6 Filem bertemakan kehidupan penjara penuh pengajaran hidup | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

6 Filem bertemakan kehidupan penjara penuh pengajaran hidup

Penulis: Nisa Irina

Filem bertemakan penjara manakah menjadi kegemaran anda?
Filem bertemakan penjara manakah menjadi kegemaran anda?

Biarpun tiada siapa di antara kita yang ingin meneruskan kehidupan di penjara, namun ia tidak menghalang kita daripada perasaan ingin tahu tentang kehidupan di sebalik jeriji besi. Seperti yang kita semua dapat bayangkan, dunia dalam penjara tidak seindah dunia luar, di mana ianya suram dan menakutkan. Tambahan lagi, apabila terdapat penjara-penjara di luar sana yang memberi hukuman penyeksaan berat terhadap banduan-banduannya.

Oleh sebab itu, para pembikin filem menganggap latar belakang kehidupan di penjara amat menarik untuk dijadikan filem untuk memberi pengalaman menonton yang berbeza buat penonton. Kehidupan di penjara juga menarik kerana ia mempunyai skop yang besar untuk menghasilkan jalan cerita dalam sesebuah filem. Berbeza dengan genre-genre lain, kebanyakan filem tentang penjara mengetengahkan genre aksi dan thriller.

Melihat dari sudut perspektif seorang banduan juga boleh menimbulkan rasa kekeliruan terhadap penonton, yang percaya orang bersalah perlu dihukum tetapi pada masa yang sama berasa simpati terhadap mereka. Di sebalik aksi mahupun komedi sesebuah filem penjara, ia turut diselitkan dengan pelbagai pengajaran dan mesej bermoral untuk para penonton ambil iktibar. Oleh itu, kali ini kami akan senaraikan enam filem bertemakan penjara, yang mana ia adalah antara yang terbaik pernah dihasilkan.

"The Shawshank Redemption" (1994)


Berdasarkan novel karya Stephen King "Rita Hayworth and Shawshank Redemption". Filem ini menceritakan kisah pegawai bank Andy Dufresne yang telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di Penjara Negeri Shawshank atas kesalahan membunuh isteri dan kekasihnya, walaupun dia mengaku tidak bersalah. Selama dua dekad, dia berkawan dengan banduan bernama Ellis "Red" Redding, berdepan kekejaman kehidupan di penjara, serta terlibat dengan operasi pengubahan wang haram.

Sehingga hari ini, filem Frank Darabont ini kekal menjadi filem penjara kegemaran ramai. Ia diterajui oleh Tim Robbins dan Morgan Freeman sebagai watak utama. Antara pengajaran yang ingin disampaikan dalam filem ini ialah kegigihan adalah kunci kejayaan dan penuhi kehidupan kita dengan apa jua perkara yang berfaedah, seperti mana yang dilakukan oleh watak Andy sepanjang dia menjalani hidup di penjara. Satu lagi pengajaran filem ini adalah untuk memiliki sesuatu yang berharga, kita perlu menempuh pelbagai halangan, cabaran dan ujian dalam kehidupan kita.

"Miracle in Cell No. 7" (2013)


Jika di Hollywood "The Shawshank Redemption" menduduki tempat pertama sebagai filem penjara terbaik, di Korea Selatan pula milik "Miracle in Cell No. 7". Diarahkan oleh Lee Hwan-kyung, filem ini menampilkan pelakon Ryu Seung-ryong, Kal So-won dan Park Shin-hye. Penulis pasti sesiapa yang telah menonton filem ini pasti mengalirkan air mata. Mesej yang paling jelas dalam filem ini adalah kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya serta hubungan persahabatan yang akrab biarpun masing-masing berbeza latar belakang. Selain itu, ia juga menunjukkan isu penyalahgunaan kuasa sehingga golongan bawahan ditindas, serta mengajar kita untuk tidak merendah-rendahkan golongan pesakit mental.

Berdasarkan kisah benar mengenai seorang lelaki yang diseksa dan dituduh bersalah atas kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun pada 27 September 1982 di Chuncheon. Yong-Gu adalah seorang pesakit mental yang dipenjarakan atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan. Di penjara, dia mula berkawan dengan lima orang banduan, yang membantunya untuk bertemu semula dengan anak perempuannya, Ye-sung, dengan menyeludup kanak-kanak itu ke dalam penjara.

"Law Abiding Citizen" (2009)


Dibintangi dua aktor hebat Hollywood, Jamie Foxx dan Gerard Butler, filem arahan F. Gary Gray ini sangat sesuai buat tontonan penggemar filem-filem thriller. Pengarah bijak mengatur plot filem yang semakin berkembang sehingga membuatkan para penonton tertanya-tanya apa akan jadi pada babak seterusnya. Filem ini menunjukkan realiti ketidakadilan dari segi sistem perundangan dan kesannya terhadap orang awam.

Berlatarkan bandar Philadelphia, filem ini mengisahkan Clyde Shelton, seorang jurutera, yang ingin membalas dendam terhadap pembunuh isteri dan anaknya, ketika rumahnya dipecah masuk. Peguam Nick Rice ditugaskan untuk mengendalikan kes tersebut. Selepas 10 tahun, Shelton mendapati salah seorang pembunuh dikenakan hukuman mati, sementara seorang lagi dibebaskan dengan hukuman ringan. Akibat tidak puas hati dengan manipulasi undang-undang yang dibuat oleh Rice, Shelton akhirnya membuat keputusan untuk menuntut bela atas kematian keluarganya sendiri dan merancang pembunuhan-pembunuhan dengan kebijaksanaannya.

"The Next Three Days" (2010)


Masa depan John Brennan dan isterinya Lara gelap apabila Lara telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan membunuh majikannya walaupun dia mengaku tidak bersalah. Selama tiga tahun John bergelut untuk membahagikan waktu bekerja dan membesarkan anak lelakinya. Dia akhirnya nekad untuk membuktikan bahawa Lara tidak bersalah. Rayuan terakhirnya yang ditolak menyebabkan Lara ingin membunuh diri, memaksa John untuk memilih jalan drastik untuk menyelamatkan isterinya, iaitu memecah masuk penjara.

'Remake' filem Perancis "Pour Elle" ini diarahkan oleh Paul Haggis dan dibintangi oleh pelakon terkenal Russell Crowe dan Elizabeth Banks. Ia berdasarkan kisah benar tentang seorang wanita Perancis didakwa walaupun apa yang dilakukan oleh watak utama itu terang-terangnya salah, tetapi jika dipandang dari sudut positif, ia memberi motivasi kepada para penonton dengan peribahasa 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', seperti mana watak utama berusaha untuk menyelamatkan isterinya.

"Escape from Alcatraz" (1979)


Sebuah lagi filem yang diangkat dari kisah benar adalah "Escape from Alcatraz". Ia menceritakan semula kisah yang berlaku pada 1962, di mana empat banduan melarikan diri dari Penjara Persekutuan Alcatraz, yang sememangnya terkenal dengan tahap kawalan keselamatannya yang sangat ketat. Walau bagaimanapun, hanya tiga orang yang berjaya melarikan diri. Tiada siapa yang tahu nasib banduan-banduan itu dan sehingga kini ia kekal menjadi misteri. Filem pecah panggung pada 1979 ini dibintangi oleh Clint Eastwood, Jack Thibeau dan Fred Ward.

Pengarah Don Siegel berjaya memberikan pengalaman menonton yang hebat dengan hasil arahannya, hingga para penonton berasa simpati dengan banduan-banduan yang dipenjarakan di sana. Para penonton memahami tiada apa yang lebih mereka mahukan selain kebebasan. Pada penghujung filem ini, hanya satu soalan yang bermain di fikiran penonton: Apa itu kebebasan? Filem ini banyak berkait dengan apa yang diinginkan oleh semua manusia iaitu kebebasan.

"The Green Mile" (1999)


Jika kebanyakan filem penjara menceritakan kisah banduan, lain pula dengan filem arahan Frank Darabont ini, yang mana ia menceritakan kisah seorang pengawal penjara bernama Paul Edgecomb. Selepas seorang banduan bernama John Coffey dipenjarakan dan dihukum mati, selepas dituduh membunuh sepasang adik beradik dengan kejam, Paul mendapati kejadian-kejadian aneh mula berlaku di penjara itu. Dia mula menduga jika Coffey benar-benar bersalah atas tuduhan tersebut.

Filem ini dibintangi oleh Tom Hanks dan Michael Clarke Duncan sebagai peneraju utama. Ia diangkat daripada novel nukilan Stephen King yang sama judulnya. Ia memberi pengajaran kepada para penonton untuk menerima perbezaan kehidupan orang lain serta memaafkan masa lampau seseorang. Selain itu, ia juga mengajar penonton supaya tidak menilai seseorang dari luarannya. Oh ya, jangan lupa sediakan tisu sebelum menonton filem ini!

Cinema Online, 11 Jul 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan