Filem seram Indonesia yang bukannya seram tetapi lebih kepada 18SX! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem seram Indonesia yang bukannya seram tetapi lebih kepada 18SX!

Penulis: Ashraf Nasser

Adakah anda pernah menonton filem-filem ini?
Adakah anda pernah menonton filem-filem ini?

Tidak dapat dinafikan kini unsur seks dan keganasan dilihat seakan-akan menjadi perkara wajib dalam sesebuah filem. Jika sebelum ini unsur-unsur seperti itu lebih sinonim dengan negara Barat namun kini negara di Asia turut berani tampil dengan filem seperti itu.

Sememangnya unsur ganas tidak asing lagi dalam filem dari Asia tetapi unsur seks adalah sesuatu perkara yang amat 'jarang' berlaku 30 ke 40 tahun lalu kerana seks adalah perkara tabu dalam masyarakat Asia terutamanya bagi negara yang majoriti penduduknya beragama Islam seperti Malaysia dan Indonesia.

Jika di Malaysia unsur seks amat jarang dipaparkan atau jika ada pun ia hanyalah minimal, namun berbeza pula dengan pembikin filem di Indonesia yang lebih berani dan terbuka dalam memaparkan unsur seks dalam filem mereka.

Unsur seks dalam filem Indonesia mula diperkenalkan ketika industri perfileman Indonesia mengalami zaman kejatuhan yang mana orang ramai tidak menyokong filem-filem tempatan sehinggalah kemunculan filem "Bernafas Dalam Lumpur" lakonan aktres lagenda di sana iaitu Suzanna.

Filem berunsurkan seks itu berjaya melonjakkan semula industri filem di Indonesia dan sejak itu lebih ramai pembikin filem yang mula menghasilkan filem yang mempunyai unsur seks bagi menarik penonton ke pawagam.

Antara filem kegilaan ramai ketika itu adalah "Si Pitung", "Si Buta Dari Gua Hantu", "Si Gondrong" dan banyak lagi.

Jika dilihat unsur seks yang ditampilkan kebanyakkannya adalah dalam filem seram sehingga beberapa pembikin filem di sana mengakui filem seram yang menampilkan unsur seks sebenarnya bukan menjual unsur seram semata-mata sebaliknya menjual 'dada dan peha' pelakon jelita dalam filem.

Jadi untuk artikel kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah filem 'seram' Indonesia yang bukannya terkenal kerana keseraman filem itu sebaliknya terkenal dengan unsur seks yang dipaparkan.

Paku Kuntilanak (2009)

Judul filem ini mungkin sama dengan filem seram Malaysia, tetapi ia sebenarnya jauh berbeza kerana filem arahan Findo Purwono adalah sebuah naskhah seram yang mempunyai unsur seks yang menjadi bualan penonton. Menariknya adalah filem ini dibintangi oleh pelakon berasal dari Malaysia iaitu Keith Foo yang terlebih dahulu memulakan kerjaya seni di Indonesia sebelum pulang ke Malaysia beberapa tahun lalu. Ia turut dibintangi oleh pelakon sensasi seperti Dewi Perssik, Heather Storm, Kiwil, Rizky Mocil, Nani Widjaja dan ramai lagi.

Ia berkisarkan mengenai pasangan suami isteri yang sering diganggu Kuntilanak telah memohon bantuan dukun untuk menangkap Kuntilanak itu. Setelah berjaya ditangkap mereka telah memaku Kutilanak itu dan telah membuangnya ke sungai. Bagaimanapun Kuntilanak itu kemudian bebas atas bantuan Pak Joko.

Antara babak yang paling menjadi bualan peminat adalah babak 'panas' antara Dewi dan Keith ketika berada dalam 'bathtub' seperti pasangan suami isteri.

Arwah Kuntilanak Duyung (2011)

Siapa kata Duyung tidak boleh jadi Kuntilanak? Ya, dalam filem seram komedi berjudul "Arwah Kuntilanak Duyung" arahan Yoyok Dumpring ini sekali lagi dibintangi oleh aktres sensasi Dewi Perssik bersama bekas suaminya iaitu Saipul Jami sebagai peneraju.

Ia berkisarkan seorang lelaki yang secara tidak sengaja telah membuang darah dan uri dari isterinya yang baru sahaja selamat melahirkan di sebuah pantai. Susulan itu, muncul kutilanak duyung dari laut yang kemudian telah menyebabkan penduduk di sekitar kawasan itu ketakutan dengan gangguan kutilanak duyung itu. Salah seorang mangsa adalah seorang pemuda bernama Jali seorang kaki perempuan. Dalam filem ini penonton disajikan dengan banyak babak memaparkan pelakon berpakaian terdedah termasuklah Dewi Perssik yang sememangnya mempunyai bentuk tubuh kegilaan ramai.

Pengantin Pantai Biru (2010)

Filem seram tipikal atau klise iaitu membabitkan sekumpulan pemuda lelaki dan perempuan yang berkunjung ke sebuah pusat peranginan untuk berseronok, namun sebaliknya yang berlaku. Itulah yang terjadi dalam filem arahan Nayato Fio Nuala ini apabila sekumpulan rakan yang bercuti di sebuah pantai terpencil telah diberi amaran oleh penjaga tempat mereka tinggal bahawa terdapat 'lembaga' di kawasan itu.

Namun sama seperti filem-filem seram lain, mereka tidak mempedulikan kata-kata penjaga itu dan terus berseronok. Akhirnya perkara seram dan mengerikan mula berlaku kepada seorang demi seorang daripada mereka. Walaupun ia sebuah naskhah seram, namun filem ini turut menampilkan banyak babak 'panas' termasuklah hampir kesemua pelakon utama dalam filem ini berpakaian menjolok mata.

Antara pelakon yang membintangi filem ini adalah Keith Foo, Uli Auliani, Debby Ayu, Cynthiara Alona, Rosnita Putri, Rico Verald dan ramai lagi.

Dendam Pocong Mupeng (2010)

Percaya atau tidak judul filem ini sebenarnya adalah "Hantu Puncak Datang Bulan", namun ia terpaksa ditukar kepada Dendam Pocong Mupeng kerana kontroversi membabitkan judul filem itu. Filem arahan Steady Rimba berkisarkan mengenai pasangan Rini dan Andi yang sedang mabuk berasmara telah menemui ajal apabila Rini terjatuh dari balkoni dan Andi meninggal akibat terkena renjatan elektrik yang mana kedua-dua mereka telah menjadi kuntilanak dan pocong.

Rumah mereka kemudian telah dibeli oleh seorang lelaki yang kemudian telah menyewakan bilik kepada Sherly, Tommy, Rojak dan Mira. Bagaimanapun mereka berasa aneh apabila merasakan diri mereka seperti sering diperhatikan terutamanya Sherly dan Mira ketika mereka sedang mandi. Walaupun genrenya seram, namun ia langsung tidak seram sebaliknya ia sarat dengan babak-babak 'panas' di ranjang dan pelakon wanita hanya berpakaian dalam. Jadi tidak hairanlah filem ini mendapat sambutan terutamanya daripada golongan lelaki.

Pemburu Hantu The Movie (2010)

Sebuah lagi filem seram berjudul "Pemburu Hantu The Movie" arahan Alamsyah berkisarkan mengenai sebuah rumah yang ditinggalkan bertahun lamanya kini dihuni oleh makhlus halus. Walaupun sudah ditinggalkan, namun Pak Budi dan anaknya Ikhsan sering ke rumah itu untuk membersihkannya.

Bagaimanapun, mereka mula melihat kelibat wanita di rumah itu. Ia memaparkan banyak babak 'panas' seperti rogol dan beberapa babak di ranjang termasuklah babak memperlihatkan pelakon hanya berpakaian dalam. Ia dibintangi oleh Jenny Cortez, Putri Arifanti, Randy Tanaya, Tenno Ali dan ramai lagi.

* Sebenarnya banyak lagi filem-filem Indonesia yang menampilkan unsur seks yang agak keterlaluan, namun penulis hanya senaraikan filem yang bergenre seram sahaja.

Cinema Online, 06 Okt 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan