Filem Tamil bikin anda ternganga dengan aksi tak masuk akal & langgar hukum fizik | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem Tamil bikin anda ternganga dengan aksi tak masuk akal & langgar hukum fizik

Penulis: Ashraf Nasser

Adakah anda seorang peminat filem-filem Tamil?
Adakah anda seorang peminat filem-filem Tamil?

Bagi anda yang pernah merasai zaman sebelum televisyen satelit, sudah pasti anda dahulu pernah menonton filem-filem Tamil yang ditayangkan di TV2 ketika itu yang mana antara pelakon Tamil pujaan ramai sudah semestinya Superstar Rajinikanth.

Filem Tamil ini berbeza dengan filem Bollywood kerana penyampaiannya ditampilkan dalam bentuk yang keterlaluan. Ia lebih kepada filem aksi romantik berbanding Bollywood yang banyak menghasilkan filem romantik drama.

Apa yang membuatkan filem Tamil ini lebih dikenali adalah babak-babak pertarungannya yang akan membuatkan anda 'ternganga' dengan aksinya yang bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi melanggar hukum fizik.


Sebagai contohnya, Rajinikanth sangat terkenal dengan babak menyalakan rokok dengan membaling rokok ke udara dan menembak rokok itu sebelum menghisapnya. Ya, sememangnya tidak masuk akal, namun itulah istimewanya filem Tamil ini.

Walaupun aksi yang ditampilkan tidak dapat diterima oleh akal fikiran, namun filem-filem ini sangat popular di kalangan peminat filem Tamil sekaligus menjadi 'trademarks'.

Jika hendak disenaraikan, rasanya lebih 100 buah filem, jadi Cinema Online hanya akan menyenaraikan beberapa buah filem sahaja yang mana babaknya sehingga kini masih diingati sehingga kini.

"Singham 123"

Tidak dapat dinafikan imaginasi pembikin filem Tamil ini kadang kala melangkaui imaginasi pembikin filem Hollywood. Sebagai contoh, filem aksi komedi "Singham 123" ini berkisarkan mengenai seorang pegawai polis. Antara babak paling ikonik dalam filem ini adalah pelakon utamanya iaitu Sampoornesh Babu ketika bertarung dengan sekumpulan penjenayah. Dia tidak keluarkan pistol yang ada di pinggangnya, sebaliknya mengeluarkan buah pisang yang dibuka kulitnya sebelum 'menyebelih' musuh-musuhnya sehingga mati. Lebih mengejutkan lagi, pisang ini digunakan untuk menikam dada musuh terakhir. Antara babak tak masuk akal lain dapat filem ini termasuklah memanah menggunakan ayam sebagai anak panah. Tak logik? Anda tentukan sendiri.

 

"Hrudaya Kaleyam"

Sebuah lagi filem yang dibintangi Samppornesh Babu berjudul "Hrudaya Kaleyam". Jika sebelum ini di membawa watak pegawai polis, namun dalam filem ini di membawa watak sebagai seorang pencuri alat elektronik. Percayakah anda jika penulis katakan alat-alat elektronik yang dicuri itu bertujuan untuk membuat jantung baru? Ya, sesuatu yang amat luar biasa bukan. Ketika si hero dalam perjalanan membawa jantung itu ke hospital dia telah diserang oleh penjahat, namun dia sempat melontar jantung itu ke hospital dan lebih menakjubkan jantung itu terus terjatuh di tubuh si heroin yang sedang dalam bilik pembedahan sekaligus berjaya selamatkan si heroin. Pengamal perubatan terutama doktor pakar bedah kalau tengok aksi doktor dalam filem ini boleh meninggal dunia terus kerana bukan sebab jantung tiruan itu sahaja tetapi juga cara doktor itu menjahit tubuh si heroin itu yang mana dia buat seperti menjahit baju (iaitu putus benang guna gigi).



Si heroin hidup, namun si hero mati. Ketika si hero dibakar ketika pengebumian, sekumpulan penjahat muncul dan mengganggu si heroin. Yang peliknya anggota polis yang berada di situ hanya melihat sahaja tanpa membantu. Namun apabila si heroin menjerit meminta pertolongan, sesuatu luar biasa dan tak boleh diterima akal, si hero tiba-tiba hidup semula dari mati.

 

 

"Enthiran"

Walaupun penulis sudah sentuh babak oleh Superstar Rajinikanth, namun rasanya tak lengkap senarai ini jika tiada filem bintang itu. Filem "Enthiran" ini boleh dikatakan filem "Terminator" versi Tamil yang mana ia menyaksikan Rajinikanth bergandingan dengan aktres Bollywood terkenal Aishwarya Rai sebagai peneraju. Apa yang penulis boleh kata babak robot manusia dalam filem ini lebih hebat dari Terminator sebab bukan ada satu sahaja robot, tapi ada satu batalion. Dalam salah satu babak pertempuran antara robot manusia Chitti ini dengan pasukan tentera memperlihatkan kehebatan robot itu menepis setiap tembakan, peluru berpandu dan bermacam lagi tanpa sedikit pun terjejas.

Malah, ribuan robot itu bergabung menjadi pelbagai jenis bentuk berjaya membuat tentera huru-hara termasuklah bergabung menjadi robot gergasi. Cukup menakjubkan pada masa sama tidak masuk akal langsung. Itulah kuasa filem Tamil!

 

"Dharmapuri"

Jika anda peminat filem Tamil, sudah pasti bintangi filem Vijayakanth merupakan antara aktor kegemaran anda. Sama seperti bintang filem lain, Vijayakanth juga banyak membintangi filem aksi yang sememangnya menampilkan aksi-aksi 'luar biasa'. Salah satunya adalah dalam babak filem "Dharmapuri" yang menyaksikan klimaks di mana Vijayakanth berdepan musuhnya dalam pertarungan terakhir.

Jika di Hollywood kita kagum dengan kehebatan Neo dalam filem "The Matrix" mengelak ratusan peluru, namun Vijayakanth 10 kali lebih hebat dari Neo apabila dia bukan sahaja tidak mengelak peluru yang ditembak oleh musuh, malah peluru yang mengenai tubuhnya terbias dan terkena si penembak! Hebat dan luar biasa! Tetapi yang menjadi persoalan polis ramai-ramai di tempat kejadian buat apa? Mereka semua lengkap dengan senjata, namun hanya menjadi penonton sahaja melihat hero berseorang menentang puluhan penjahat.

 

"Narasimha"

Jika anda rasa babak peluru terbias dari tubuh Vijayakanth cukup hebat dan luar biasa, anda silap kerana ada satu babak lagi yang boleh membuatkan satu dunia terkejut dan lebih parah lagi jurutera elektrik boleh sakit jantung melihat babak ini. Ya, filem yang dimaksudkan adalah filem "Narasimha".

Dalam salah satu babak Vijayakanth telah ditangkap oleh musuh dan diikat di sebuah kerusi dengan dipakaikan helmet elektrik (sebenarnya helmet motorsikal yang diubah suai). Ketika seorang penjahat meletakkan rod elektrik di kepalanya, Vijayakanth tidak langsung terkena renjatan elektrik sebaliknya tersenyum sambil berkata 'Jika orang biasa menyentuh elektrik, mereka akan terkena renjatan elektrik. Saya Narashimha. Jika elektrik menyentuh saya, elektrik yang akan terkena renjatan.' Kegilaan apakah ini? Tak percaya? Tonton video di bawah ni.

 

"Aambala"

Pembikin filem Tamil sememangnya gemar menghasilkan filem-filem berkiatan dengan polis termasuklah filem "Aambala" yang diterajui oleh Vishal. Apa yang menarik filem ini bukanlah ketika si hero bertarung dengan penjahat, tetapi 'dramatic entrance'-nya ketika tiba di tempat penjahat.

Jika anda kagum dengan aksi hebat kereta dalam filem "Fast & Furios", anda pasti akan lebih kagum dengan aksi kereta dalam filem ini. Vishal yang membawa watak sebagai polis a.k.a si hero tidak duduk di dalam kereta pacuan empat roda, sebaliknya duduk di bonet hadapan sambil bersilang kaki. Malah lebih menakjubkan kereta itu bukannya bergerak seperti biasa, tetapi terbang. Si hero tidak sedikit pun tergelincir, malah boleh tersenyum lagi. Tak masuk akal? Tak logik? Filem Hollywood pun tak logik juga, tetapi filem Tamil membawa maksud 'tak logik' ke tahap lebih tinggi.

Sebenarnya banyak lagi babak-babak aksi tak masuk akal dan langgar hukum fizik filem Tamil ini, tetapi penulis senaraikan beberapa sahaja kerana kalau mahu senaraikan semua pastinya artikel ini terlalu panjang.

Jangan risau, di bawah penulis serta video kompilasinya. AMARAN! Jangan tengok video ini ketika sedang makan kerana bimbang anda termuntah kerana tidak tahan ketawa!

(Sumber video: Youtube -RIN-)

 

Cinema Online, 19 Nov 2020

Waktu Tayangan