8 Filem yang menggambarkan masalah kesihatan mental dengan tepat | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

8 Filem yang menggambarkan masalah kesihatan mental dengan tepat

Penulis: Nisa Irina

Dapatkah anda rasai sendiri perasaan sebagai seorang pesakit masalah kesihatan mental dengan menonton filem-filem ini?
Dapatkah anda rasai sendiri perasaan sebagai seorang pesakit masalah kesihatan
mental dengan menonton filem-filem ini?

Sehingga hari ini, ramai yang mengaitkan masalah kesihatan mental dengan ketidakwarasan atau gila. Stigma sosial yang timbul akibat salah faham ini merupakan salah satu punca ramai pesakit mental yang menderita dalam diam. Oleh sebab itu, ianya penting untuk orang ramai membuat penyelidikan dan banyakkan membaca untuk membuang persepsi negatif sebegini dalam kalangan masyarakat.

Masalah kesihatan mental juga sering menjadi tema yang diangkat oleh pembikin filem untuk dijadikan jalan cerita. Namun begitu, para pembikin filem perlulah mengkaji dengan lebih mendalam tentang apa yang mereka ingin sampai bagi mengelakkan kecelaruan dan kekeliruan penonton.

Contohnya, filem pecah panggung 2019 "Joker" lakonan Joaquin Phoenix, di mana para penonton membuat kesimpulan bahawa keganasan yang dilakukannya berpunca daripada masalah kesihatan mental yang dihadapinya. Ia tidak dipersetujui oleh beberapa pakar psikiatri yang menjelaskan majoriti pesakit masalah mental tidak akan bertindak ganas.

Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, kita dapat lihat tahun demi tahun industri perfileman Hollywood menerbitkan berpuluh-puluh filem mengenai masalah kesihatan mental untuk membuka mata masyarakat mengenainya, tetapi kali ini kami akan senaraikan lapan filem yang memaparkan masalah kesihatan mental dengan tepat.

"Benny & Joon" (1993)

Kematian tragik ibu bapa mereka memaksa Benny dan adik perempuannya Joon untuk tinggal bersama. Joon difahamkan menghidap skizofrenia, menyebabkan dia sering berhalusinasi dan sensitif terhadap bunyi bising. Dia kemudiannya jatuh cinta dengan seorang lelaki bernama Sam. Ramai yang mempunyai stereotaip terhadap pesakit skizofrenia dan beranggapan mereka sukar untuk menjalin hubungan cinta atau menyayangi seseorang tetapi filem ini menceritakan sebaliknya.

"Girl, Interrupted" (1999)

Berdasarkan memoir Susanna Kaysen, filem ini mengisahkan kehidupannya selepas dimasukkan ke sebuah rumah sakit jiwa pada sekitar tahun 1960-an, gara-gara hampir bunuh diri kerana menghidap kecelaruan personaliti pinggiran (BPD-Borderline personality disorder), serta terlebih dos alkohol dan pil ketika berusia 18 tahun.

Di sana, dia mula mengenali Lisa, seorang wanita yang didiagnosis sebagai 'sociopath' dan beberapa pesakit dengan masalah kesihatan mental berbeza. Walau bagaimanapun, Lisa enggan mendapatkan bantuan dan rawatan, serta kuat memberontak. Susanna berdepan dilema apabila dia perlu membuat pilihan sama ada terus kekal di sana bersama rakan-rakannya, atau kembali bersosial dalam masyarakat luar.

Selain memaparkan pelbagai jenis masalah kesihatan mental, filem ini turut memberi gambaran bagaimana sesetengah pesakit mengalami tekanan dan kemurungan sehingga bertindak mencederakan diri sendiri atau membunuh diri. Namun begitu, mesej utama yang ingin disampaikan adalah Susanna diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan sempurna.

"A Beautiful Mind" (2001)

Sebuah filem biopik berdasarkan kisah benar pakar matematik terkenal John Forbes Nash Jr, yang menghidap skizofrenia. Filem ini menceritakan cabaran hidup yang dihadapi oleh John, termasuk paranoia dan halusinasi yang dihadapi sehingga mengganggu kariernya. Walau bagaimanapun, John tidak digambarkan sebagai seseorang yang berperwatakan teruk sebagai mana watak-watak fiksyen dalam filem lain, sebaliknya dia bersifat baik hati, pintar dan mudah berasa simpati. Ramai pakar psikiatri memuji filem ini kerana para pembikin betul-betul memahami fakta tentang skizofrenia.

"Donnie Darko" (2001)

Sebuah lagi filem yang menceritakan keadaan pesakit skizofrenia remaja bernama Donnie Darko, yang mengetengahkan genre thriller seram. Ketika menonton filem ini, penonton sukar untuk membezakan antara realiti dan fantasi dalam dunia Donnie. Itulah perasaan yang dialami oleh seseorang pesakit skizofrenia. Malah Donnie turut mempunyai rakan imaginasi iaitu Frank the Bunny, yang sering memberitahunya bahawa dunia bakal hancur dalam 28 hari dan memanipulasi mindanya sehingga Donnie bertindak ganas. Donnie turut berasa tertekan dan keliru kerana orang-orang di sekelilingnya tidak nampak apa yang dia nampak dan menghiraukan amarannya.

"Melancholia" (2011)

Kisah dua beradik Claire dan Justine, yang bukan sahaja berdepan konflik hidup masing-masing, malah ditambah dengan satu lagi masalah apabila sebuah planet misteri, Melancholia, bakal berlanggar dengan Bumi. Pada hari perkahwinannya, Justine bergelut untuk berpura-pura gembira di sebalik kemurungan yang dialaminya, sementara Claire cuba mengawal kerisauannya yang melampau. Filem ini dihasilkan berdasarkan pengalaman pengarah Lars von Trier berdepan masalah kesihatan mental. Ketika menjalani sesi terapi, pakar terapinya memberitahu individu yang mengalami kemurungan akan berasa lebih tenang terhadap malapetaka. Seperti Justine yang kekal bertenang biarpun dia tahu dunianya bakal hancur.

"Silver Linings Playbook" (2012)

Dipaparkan dalam bentuk drama komedi, filem ini merupakan adaptasi novel nukilan Matthew Quick. Ia mengisahkan Pat Solitano yang kembali tinggal bersama ibu bapanya selepas dibenarkan keluar dari sebuah hospital psikiatri. Dia menghidap 'Bipolar Disorder', iaitu penyakit mental yang melibatkan gangguan emosi yang ketara, selepas kehilangan isteri dan kerjanya. Dia kemudiannya mengenali Tiffany Maxwell, seorang janda yang cuba membantunya menangani penyakit tersebut.

Walaupun filem ini memaparkan keadaan seseorang pesakit 'Bipolar Disorder' dengan baik, tetapi terdapat kritikan terhadap cara pakar terapi Pat merawatinya. Ketika dalam satu sesi, pakar terapi Pat memainkan lagu majlis perkahwinan Pat bersama isterinya untuk melihat sama ada ia masih mengganggu fikirannya. Pada pendapat pakar psikiatri, tindakan itu tidak beretika dan tidak realistik.

"The Perks of Being a Wallflower" (2012)

Tidak dinafikan masalah kesihatan mental banyak berlaku dalam kalangan remaja, maka sebab itu terhasilnya filem ini. Ia berdasarkan buku yang sama judulnya, mengisahkan pelajar sekolah tinggi bernama Charlie yang menghidap kecelaruan stres pasca trauma atau 'Post Traumatic Stress Disorder' (PTSD) dan berasa janggal untuk bersosial. Pada mulanya, hidupnya kesunyian sehinggalah dia berkawan dengan dua senior iaitu Patrick dan Sam yang menceriakan hari-harinya. Namun, dia keadaan kesihatan mentalnya kembali terganggu apabila Patrick dan Sam bakal masuk ke kolej. Filem ini memaparkan perjalanan hidup Charlie, termasuk ketika dia dimasukkan ke sebuah hospital psikiatri dan trauma zaman kanak-kanak yang dialaminya akibat gangguan seksual.

"Frozen" (2013)

Biarpun animasi Disney kegemaran ramai ini ditujukan buat golongan kanak-kanak, namun ia mengandungi pengajaran yang memberi impak kepada individu-individu yang berdepan masalah kesihatan mental. Watak utamanya, Elsa si Ratu Salji, hidup dalam ketakutan dan berasa bimbang jika kewujudannya akan membahayakan orang-orang di sekelilingnya, terutama adiknya Anna, kerana memiliki kuasa luar biasa. Perkara itu menjadi punca Elsa mengalami 'anxiety' sehingga dia bertindak melarikan diri untuk tinggal bersendirian dan menjauhkan diri daripada orang lain.

Cinema Online, 18 Jul 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan