5 Aktres Bollywood yang tolak berlakon dengan Salman Khan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

5 Aktres Bollywood yang tolak berlakon dengan Salman Khan

Penulis: Nisa Irina

Siapa sangka aktres-aktres ini sanggup menolak tawaran berlakon dengan Salman Khan.
Siapa sangka aktres-aktres ini sanggup menolak tawaran berlakon dengan Salman Khan.

Salman Khan adalah aktor yang sememangnya tidak asing dalam industri Bollywood memandangkan hampir semua filem yang dibintanginya akan meraih sambutan hebat dan kutipan pecah panggung. Jarang sekali kita dengar pelakon-pelakon lain enggan bekerjasama dengan Salman dalam mana-mana projek filem. Boleh dianggap rugi besar jika sesiapa menolaknya!

Walau bagaimanapun, para peminat perlu tahu bahawa terdapat beberapa aktres yang pernah menolak untuk bekerjasama dengan Salman. Sebelum ini, aktres Vidhya Balan, Amy Jackson dan Parineeti Chopra pernah menolak tawaran filem "Kick" yang dibintangi Salman sebagai watak utama atas alasan watak sampingan filem itu tidak cukup kuat serta terlibat dengan projek filem lain.

Kali ini, kami ingin senaraikan lima lagi aktres Bollywood yang pernah menolak untuk bergandingan dengan bintang Bollywood terkenal itu!

Aishwarya Rai Bachchan

Filem epik Sanjay Leela Bhansali "Bajirao Mastani" asalnya ditawarkan kepada Aishwarya Rai Bachchan dan Salman Khan. Walau bagaimanapun, hasrat Bhansali untuk menggandingkan Aishwarya dan Salman dalam filemnya tidak kesampaian memandangkan kedua-dua selebriti itu telah pun memutuskan hubungan mereka selepas bercinta selama dua tahun. Hubungan mereka pernah menjadi buah mulut orang ramai apabila Aishwarya mendedahkan sikap Salman yang panas baran. Sejak itu, mereka tidak lagi dilihat berkongsi skrin dalam sebarang projek filem.

Deepika Padukone

Deepika Padukone telah membuat debut dalam industri Bollywood menerusi filem klasik "Om Shanti Om", di mana dia berkongsi skrin dengan Shah Rukh Khan. Namun sebelum kejayaan debutnya, Deepika sebenarnya pernah menolak sebuah filem bersama Salman Khan kerana mengakui belum bersedia. Itu juga bukan kali pertama kerana Deepika juga telah menolak tawaran filem lain iaitu "Jai Ho", "Bajrangi Bhaijaan", "Kick", "Prem Ratan Dhan Payo" dan "Sultan". Walaupun tidak mengeluarkan kenyataan sendiri, namun terdapat spekulasi mengatakan Salman pernah mempersendakan suami Deepika, Ranveer Singh.

Kangana Ranaut

Memang tidak dapat dinafikan segala perhatian akan diberikan kepada Salman Khan setiap kali dia tampil dalam filem, menyebabkan pelakon lain kurang mendapat perhatian. Itulah alasan sama yang diberikan oleh Kangana Ranaut ketika dia menolak tawaran filem Ali Abbas Zafar, "Sultan", yang dibintangi Salman sebagai watak utama. Ketika itu juga, filemnya "Tanu Weds Manu Returns" berjaya meraih sambutan baik maka dia tidak mahu namanya jatuh kerana memainkan watak sampingan dalam "Sultan". Kangana yang terkenal dengan mulut lantangnya turut berpendapat bahawa dirinya tidak sesuai untuk membawa watak dalam filem tersebut.

Twinkle Khanna

Keserasian Twinkle Khanna dan Salman Khan terserlah ketika mereka membintangi filem "Jab Pyaar Kisise Hota Hai" dan filem itu juga berjaya meraih kutipan yang agak tinggi. Walau bagaimanapun, sejak itu Twinkle tidak lagi dilihat membintangi filem bersama Salman tanpa diketahui sebabnya. Malah Twinkle juga bersikap selektif dalam menerima tawaran dan dikatakan menolak setiap filem yang akan menggandingkannya dengan Salman.

Ameesha Patel

Ameesha Patel berjaya mencipta nama dalam industri Bollywood dengan filem-filem lakonannya seperti "Kaho Naa... Pyaar Hai" dan "Gadar", jadi tidak hairanlah jika para peminat sentiasa meletakkan harapan tinggi terhadapnya. Tidak lama selepas itu, Ameesha telah menerima tawaran untuk membintangi "Yeh Hai Jalwa" bersama Salman Khan. Sayangnya, gandingan mereka tidak begitu serasi hingga menyebabkan filem itu gagal. Sejak itu, Ameesha tidak lagi memilih untuk berlakon dengan Salman.

Cinema Online, 27 Sept 2020

Waktu Tayangan