Filem-filem Jepun berdasarkan legenda urban terkenal | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem-filem Jepun berdasarkan legenda urban terkenal

Penulis: Nisa Irina

Filem manakah yang paling membuatkan anda rasa gerun?
Filem manakah yang paling membuatkan anda rasa gerun?

Seringkali kita mendengar perkataan legenda urban atau 'urban legend' disebut-sebut tetapi apakah maksud yang sebenarnya? Legenda urban, mitos urban dan kisah urban mempunyai maksud yang sama, iaitu kisah dongeng yang disampaikan secara turun temurun. Kebiasaannya kisah yang disampaikan berlaku terhadap ahli keluarga atau rakan-rakan.

Legenda urban seringkali dikaitkan dengan kisah-kisah seram dan melucukan, tetapi kebanyakannya tentulah kisah seram dan misteri yang tidak terungkai. Tidak semua legenda urban adalah benar, kadangkala nenek moyang kita mereka-reka cerita dengan tujuan untuk menakut-nakutkan kita sahaja.


Fikiran kita pasti penuh tanda tanya jika bercakap mengenai legenda urban. Boleh dikatakan setiap negara mempunyai legenda urbannya tersendiri. Pernah dengar mitos tentang raksasa Loch Ness di Scotland dan Segi Tiga Bermuda? Sampai sekarang misterinya belum terungkai bukan? Tetapi kali ini Cinema Online tidak mahu mengulas tentang itu kerana artikel kali ini akan memfokuskan legenda urban di negara matahari terbit, Jepun!

"Ring" (1998)

"Ring" diinspirasikan dari kisah Sadako Yamamura, seorang gadis yang tinggal di Jepun pada tahun 1900-an. Ibunya adalah seorang psikik dan bekerja dengan penyelidik Dr. Fukurai. Keputusan eksperimen Dr. Fukurai menyebabkan saintis lain menuduh ibu Sadako penipu. Akibat tertekan, ibu Sadako membunuh diri, menyebabkan Sadako kemurungan. Dia mendapati dirinya turut mempunyai kuasa psikik dan Dr. Fukurai cuba membunuh Sadako dengan mencampaknya dalam sebuah perigi. Selepas seminggu cuba menyelamatkan diri, Sadako akhirnya mati dengan bersumpah untuk membalas dendam.

Diarahkan oleh Hideo Nakata, filem ini menceritakan kisah wartawan Reiko Asakawa cuba menyiasat misteri sebuah pita rakaman yang menyebabkan kematian ramai orang, termasuk sepupunya selepas menontonnya. Pita rakaman itu akan memaparkan entiti Sadako yang merangkak keluar dari perigi dan keluar menerusi kaca televisyen. Reiko mula mengalami gangguan aneh selepas menonton sendiri rakaman tersebut. Dengan bantuan bekas suaminya, Reiko cuba menghentikan sumpahan pita rakaman itu sebelum terlambat.

Sambutan menggalakkan filem ini menyebabkan ramai pembikin filem dari serata turut menghasilkan filem-filem tersendiri berdasarkan idea kreatif masing-masing seperti filem Korea "The Ring Virus" (1999), filem Hollywood "The Ring" (2002), "The Ring Two" (2005) dan "Rings" (2017). Malah ia turut dihasilkan dalam bentuk permainan video "The Ring: Terror's Realm" dan "The Ring: Terror's Realm".

"Ju-On: The Curse" (2000)

Entiti yang dipaparkan dari filem ini adalah Kayako Saeki, wanita yang berkahwin Taeko dan mempunyai anak lelaki bernama Toshio. Walau bagaimanapun, selepas membaca diari Kayako, Takeo percaya yang Kayako curang di belakangnya. Apabila Kayako pulang dari kerja, Takeo memukul dan menikamnya dengan sebilah pisau di hadapan anak mereka. Ketika cuba lari, Kayako terjatuh hingga kakinya terseliuh.

Dia cuba merangkak turun dari tangga, namun Takeo sempat menangkapnya dan mematahkan tengkuknya sehingga dia lumpuh. Hanya bunyi suaranya yang serak kedengaran. Kayako kemudiannya dibiarkan mati di loteng, sementara Toshio dilemaskan dan mayatnya disimpan dalam almari. Orang Jepun percaya, jika anda pergi ke rumah Kayako, anda akan nampak kelibatnya yang berlumuran darah merangkak turun tangga dengan bunyi suara seraknya.

Filem pertama dari francais "Ju-On" ini diarahkan oleh Takashi Shimizu, dan jalan ceritanya serta nama watak dibikin sama dengan lagenda urban tersebut. Seperti "Ring", filem ini turut menarik perhatian para pembikin filem dari Jepun dan Hollywood untuk menghasilkan francais, menampilkan siri filem terkenal "Ju-On: The Grudge" dan trilogi "The Grudge" yang turut diarahkan oleh Takashi dan filem terbaru arahan Nicolas Pesce "The Grudge" yang ditayangkan tahun ini.

"Carved: The Slit-Mouthed Woman" (2007)

Filem ini berdasarkan lagenda urban mengenai Kuchisake-onna, roh wanita yang mulutnya terkoyak. Ia digambarkan sebagai roh yang kejam, di mana ia akan berkeliaran mencari mangsa dengan memakai topeng dan kot labuh serta membawa senjata tajam. Setelah menemui mangsa, dia akan bertanya soalan "Saya cantik tak?". Jika mangsa menjawab ya, dia akan membuka topeng dan mengoyakkan mulut mangsa menggunakan bilahnya supaya wajah mereka kelihatan sama. Jika jawapan mangsa adalah tidak, Kuchisake-onna akan terus membunuhnya.

Seperti "Teketeke", filem ini juga diarahkan oleh Kōji Shiraishi. Kyōko Yamashita, seorang guru sekolah, telah terlibat dengan kes kehilangan pelajar bernama Mika, yang diculik Kuchisake-onna selepas dia enggan pulang ke rumah kerana didera ibunya. Kyōko dibantu oleh seorang lagi guru di sekolahnya, Noboru Matsuzaki, yang menyimpan pelbagai rahsia. Kini mereka perlu bekerjasama untuk mencari Mika dan menamatkan kekejaman Kuchisake-onna.

"Carved: The Slit-Mouthed Woman" dibintangi oleh Eriko Sato dan Haruhiko Kato sebagai peneraju utama. Pengarah turut menghasilkan sekuelnya yang berjudul "Carved 2: The Scissors Massacre". Sekuel filem ini pula menceritakan kisah seorang aktres disimbah asid dan menyebabkan kecederaan teruk di bahagian muka, yang mana mulutnya terkoyak hingga ke telinga.

"Teketeke" (2009)

Teke Teke atau Teketeke adalah legenda urban mengenai roh seorang gadis yang mati selepas terjatuh di landasan kereta api dan badannya terputus dua di bahagian pinggang akibat dilanggar kereta api. Roh gadis itu dikatakan berkeliaran di kawasan bandar dan stesen-stesen kereta api untuk membalas dendam. Dia akan mengheret badannya menggunakan tangan atau siku sambil membawa sebilah pisau pemotong yang panjang. Semasa menyeret badannya, ia akan mengeluarkan suara berbunyi 'teke-teke-teke'.

Filem "Teketeke" arahan Kōji Shiraishi mengisahkan Kana Ohashi, seorang pelajar sekolah tinggi, yang ingin menyiasat sejarah Teke Teke, lebih-lebih lagi selepas rakan baiknya mati dibunuh makhluk itu. Dengan bantuan sepupunya, Kana mendapat tahu Teke Teke adalah roh jururawat wanita yang membunuh diri dengan terjun dari jambatan kereta api pada 1948, akibat trauma selepas dirogol oleh askar Amerika. "Teketeke" dibintangi oleh Yuko Oshima, Mami Yamasaki dan Mai Nishida. Oleh sebab ia mendapat mendapat sambutan ramai, akhirnya sekuel berjudul "Teketeke 2" telah dirilis pada tahun yang sama.

"Toire no Hanako-san: Shin Gekijôban" (2013)

Berdasarkan legenda, Hanako-san adalah roh kanak-kanak perempuan berambut pendek dan bergaun merah yang menghantui tandas-tandas sekolah. Terdapat pelbagai versi kisah Hanako-san, yang pertama dia dibunuh oleh penjaganya di sebuah tandas sekolah, yang kedua dia membunuh diri dalam tandas sekolah dan yang ketiga dia adalah kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara ketika bersembunyi di tandas sekolah ketika Perang Dunia Kedua.

Untuk menyerunya, seseorang perlu masuk ke tandas perempuan ketiga, ketuk pintunya tiga kali dan bertanya jika Hanako-san ada atau tidak. Jika Hanako-san ada, dia akan menjawab ya dan si penyeru akan ditarik ke dalam tandas yang terus ke neraka atau dimakan oleh cicak gergasi berkepala tiga.

Filem arahan Yamada Masashi ini mengisahkan Sayo Nagasawa, yang berpindah dari Tokyo untuk tinggal bersama neneknya di desa. Pada hari pertama di sekolah barunya sebagai pelajar pertukaran, Sayo mendapati rakan barunya Maho telah dibuli oleh rakan-rakan sekelas. Namun kerana malu, dia gagal menyelamatkan Maho. Sayo akhirnya mendapati bahawa Maho telah mati setelah dibiarkan terperangkap dalam tandas sekolah dalam tempoh yang lama.

Sebelumnya, legenda Hanako-san juga pernah diterbitkan dalam versi lain iaitu filem "Toire no Hanako-san" (1995) arahan Joji Matsuoka dan "Shinsei Toire no Hanako-san" (1998) arahan Yukihiko Tsutsumi. Malah ia turut dihasilkan dalam manga (komik Jepun) "Toilet-Bound Hanako-kun", yang mana penulis Iro Aida memaparkan wataknya dalam versi lelaki. Komik itu akan diadaptasi ke siri animasi televisyen Jepun dengan judul yang sama tahun ini.

"The Howling Village" (2020)

Filem ini merupakan naskhah terbaru arahan Takashi Shimizu dirilis tahun ini. Terletak di Wilayah Fukuoka, Kampung Inunaki terkenal dengan kisah-kisah seramnya tersendiri sehingga digelar The Howling Village. Malah terowong Inunaki juga menjadi saksi pelbagai kematian mengerikan. Kampung itu dikatakan dikawal oleh kerajaan Jepun, dan sesiapa yang menjejakkan kaki ke sana tidak akan dapat pulang.

Ia mengisahkan Kanae, seorang ahli psikologi yang mempunyai deria keenam, membolehkannya melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus. Tanpa menyedari bahaya yang menanti, abangnya Yuma bersama kekasih abangnya Akina mencabar diri untuk pergi ke kampung tersebut. Akina akhirnya membunuh diri kerana hilang kewarasan. Yuma kembali semula ke kampung itu bersama rakan-rakannya namun dia kemudiannya didapati hilang. Kini semuanya bergantung kepada Kanae untuk menyelidik misteri dan sejarah di sebalik Kampung Inunaki.

Cinema Online, 02 Mei 2020

Waktu Tayangan