Anak-anak pasangan selebriti Malaysia popular di media sosial | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Anak-anak pasangan selebriti Malaysia popular di media sosial

Penulis: Nisa Irina

Si comel yang manakah menjadi pilihan hati anda?
Si comel yang manakah menjadi pilihan hati anda?

Para peminat pasti akan mengikuti perkembangan selebriti-selebriti kegemaran mereka menerusi media sosial, terutamanya di Instagram. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, ramai selebriti Malaysia telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata yang comel-comel belaka. Malahan, mereka turut terkena tempias populariti ibu bapa masing-masing sehinggakan mereka mempunyai pengikut dan peminat tersendiri.

Populariti yang semakin meningkat juga menjadi faktor anak-anak pasangan selebriti ini diangkat sebagai duta atau model bagi jenama-jenama produk makanan mahupun fesyen. Ada juga yang menerima tawaran berlakon walaupun usia masih kecil. Iyalah, ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Oleh itu, mari kita lihat senarai anak-anak pasangan selebriti yang popular di media sosial!

Aaisyah Dhia Rana

Siapa tak kenal anak pasangan pelakon Rozita Che Wan, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana yang petah berkata-kata dalam dialek Utara. Walaupun baru berusia enam tahun, namun puteri cilik ini sangat pandai bergaya hinggakan dia sentiasa terpilih menjadi model kanak-kanak bagi jenama-jenama fesyen terkenal. Para peminat Aaisyah di laman Instagramnya yang kini mempunyai 1.5 juta pengikut, sering memuji kecantikan Aaisyah yang gemar berhias dan memakai aksesori seperti ibunya. Malah, dalam perkongsiannya ketika pergi bercuti bersama keluarga, Aaisyah juga dilihat sudah pandai bersolek!

Lara Alana

Pejam celik pejam celik, usia anak gadis pasangan pelakon dan pengacara Awal Ashaari dan Scha Alyahya, Lara Alana, sudah pun mencecah enam tahun. Biarpun masih muda, keperibadian Lara sudah kelihatan persis ibunya. Bukan hanya pandai bergaya, malah Lara juga pandai membawa diri jika bersama orang luar dan rakan-rakannya. Dihantar ke sekolah antarabangsa sejak berusia 18 bulan lagi, Lara dilihat fasih berbahasa Inggeris ketika bercakap dengan keluarga, rakan-rakan dan pengasuhnya.

Pada 2016, sebuah rancangan berjudul "Lara Oh Lara" mengisahkan kehidupan harian Lara telah ditayangkan. Lara yang mempunyai 4.1 juta pengikut di Instagram, pernah dinobatkan sebagai Personaliti Media Sosial Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-29. Tidak lama lagi, Lara juga bakal bergelar kakak memandangkan kini Scha sedang hamil cahaya mata kedua!

Yusuf Iskandar & Alisa Aisyah

Yusuf Iskandar, buah hati cilik pasangan pelakon Hairul Azreen dan Hanis Zalikha ini dilihat semakin membesar dengan pintar. Seperti yang sering dikongsi oleh Hanis, sejak kecil lagi Yusuf sudah diberi pendekatan pendidikan dan kehidupan harian seperti membaca buku bergambar, bermain dengan bentuk, dan makan menggunakan sudu dan garfu.

Pada 2016, rancangan "Hairul & Hanis Junior" telah ditayangkan bagi menceritakan kehidupan harian Yusuf, yang kini mempunyai seramai 2.8 juta pengikut di Instagram. Untuk itu, dia juga menang Anugerah MeleTOP Era 2017 bagi kategori Si Cilik MeleTOP. Yusuf fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dengan orang-orang sekelilingnya, termasuk adik perempuannya Alisa Aisyah.

Sejak lahir lagi, Alisa sudah menarik perhatian ramai dengan kecomelan tersendiri, sama seperti Yusuf. Bulu mata Alisa yang lentik persis anak patung juga sering membuat para peminat 'cair', ditambah pula dengan gelagat comelnya seperti yang dikongsikan menerusi laman Instagram Alisa yang kini mempunyai 1.1 juta pengikut. Baru berusia setahun, Alisa juga sudah pandai mengusik ibunya dengan keletah-keletah comel dan manja, terutamanya dengan perkataan 'tadaa' sehingga dia diberi gelaran 'Si Tada'.

Aqeef Anaqi & Ayra Aryssa

Kehadiran Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa menceriakan lagi hidup pasangan pelakon Amyra Rosli dan Amar Baharin. Mengikut jejak langkah ibu bapanya, Anaqi sering dipilih untuk menjadi model kanak-kanak bagi jenama fesyen PrimaValet setiap kali tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri. Selain itu, kerajinan Anaqi dalam membantu ibu bapanya mengemas rumah dan melakukan aktiviti beriadah sering menarik perhatian para peminatnya di Instagram, yang kini mempunyai 717 ribu pengikut.

Beberapa bulan sebelum kelahiran Aryssa pula, Amyra telah mengadakan majlis 'baby shower' bagi mendedahkan jantina anaknya, di mana ketika itu ianya masih belum diketahui Amar. Kini usia Aryssa sudah pun mencecah enam bulan dan si comel ini juga mempunyai laman Instagram sendiri, dengan lebih 145 ribu pengikut. Melihat pada tumbesarannya, Aryssa sering dilihat tersenyum sama seperti ibunya.

Attar, Hayla & Aya Soffya

Pasangan pelakon romantik Wawa Zainal dan Aeril Zafril memberi nama-nama indah kepada cahaya mata mereka, iaitu Ahmad Fakhruddin Attar dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa. Terdahulu, Wawa pernah meluahkan rasa bimbang kerana putera sulungnya yang kini berusia tujuh tahun, mengalami 'speech delay' kerana terlalu kerap didedahkan dengan gajet. Namun lama kelamaan Attar sudah mula menunjukkan perubahan baik setelah dihantar ke kelas terapi.

Hayla pula sering mencuri perhatian ramai kerana kecantikannya serta matanya yang galak dan cantik. Bukan itu sahaja, Aeril juga rajin melayan keletah Hayla dengan menghasilkan video-video TikTok anak gadisnya itu, selain menyanyi lagu-lagu Hindustan.

Kini anak ketiga mereka iaitu Aya Soffya menjadi pelengkap keluarga kecil ini. Jika wajah Attar dan Hayla mirip Aeril, kali ini Wawa gembira kerana wajah Aya persis wajahnya. Hanya Aya sahaja yang mempunyai laman Instagram setakat ini, dengan lebih 330 ribu pengikut.

Syeriv Samheizy & Sarima Samheizy

Anak sulung kepada pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin yang diberi nama unik iaitu Syeriv Samheizy, sentiasa mencuri perhatian peminat dengan keletahnya yang menghiburkan. Tambahan pula, Syatilla berkongsikan foto dan video Syeriv, atau nama panggilannya Mat Yip, dengan kapsyen-kapsyen melucukan. Aktiviti yang paling digemari si cilik ini adalah berenang, di mana sejak kecil lagi ibu bapanya sering membawanya ke kolam renang. Mat Yip mempunyai lebih 920 ribu pengikut di Instagram miliknya.

Dua tahun selepas kelahiran Mat Yip, pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan yang diberi nama Sarima Samheizy. Dengan wajah persis Sam, Sarima juga mempunyai nama panggilan manjanya sendiri iaitu Mima dan Bubu. Memang ikut jejak ibu bapanya, Mima sering mencuit hati peminat dengan keletah dan 'drama' tersendiri, lebih-lebih lagi si comel ini suka membuat mimik muka melucukan! Seperti Mat Yip, Mima juga mempunyai laman Instagram sendiri berserta lebih 134 ribu pengikut.

Jebat Jayden

Putera cilik kepada pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila ini sudah mencuri tumpuan ramai sejak seminggu dia dilahirkan, kerana namanya yang unik, iaitu kombinasi nama klasik dan moden, Jebat Jayden. Para peminat sering terhibur melihat keletah Jebat membesar dengan comel dan lucu di laman Instagram miliknya yang kini mempunyai lebih 335 ribu pengikut. Malah Jebat juga sering tampil dalam foto dan video yang dimuat naik di laman Instagram makciknya yang juga selebriti popular, Noor Neelofa. Biarpun Sharnaaz dan Nabila sah bercerai, namun Jebat masih ditatang bagai minyak yang penuh oleh kedua ibu bapanya.

Arif Jiwa

Arif Jiwa merupakan cahaya mata pasangan Asyraf Khalid dan pelakon Indonesia Tya Arifin, yang mencipta nama di Malaysia. Arif juga adalah cucu kepada penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Berwajah comel dan mempunyai pipi yang tembam, Arif mempunyai gelaran manjanya sendiri iaitu Pipi Pao. Biarpun usianya masih kecil, namun ibu bapa Arif sudah memberi lampu hijau dan sentiasa bersikap terbuka jika ada pihak yang berminat untuk menawarkan lakonan atau iklan kepada Arif.

Arif mempunyai laman Instagram sendiri yang kini mencecah lebih 849 ribu pengikut dan pernah dinobatkan sebagai pemenang kategori Si Cilik MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2018. Arif juga pernah mencuri perhatian ramai apabila berpeluang untuk bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Cinema Online, 30 Ogos 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan