Anime & manga popular diadaptasi ke filem 'live action' | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Anime & manga popular diadaptasi ke filem 'live action'

Penulis: Ashraf Nasser

Adakah anda seorang peminat anime/manga? Jika ya, sudahkah anda tonton filem-filem ini?
Adakah anda seorang peminat anime/manga? Jika ya, sudahkah anda tonton filem-filem ini?

Jika di Amerika Syarikat mereka popular dengan komik-komik adiwira Marvel's, namun di Jepun mereka juga sangat terkenal dengan komik tetapi ia tidak dipanggil komik sebaliknya manga.

Apa yang membuatkan manga sangat besar di Jepun adalah ia bukanlah untuk kanak-kanak sahaja, tetapi manga mempunyai pelbagai genre untuk setiap lapisan umur, oleh sebab itu ia sangat popular bukan sahaja di kalangan orang Jepun sahaja tetapi peminat anime dari serata dunia.

Jadi tidak hairan semakin banyak manga yang diterjemah dalam bahasa Inggeris supaya ia mudah difahami oleh pembaca luar negara.

Walaupun dunia sudah pun semakin moden dan lebih ke arah digital, namun trend membaca anime masih lagi kekal popular kerana kini mereka tidak lagi perlu membeli anime secara fizikal sebaliknya boleh membacanya secara dalam talian.

Tidak dapat dinafikan sesetengah animen mempunyai 'fan base' yang cukup besar di serata dunia telah menarik perhatian pembikin filem untuk membawa anime ke layar perak menerusi format 'live action'.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan 10 buah filem 'live action' yang diadaptasi dari anime popular.

"Bleach" (2018)

Anime "Bleach" sememangnya sangat terkenal bagi peminat naskhah bergenre aksi. Manga nukilan Tite Kubo ini sangat popular mempunyai peminat tegar yang mana ia kemudian diangkat ke anime selama 15 musim dengan beratus episod termasuk beberapa filem anime yang dihasilkan sejak tahun 2004. Populariti yang dikecapi anime ini telah membawa kepada filem 'live action' yang diarahkan Shinsuke Sato. Walaupun hanyalah berdurasi sejam lebih, namun penonton terutamanya peminat tegar berpuas hati dengan garapan Shinsuke yang berjaya 'compress' musim pertama dalam "Bleach: The Soul Reaper Agent Arc".

"Attack On Titan" (2015)

Bermula dari manga dengan judul "Attack On Titan" pada tahun 2009, anime ini terus mendapat sambutan daripada peminat anime. Susulan ia sangat popular, manga Hajime Isayama ini turut mempunyai manga dalam bahasa Inggeris untuk pembaca antarabangsa. Populariti anime ini telah menarik minat pengarah Shinji Higuchi untuk menghasilkan filem 'live action' yang mana ia telah ditayangkan pada tahun 2015. Filem ini dihasilkan dalam dua bahagian iaitu "Attack On Titan" dan "Attack On Titan: End of the World". Bagaimanapun ia mendapat kritikan hebat daripada peminat anime ini yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan hasilnya.

"Death Note" (2006 & 2017)

Manga "Death Note" sangat popular pada awal tahun 2000 iaitu lebih tepat lagi bermula tahun 2003. Siri manga oleh Tsugumi Ohba dan Takeshi Obata ini hanya mempunyai 12 siri yang mana ia berakhir pada tahun 2006. Bagaimanapun pada tahun sama filem 'live action' "Death Note" dihasilkan oleh Shusuke Kaneko. Ia turut dihasilkan dalam dua bahagian iaitu "Death Note" dan "Death Note 2: The Last Name" yang diriliskan pada tahun yang sama.

Bagaimanapun pada tahun 2017, produksi dari Amerika Syarikat pula menghasilkan versi bahasa Inggeris terbaru "Death Note" untuk tayangan di Netflix. Bagaimanapun 'live action' arahan Adam Wingard tidak mendapat pujian seperti yang diharapkan sebaliknya menerima kritikan hebat daripada peminat yang lebih menyukai versi asal Jepun. Bagaimanapun, sekuel filem ini sedang dalam pembikinan yang akan mendapat sentuhan Greg Russo.

"Tokyo Ghoul" (2017)

Sama seperti manga lain, manga "Tokyo Ghoul" oleh Sui Ishida ini adalah naskhah aksi seram fantasi gelap. Ia sangat popular di kalangan peminat manga dari dalam dan luar negara dan ia kemudian telah diangkat ke layar perak menerusi 'live action' pada tahun 2017 yang diarahkan oleh Kentari Hagiwara. Bagaimanapun sama seperti beberapa 'live action' yang pernah dihasilkan, nampaknya ramai peminat tegar manga ini kurang berpuas hati dengan filem 'live action'. Ia mungkin bukan kerana jalan ceritanya atau kesan khas yang tidak bagus, tetapi berkemungkinan besar peminat tidak puas kerana filem hanya berdurasi sejam lebih sahaja.

"Fullmetal Alchemist" (2017)

Anime fantasi gelap sains fiksyen "Fullmetal Alchemist" antara anime/manga yang paling lama iaitu selama sembilan tahun dengan 27 volume. Sama seperti manga atau anime yang lain, ia bukan sahaja popular di kalangan peminat Jepun sahaja, tetapi juga peminat manga di serata dunia. Populariti manga Hiromu Arakawa Honda dan Dean Fujioka ini telah menarik minat Warner Bros untuk mengangkat naskhah ini ke layar perak dalam versi 'live action'. Menerusi 'live action' ini yang ditayangkan pada tahun 2017 ini, ia menggabungkan empat volume pertama. Adakah 'live action' "Fullmetal Alchemist" ini akan ada sekuel? Sama-sama kita tunggu.

"Alita Battle Angel" (2019)

Mungkin segelintir peminat manga/anime era 2000 tidak mengetahui atau belum pernah membaca manga "Gunnm" (Alita Battle Angel) ini kerana ia mula diterbitkan pada tahun 1990 hingga 1995 dengan mempunyai 9 volume sebelum ia diadaptasi ke animasi "Battle Angel". Walaupun ketika itu dunia digital masih asing, namun ia tidak menghalang peminat manga dari luar negara untuk membacanya kerana manga itu turut mempunyai versi bahasa Inggeris. Sama seperti "Death Note", manga bergenre cyberpunk-aksi nukilan Yukito Kishiro ini berjaya menarik minat produksi Amerika untuk menerbitkan 'live action'. Diterbitkan oleh James Cameron dan diarahkan oleh Robert Rodriguez, filem 'live action' ini mendapat sambutan memberangsangkan dan mendapat pujian daripada peminat tegar manga ini.

"Detective Pikachu" (2019)

Rasanya tak lengkap sekiranya filem 'live action' "Detective Pikachu" tiada dalam senarai ini. Umum mengetahui kegilaan ramai terhadap Pokemon yang bermula menerusi anime pada tahun 1997 dan ia merupakan paling lama dalam sejarah kerana sehingga kini ia masih lagi ditayangkan. Anime ini sangat popular dan ia telah berjaya di francais dalam pelbagai bentuk seperti filem animasi, permainan video, permainan patung dan pelbagai lagi. Antara watak ikonik Pokemon yang sangat popular sudah semestinya Pikachu. Populariti Pokemon ini telah menarik minat produksi dari Amerika untuk menghasilkan "Detective Pikachu".

Bagaimanapun, filem 'live action' ini bukanlah adaptasi seratus peratus sebaliknya ia diolah dengan menampilkan jalan cerita yang berbeza. Walaupun ada peminat tegar Pokemon kecewa kerana tidak dapat melihat Ash dalam 'live action', namun filem ini mendapat sambutan dan pujian daripada peminat yang kagum dengan animasi yang dikatakan sangat 'real'.

"Dragonball: Evolution" (2009)

Sebuah lagi manga/anime ikonik Jepun yang wajib ada dalam senarai ini sudah semestinya "Dragon Ball". Bermula sebagai manga pada tahun 1984 hingga 1995, manga "Dragon Ball" n menjadi sangat popular sehingga ia diangkat ke siri animasi selepas dua tahun manga itu menemui peminat manga. Sejak dari itu, beratus episod dan banyak filem yang dihasilkan. Tidak dapat dinafikan masyarakat di Amerika Syarikat antara peminat terbesar manga Jepun, oleh itu ia telah menarik minat Stephen Chow untuk menerbitkan filem 'live action' yang diberi judul "Dragonball: Evolution".

Diarahkan oleh James Wong, filem yang diangkat dari manga Akira Toriyama ini berkisarkan mengenai masa lampau Goku dan perlu bertarung dengan musuh asing Lord Piccolo yang mahu menguasai Bumi. Percaya atau tidak, pembikinan filem ini memakan masa yang cukup lama yang mana ia mula dibangunkan pada tahun 2002. Walaupun pada mulanya peminat "Dragon Ball" teruja menanti tayangan filem 'live action' dari manga/anime kegemaran mereka, namun apabila ia ditayangkan ia mendapat kritikan hebat, malah review di laman filem popular IMDB memperlihatkan filem ini hanya diberi 2.5 bintang sahaja daripada 10 bintang.

Apa yang kita dapat pelajari adalah tidak semua manga/anime dapat diangkat ke versi 'live action' kerana kadang-kala 'feel' membaca manga atau menonton anime dengan menonton 'live action' sangatlah jauh berbeza kerana peminat telah meletakkan harapan tinggi. Apa-apa pun, ia adalah satu percubaan baik dalam 'merealisasikan' impian segelintir peminat yang ingin melihat manga atau anime kegemaran mereka diangkat ke versi 'live action'.

Cinema Online, 04 Nov 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan