari Neraka"

Walaupun ada segelintir orang yang kurang tonton telefilem atau drama Melayu, tetapi percayalah pasti mereka ini pernah menonton telefilem "Girlfriend Aku Dari Neraka" lakonan Sharifah Sakinah sebagai gadis bimbo bernama Lydia. Telefilem itu telah mencetuskan fenomena di kalangan penonton sehingga membuatkan pihak penerbit menyambung telefilem itu kepada drama bersiri pula.

Secara ringkasnya ia berkisarkan mengenai Rudi (lakonan Aiman Hakim) seorang kaki perempuan jatuh cinta dengan Lydia (Sharifah Sakinah) ketika bertemu di sebuah parti kenalannya. Lydia seorang gadis bimbo yang baru habis belajar dari London. Menyangka Lydia adalah mangsa mudah buat Rudi, dia telah menjalin hubungan cinta dengan Lydia. Tetapi sebaliknya berlaku apabila Rudi terpaksa melayan karenah 'pelik' dan 'over the top' kekasihnya itu.

"Bimbi & Bonnie Misi 007"

Sebuah lagi telefilem lakonan Sharifah Sakinah iaitu "Bimbi & Bonni" diangkat ke drama bersiri "Bimbi & Bonni Misi 007". Kejayaan telefilem dan drama "Girlfriend Aku Dari Neraka" telah membuatnya diberi peluang sekali lagi untuk membawa watak gadis bimbo bernama Bimbi. Bagaimanapun dalam naskhah ini dia bergandingan dengan Marsha Milan sebagai watak utama bernama Bonni yang juga bimbo.

Bimbi anak orang kaya, manakala Bonni pula anak pemandu bapanya dan mereka rapat sejak dari kecil oleh kerana Bimbi berperwatakan bimbo, bonnie juga terikut-ikut dengan gaya rakan baiknya itu. Bagaimanapun masalah timbul apabila bapa Bimbi menghilangkan diri dan ini menyebabkan Bimbi tiada wang untuk membeli-belah. Tidak dapat dinafikan gandingan kedua-dua Sharifah Sakinah dan Marsha sememangnya berjaya mencuit penonton dengan gelagat bimbo mereka. Seperti biasa watak Sharifah Sakinah mendapat pujian daripada penonton dan dia boleh dikatakan 'pakar' dalam menjayakan watak bimbo.

"Racun Menantu"

Jika dua drama dan telefilem yang penulis senaraikan menyaksikan Sharifah Sakinah bawa watak sebagai gadis bimbo, namun untuk drama "Racun Menantu" ini dia membawa watak yang sangat berbeza dan lebih berat. Dalam drama ini dia membawa watak sebagai Sara iaitu seorang kanak-kanak yang telah diculik dan dilacurkan. Bagaimanapun apabila dia sudah meningkat dewasa dia telah memasang impian untuk membalas dendam terhadap individu yang menghancurkan hidupnya.

Dalam drama ini penonton dapat menyaksikan lakonan yang cukup berbeza ditampilkan yang membuatkan penonton geram dan tidak senang duduk dengan aksinya, pada masa sama turut berasa simpati dan teruja melihat perancangannya untuk membalas dendam terhadap orang jahat. Banyak pengajaran dan tauladan yang dipaparkan dalam naskhah ini walaupun ia mencetuskan sedikit kontroversi apabila banyak memaparkan babak Sharifah Sakinah berkemban.

"Rise To Power: KL Gangster Underworld"

Siapa kata Sharifah Sakinah tak boleh bawa watak gengster? Ya, dalam filem 'spin-off' "Rise To Power: KL Gangster Underworld" adalah 'spin-off' dari siri asal iflix "KL Gangster Underworld" yang mana ia memberi fokus kepada kehidupan Madam Wong bagaimana dia berjaya menjadi ketua gengster di Bangsar. Bagaimanapun bukan jalan cerita yang ingin diceritakan sebaliknya watak Lydia lakonan Sharifah Sakinah.

Dalam filem ini, Sharifah Sakinah galas watak sebagai Liyanna yang diamanahkan untuk menjadi pengganti sementara Madam Wong susulan dia perlu ke luar negara untuk selesaikan rahsia yang disimpannya sebelum ini. Jika sebelum ini watak-watak yang dibawa Sharifah Sakinah bimbo, berat atau komedi, namun untuk watak Liyanna ini dia tampil dengan lakonan yang cukup berbeza iaitu tidak banyak cakap, sering memperlihatkan riak wajah yang serius dan sentiasa tampil elegan. Walaupun tampil sebagai pelakon pembantu, namun lakonannya berjaya beri impak dan membuatkan ramai yang tertanya-tanya siapakah dia sebenarnya dalam filem itu.

Cinema Online, 04 Dis 2020

Filem Berkaitan:
Pekak (Melayu) (01 Sept 2016)
Ular (Melayu) (05 Dis 2013)


Waktu Tayangan