9 Filem Bollywood pecah panggung yang pernah ditolak oleh Kajol | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

9 Filem Bollywood pecah panggung yang pernah ditolak oleh Kajol

Penulis: Nisa Irina

Kajol mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menolak filem-filem berkenaan.
Kajol mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menolak filem-filem berkenaan.

Kajol Devgn merupakan salah seorang bintang filem paling terkenal di Bollywood. Dia telah menjayakan pelbagai watak-watak ikonik yang terus diingati para peminat sehingga ke hari ini. Kajol dikenali dengan persembahan lakonannya menjayakan filem-filem pecah panggung seperti "Baazigar", "Kabhi Khushi Kabhie Gham..." dan "My Name Is Khan".

Di sebalik semua kejayaan filem-filem berkenaan, Kajol juga terkenal untuk menolak filem-filem atas sebab seperti watak yang dirasakan tidak sesuai dengannya dan isu pelanggaran tarikh. Kali ini, kami akan senaraikan sembilan buah filem besar yang Kajol pernah tolak.

"Mohabbatein"

Antara filem klasik Bollywood pecah panggung yang kekal menjadi kegemaran para peminat adalah "Mohabbatein" arahan Aditya Chopra, yang diterajui oleh Shah Rukh Khan dan Amitabh Bachchan. Pada asalnya, watak yang dibawakan oleh Aishwarya Rai iaitu Megha ditawarkan kepada Kajol, namun dia menolaknya kerana enggan membawakan watak kecil dan sibuk dengan projek lain. Mengikut perancangan asal, Aishwarya hanya dipilih sebagai watak istimewa, malah kelibatnya juga tidak ada dalam treler filem, namun kejayaan filem itu mengubah fikiran para pembikin filem untuk memberi kredit kepada Aishwarya.

"Veer-Zaara"

Salah satu filem paling romantik Bollywood adalah "Veer-Zaara" arahan Yash Chopra. Filem ini menampilkan Shah Rukh Khan dan Preity Zinta sebagai peneraju utama. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Yash teringin untuk menggandingkan Shah Rukh Khan dengan Kajol dalam filem ini. Sayangnya Kajol menolak tawaran Yash atas sebab yang tidak didedahkan. Walau apapun, Preity berjaya memikat hati peminat dengan usahanya menjayakan watak Zaara.

"Shakti: The Power"

Diarahkan oleh Krishna Vamsi, "Shakti: The Power" merupakan sebuah 'remake' filem Hollywood "Not Without My Daughter". Bagi pendapat pembikin filem ini, watak Nandini yang dibawa oleh Karisma Kapoor sangat sesuai buat Kajol kerana personalitinya sama. Namun Kajol menolaknya dan spekulasi mula tersebar mengatakan Ajay Devgn tidak bersetuju untuk Kajol membintangi filem bersama Shah Rukh Khan. Sebelum Karisma dan Kajol, filem ini sepatutnya menjadi filem kemunculan semula Sridevi tetapi dia terpaksa digantikan kerana mendapati dia baru hamil.

"Dil To Pagal Hai"

Agak sukar untuk membayangkan filem arahan Yash Chopra "Dil To Pagal Hai" tanpa Karisma Kapoor sebagai Nisha. Namun para peminat perlu tahu, sebelum Karisma, watak itu telah ditawarkan kepada Kajol dan Juhi Chawla. Walau bagaimanapun, Kajol memberi alasan bahawa dia tidak pandai menari dan tidak mahu membawa watak sampingan. Karisma akhirnya menjayakan watak Nisha dengan baik dan filem muzikal romantik ini berjaya menerima sambutan ramai.

"Chalte Chalte"

Sebelum Rani Mukerji, Shah Rukh Khan selaku penerbit filem ini telah menawarkan watak Priya kepada Aishwarya Rai. Pada ketika itu Aishwarya sedang bercinta dengan Salman Khan, yang mana aktor itu membuat kacau di set penggambaran sehingga Shah Rukh Khan terpaksa mengeluarkan Aishwarya dari filemnya. Ia kemudiannya ditawarkan kepada Kajol tetapi dia menolaknya atas sebab yang tidak diketahui. Asalnya, Rani juga telah menolak tawaran Shah Rukh Khan kerana berpendapat watak itu serupa dengan wataknya dalam filem "Saathiya", tetapi dia akhirnya bersetuju untuk membintanginya.

"Dil Se.."

"Dil Se.." arahan Mani Ratnam adalah salah satu filem yang mencipta fenomena dengan runut filemnya yang terdiri daripada lagu-lagu seperti "Chaiyya Chaiyya" dan "Dil Se Re". Filem ini menggandingkan Shah Rukh Khan dengan Manisha Koirala. Difahamkan, Kajol terpaksa menolak tawaran filem ini kerana isu pelanggaran tarikh dengan projek yang lain. Pasti menarik jika para peminat dapat menyaksikan Kajol membawa watak pengganas dalam filem ini seperti yang dijayakan oleh Manisha.

"3 Idiots"

Filem komedi pecah panggung yang menggandingkan Aamir Khan, R. Madhavan, Sharman Joshi dan Kareena Kapoor ini diarahkan oleh Rajkumar Hirani. Tahukah anda bahawa Kareena merupakan pilihan kedua pengarah selepas Kajol? Dalam sebuah temubual, Kajol mendedahkan sebab dia menolak tawaran Rajkumar adalah kerana watak yang ditawarkan tiada potensi besar dan dia mungkin tidak berasa gembira membintangi filem ini. Walau bagaimanapun, Kareena berjaya menarik perhatian penonton dengan persembahan lakonannya dalam filem ini.

"Khamoshi: The Musical"

Filem pertama arahan Sanjay Leela Bhansali ini telah menerima sambutan ramai dan reaksi positif daripada para pengkritik. Salman Khan dan Manisha Koirala dipilih sebagai watak utama. Pada mulanya watak Annie ditawarkan kepada Kajol tetapi entah mengapa dia menolaknya dan akhirnya watak itu diberikan kepada Manisha. Persembahan lakonan Manisha sebagai seorang anak kepada pasangan suami isteri pekak dan bisu berjaya mencipta namanya sehingga kini.

"Khabi Alvida Naa Kehna"

Filem muzikal romantik arahan pembikin filem tersohor Karan Johar yang diterajui nama-nama besar Bollywood seperti Amitabh Bachchan, Shah Rukh Khan, Abhishek Bachchan dan Preity Zinta. Sebelum watak bernama Naina diberikan kepada sepupunya Rani Mukerji, ia telah ditawarkan kepada Kajol. Malangnya, sekali lagi Kajol berdepan isu pelanggaran tarikh dan terpaksa menolaknya. Walau bagaimanapun, Kajol tidak menghampakan harapan KJo dan para peminat apabila dia bersetuju untuk membuat kemunculan istimewa dalam filem ini.

Cinema Online, 03 Jul 2020

Waktu Tayangan