Selebriti Bollywood wanita yang berkahwin dengan orang luar | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Selebriti Bollywood wanita yang berkahwin dengan orang luar

Penulis: Nisa Irina

Selebriti Bollywood ini tampak bahagia bersama pasangan masing-masing.
Selebriti Bollywood ini tampak bahagia bersama pasangan masing-masing.

Mana mungkin Bollywood akan lengkap tanpa kisah-kisah romantik, tidak kira di dalam filem mahupun di dunia nyata. Ternyata perbezaan budaya, kaum mahupun usia bukanlah halangan untuk dua hati bertaut. Begitulah kisah selebriti-selebriti Bollywood yang membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan dengan orang luar.

Ada di antara mereka yang bercinta secara rahsia sebelum berkahwin, dan ada juga yang tidak malu untuk menunjukkan betapa manisnya percintaan mereka di media sosial. Oleh itu, mari kita lihat senarai selebriti Bollywood wanita yang sudah berkahwin dengan jejaka luar pilihan hati mereka!

Priyanka Chopra

Priyanka Chopra menjadi tumpuan seluruh dunia apabila dia menerima lamaran penyanyi dan aktor Hollywood Nick Jonas, di mana pasangan romantik itu mengadakan resepsi secara gilang-gemilang di Istana Umaid Bhawan, Jodhpur, India, pada Disember 2018. Lebih manis lagi, jarak usia 10 tahun dan perbezaan kaum serta budaya tidak menjadi penghalang untuk mereka mengekalkan kebahagiaan dalam kehidupan selepas berkahwin.

Preity Zinta

Di sebalik timbulnya pelbagai spekulasi di Bollywood, Preity Zinta akhirnya memberi kejutan kepada rakan-rakan selebriti dan para peminat apabila berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Gene Goodenough, dalam sebuah majlis tertutup di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat, pada Februari 2016. Dedah Preity, mereka mula mengenali antara satu sama lain di Santa Monica, dan bercinta selama lima tahun secara rahsia sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Radhika Apte

Walaupun Radhika Apte sudah berkahwin dengan pemain biola British Benedict Taylor sejak 2012, tetapi tidak ramai yang tahu akan perkahwinan mereka sehinggalah awal tahun lalu. Memandangkan kedua-duanya mempunyai karier masing-masing, mereka perlu mengekalkan hubungan jarak jauh dan akan berjumpa setiap bulan, sama ada Radhika akan ke United Kingdom, ataupun Benedict ke India. Bagi Radhika, perkara itu tidak menjadi masalah buat mereka asalkan kedua-dua belah pihak memberi komitmen terhadap hubungan mereka.

Celina Jaitly

Mengakui ianya adalah cinta pandang pertama, Celina Jaitly membuat keputusan untuk berkahwin dengan usahawan dan pengusaha hotel Peter Haag, yang berasal dari Austria. Pasangan itu bertunang dalam sebuah majlis tertutup di kediaman mereka di Mumbai pada 2010 dan berkahwin pada 2011. Mereka dikurniakan dua pasang cahaya mata kembar lelaki, Winston dan Viraaj, serta Arthur dan Shamser. Walau bagaimanapun, Shamser meninggal dunia akibat penyakit jantung.

Shriya Saran

Shriya Saran mengenali suaminya Andrei Koscheev, yang berasal dari Rusia, ketika mereka pergi bercuti di Maldives. Pada ketika itu, Andrei tidak tahu bahawa Shriya adalah seorang aktres jadi dia menonton filem-filem buah hatinya secara dalam talian. Malah Andrei turut membawa Shriya bersiar-siar di St. Petersburg, di mana Shriya pernah menjalani penggambaran sebuah lagu dalam filem "Arjun". Pasangan itu berkahwin dalam satu majlis tertutup yang diadakan di kediaman Shriya di Rajasthan, India, pada March 2018.

Sweta Keswani

Sebelum berkahwin dengan peguam New York, Ken Andino, pada Oktober 2012, Sweta pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor Amerika Alexx O'Nell pada 2008. Walau bagaimanapun, hubungan mereka hanya bertahan selama empat tahun sebelum kedua-duanya membuat keputusan untuk berpisah. Kini Sweta dan Ken hidup bahagia bersama seorang anak perempuan yang berusia tujuh tahun.

Cinema Online, 11 Sept 2020

Waktu Tayangan