7 Bintang Bollywood yang sanggup ambil risiko demi jayakan watak | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

7 Bintang Bollywood yang sanggup ambil risiko demi jayakan watak

Penulis: Nisa Irina

Lakonan bintang Bollywood manakah yang menjadi kegemaran anda?
Lakonan bintang Bollywood manakah yang menjadi kegemaran anda?

Untuk bergelar seorang bintang filem bukanlah sesuatu yang mudah, seseorang perlu mula dari bawah dengan usaha keras sendiri sehingga berjaya mencipta nama dalam industri. Begitulah yang dirasai oleh setiap pelakon, termasuk bintang-bintang Bollywood yang sememangnya terkenal dengan filem-filem pecah panggung. Tahun demi tahun, kita dapat lihat bagaimana seseorang bintang Bollywood itu berjaya memecah rekod dengan memberi persembahan terbaik dalam filem lakonan mereka.

Walau bagaimanapun, ia bukan sekadar lakonan spontan dan menghafal skrip, tetapi mereka perlu pergi lebih jauh hanya untuk menjayakan sesebuah watak. Malah, ramai juga yang sanggup mengambil risiko sehingga ia menjejaskan keadaan mental dan fizikal masing-masing! Oleh itu, mari kita lihat antara bintang-bintang terkenal Bollywood yang sanggup ambil risiko demi menjayakan watak dalam filem mereka!

Ranveer Singh

Ranveer Singh merupakan salah seorang aktor Bollywood yang terkenal dengan menjayakan watak-watak ikonik dalam pelbagai filem berbeza genre. Menerusi filem sejarah Sanjay Leela Bhansali "Bajirao Mastani" (2015), Ranveer sanggup membotakkan kepala dan mengurung dirinya dalam bilik hotel selama 21 hari bagi menghayati watak Perdana Menteri Empayar Maratha, Bajirao I.

Di samping itu, suami kepada bintang terkenal Deepika Padukone ini juga sanggup meneruskan penggambaran di luar dalam cuaca panas, biarpun pada ketika itu dia kurang sihat. Pada akhir penggambaran, seorang doktor terpaksa digegaskan ke set penggambaran bagi merawat Ranveer yang telah mengalami dehidrasi.

Aamir Khan

Sinonim dengan gelaran yang diberikan kepadanya iaitu, 'Mr. Perfectionist', Aamir Khan akan sentiasa memberikan persembahan terbaik dalam filem-filem lakonannya. Dia telah meletak sasaran tinggi untuk dirinya, jadi sebab itu para peminat tidak pernah kecewa dengan lakonannya. Apa yang mengejutkan orang ramai adalah transformasi bentuk badannya daripada gemuk ke tegap, demi menjayakan filem terbitannya, "Dangal" (2016).

Pada mulanya, dia menambah berat badan sebanyak 25kg dalam tempoh enam bulan untuk menjayakan watak Mahavir Singh Phogat yang lebih tua, sebelum menurunkan serta membina badan dalam tempoh lima bulan untuk menjayakan watak Mahavir, seorang atlet gusti, sewaktu muda. Sangat menakjubkan!

Saif Ali Khan

Kalau tidak memberus gigi sehari pun sudah berasa tidak selesa, apatah lagi selama 15 hari. Percaya atau tidak, itulah yang dilakukan oleh Saif Ali Khan untuk menjayakan watak Ishwar 'Langda' Tyagi dalam filem "Omkara" (2006)! Hasilnya, gigi Saif bertukar jadi kuning seperti yang diinginkan demi watak tersebut.

Alia Bhatt

Aktres Alia Bhatt berjaya mencipta nama dalam industri Bollywood dalam tempoh yang singkat dengan persembahan lakonannya yang spontan dan menjadi. Walau bagaimanapun, Alia menyifatkan wataknya sebagai Bauria dalam filem Ekta Kapoor "Udta Punjab" (2016) adalah yang paling sukar dia pernah lakonkan. Malah dia turut mengakui ia adalah satu pengalaman yang traumatik. Selain perlu mempelajari dialek Bihari dan Punjabi, dia juga tidak mencuci rambut selama 20 hari dan membiarkannya kusut masai hanya kerana inginkan penampilannya persis pekerja buruh dalam filem tersebut.

Rajkummar Rao

Cuba bayangkan penampilan seseorang yang terperangkap dalam biliknya selama berhari-hari, tanpa ada sumber makanan, air dan elektrik, pasti kusut masai bukan? Buat pengetahuan pembaca, begitulah rupa Rajkummar Rao dalam filem "Trapped" (2016) terbitan Anurag Kashyap! Bagi menghayati watak pekerja pusat telekomunikasi bernama Shaurya itu, Rajkummar mengamalkan diet dengan hanya makan lobak merah dan minum kopi pekat untuk memastikan berat badannya susut. Menurut Rajkummar, sebagai aktor itu adalah tanggungjawabnya untuk memberi persembahan yang terbaik buat pembikin filem dan juga penonton. Hebatlah Rajkummar!

Randeep Hooda

Masih ingat dengan watak Randeep Hooda dalam filem Bhushan Kumar "Sarbjit" (2016)? Lelaki India bernama Sarabjit Singh yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tertinggi Pakistan dan dipenjarakan selama 22 tahun atas tuduhan menjadi perisik dan terlibat dengan aktiviti pengganas. Untuk rekod, pihak produksi tidak menggunakan sebarang kesan visual untuk bentuk badan Randeep yang kurus kering, sebaliknya dia sendiri yang menurunkan berat badan secara drastik untuk watak itu.

Dengan hanya mengambil sebanyak 500 hingga 600 kalori sehari, Randeep berjaya menurunkan berat sebanyak 18kg dalam tempoh 28 hari. Menurut Randeep akibat kekurangan gula dalam badan, dia sukar untuk tidur malam kerana kelaparan. Malah kerana terlalu menghayati wataknya, ia turut mengganggu emosi dan mental Randeep, sehinggakan dia terpaksa memberitahu diri sendiri yang dia bukanlah seorang penjenayah yang dijatuhkan hukuman. Sungguh menakutkan!

Nawazuddin Siddiqui

Memang tidak boleh bayangkan aktor lain selain Nawazuddin Siddiqui untuk membawa watak pembunuh bersiri yang menghidap paranoid schizophrenia, Ramanna, dalam filem Anurag Kashyap "Raman Raghav 2.0" (2016). Terkenal dengan kerja kerasnya untuk menjayakan watak-watak berbeza, Nawazuddin mengakui wataknya dalam filem itu sangat memenatkan sehingga dia terpaksa dikejarkan ke hospital dan menyebut dialog-dialog dalam keadaan separuh sedar.

Sebelumnya, Nawazuddin mendedahkan bahawa dia telah mengurung diri selama hampir sebulan di Lonavala untuk menghayati wataknya, dan sebab itu jugalah dia telah meninggalkan rumahnya selama dua hari tanpa memberitahu sesiapa kerana takut akan dirinya. Watak Ramanna betul-betul menguasai dirinya sehingga mengganggu keadaan mental dan emosi Nawazuddin. Meremang bulu roma jika bayangkan keadaan diri aktor ini.

Cinema Online, 15 Ogos 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan