Filem seram wajib tonton Ogos ini | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem seram wajib tonton Ogos ini

Penulis: Ashraf Nasser

Filem seram manakah yang anda tak sabar nak tonton?
Filem seram manakah yang anda tak sabar nak tonton?

Selepas pihak kerajaan telah memberi kelonggaran kepada pihak pawagam untuk kembali beroperasi selepas lebih tiga bulan terpaksa ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, ramai yang gembira apabila dapat kembali menonton filem terbaru di pawagam.

Walaupun pawagam sudah dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun setiap operator pawagam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuklah penjarakan tempat duduk walaupun pelanggan yang datang itu suami isteri.

Disebalik normal baru dan SOP yang ketat, namun ia tidak menghalang orang ramai untuk kembali ke pawagam untuk menonton filem terbaru berikutan filem-filem yang ditunda sebelum ini sudah mula ditayangkan.

Mungkin bulan Julai hanya sebuah filem besar sahaja yang ditayangkan iaitu "Train To Busan 2: Peninsula" selain beberapa filem kecil dan filem yang ditayangkan semula, namun bulan Ogos akan menyaksikan banyak filem-filem menarik akan ditayangkan sepanjang bulan Kemerdekaan.

Bagaimanapun untuk artikel ini Cinema Online tidak mahu senaraikan kesemua filem yang akan ditayangkan pada bulan hadapan, sebaliknya akan menyenaraikan beberapa filem seram yang anda wajib tonton.

Jom baca!

Roh

Penulis mulakan filem seram pertama ini daripada Malaysia. Ya! Filem "Roh" filem tempatan terbaru akhirnya bakal menemui penonton di pawagam pada Ogos nanti selepas terpaksa menunda tarikh tayangan berikutan penutupan pawagam di seluruh negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Penerbit filem "Roh" iaitu Kuman Pictures tidak mengikut jejak langkah seperti beberapa filem tempatan lain yang memilih untuk menayangkan filem mereka di saluran televisyen berbayar Astro First terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan di pawagam, sebaliknya berani mengambil risiko dengan menayangkan terus di pawagam.

Berbalik kepada filem "Roh", filem arahan Emir Ezwan ini berlatarbelakangkan zaman peperangan di mana tinggal sebuah keluarga daif di pinggir hutan. Mereka kemudiannya didatangi seorang kanak-kanak perempuan misteri. Kejadian-kejadian aneh mula menghantui mereka selepas kanak-kanak itu meramalkan sesuatu yang ngeri.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon mantap seperti Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron, Junainah dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 6 Ogos 2020

Black Water: Abyss

Filem seram tidak semestinya membabitkan hantu atau entiti aneh sahaja. Sebagai contoh filem "Black Water: Abyss" ini. Ia bukan sebuah naskhah seram yang menampilkan hantu sebagai 'faktor' utama sebaliknya lokasi dan haiwan yang membuatkan keadaan menjadi seram.

Filem arahan Andrew Traucki ini berkisarkan mengenai empat sekawan yang mahu meneroka sebuah gua yang terletak jauh di Utara Australia. Mereka telah mendapatkan khidmat pemandu pelancong bernama Cash. Ketika mereka sedang meneroka gua itu, ribut tropika telah melanda namun mereka tidak menghiraukan kerana menyangka selamat kerana berada dalam gua.

Bagaimanapun gua tersebut mula dinaiki air dan lebih parah lagi air itu turut membawa sekumpulan buaya ganas. Kini mereka perlu mencari jalan untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa buaya ganas itu. Seram bukan! Pasti ramai yang bersependapat dengan penulis iaitu lebih rela berada dalam sebuah bilik dengan hantu berbanding dengan seekor buaya.

Tarikh tayangan: 6 Ogos 2020

The Jack In The Box

Cerita seram dan badut sememangnya tidak dapat dipisahkan. Terbaru sebuah lagi filem mengenai hantu badut iaitu "The Jack In The Box" bakal kembali menghantui anda selepas "It". Filem ini berkisarkan mengenai Casey Reynolds iaitu seorang pekerja muzium yang terletak di tengah-tengah hutan percaya Jack-In-Th-Box antik yang didermakan ke tempat itu telah disumpah.

Dia percaya patung badut dalam kotak itu bernyawa dan mimpi ngerinya menjadi kenyataan apabila seorang demi seorang rakan sekerja mati. Berikutan itu, dia kini mencari jalan untuk menamatkan sumpahan itu atau dia akan jadi mangsa seterusnya.

Filem arahan Lawrence Fowler ini dibintangi oleh Ethan Taylor, Robert Nairne dan Lucy-Jane Quinlan sebagai peneraju.

Tarikh tayangan: 6 Ogos 2020

Sakral: Keramat

Indonesia dan filem seram sememangnya tidak dapat dipisahkan. Indonesia merupakan negara pengeluar filem seram terbanyak saban tahun dan rata-rata filem seram mereka mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan di negara Malaysia dan di beberapa negara Asia termasuklah Malaysia. Terbaru sebuah filem seram berjudul "Sakral: Keramat" bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.

Ia berkisarkan mengenai keluarga Melina diganggu satu entiti misteri dan lebih mengejutkan, orang-orang di sekelilingnya mula mati seorang demi seorang. Apabila suaminya, Daniel, cuba membongkar rahsia di sebalik gangguan aneh dan kematian itu, dia mendapati semuanya berkait dengan kematian salah seorang anak kembar mereka beberapa tahun lalu.

Melina tidak pernah melupakan kematian itu, sementara kembar yang hidup, Flora, telah membesar menjadi seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang muram dan bermisteri. Semakin Daniel cuba merungkai misteri itu, semakin banyak bahaya yang dihadapi keluarganya. Filem ini dibintangi oleh Olla Ramlan, Teuku Zacky dan Makayla Rose Hilli sebagai peneraju.

Tarikh tayangan: 13 Ogos 2020

Aku Tahu Kapan Kamu Mati

Sebuah dari filem seram dari Indonesia iaitu "Aku Tahu Kapan Kamu Mati" turut akan ditayangkan pada bulan Ogos ini. Judulnya sahaja sudah menyeramkan, harap-harap filemnya juga menyeramkan! Filem arahan Hadrah Daeng Ratu ini berkisarkan mengenai seorang gadis bernama Siena yang mendapati dirinya mempunyai kebolehan untuk melihat petanda seseorang itu akan mati selepas dia mengalami insiden 'mati suri' iaitu mati hidup semula.

Bagaimanapun rakannya, Flo, Neni dan Vina tidak mempercayai akan kebolehannya itu. Dia menjadi semakin takut apabila orang-orang di sekelilingnya mati seorang demi seorang selepas muncul roh-roh yang ingin menjemput mereka. Ketika dia berusaha untuk menyelamat rakan-rakannya, kini dia melihat sendiri petanda itu muncul pada dirinya sendiri.

Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Natasha Wilona, Ria Ricis, Al Ghazali, Fitria Rasyidi, Ryma Karimah, Sonia Alexa dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 13 Ogos 2020

Dark Secrets

Sebuah lagi negara pakar dalam pembikinan filem seram iaitu Thailand turut akan mempunyai wakil menerusi filem "Dark Secrets". Menariknya mengenai filem ini adalah ia bukan diarahkan oleh seorang pengarah atau dua orang tetapi ia diarahkan oleh tiga orang pengarah berbakat besar iaitu Atiwat Kanjanapiwat, Nukrob Rojanatanakon dan Paitoon Yordruk.

Ia berkisarkan kehidupan pasangan suami isteri Ek dan Parn yang berpindah ke sebuah rumah yang terletak di desa bagi menenangkan fikiran selepas si isteri mengalami keguguran. Bagaimanapun ketenangan yang dicari bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka mula berdepan kejadian-kejadian aneh di rumah itu. Ia diterajui oleh tiga pelakon hebat iaitu Savika Kanjanamart, Atiwat Kanjanapiwat (turut bertindak sebagai pengarah) dan Bee Patcharawan Safer.

Tarikh tayangan: 20 Ogos 2020

Sebelum Iblis Menjemput: Ayat Dua

Sebuah lagi filem seram dari Indonesia, yang ketiga dan terakhir untuk bulan Ogos ini iaitu "Sebelum Iblis Menjemput: Ayat Dua". Filem sekuel paling dinanti-nantikan oleh peminat filem pertama akhirnya akan menemui penonton juga pada bulan Ogos ini.

Jika filem pertama ramai yang merasakan garapan pengarah terkenal Timo Tjahjanto sudah ekstrim, anda perlu tonton filem kedua ini. Dalam sekuel ini ia akan berlatarbelakangkan dua tahun selepas Alfie berjaya menyelamatkan diri dan adiknya Nara daripada kuasa jahat yang menghancurkan keluarganya. Mereka cuba membina hidup semula dengan menjalani kehidupan seperti biasa. Walaupun mereka untuk melupakan apa yang telah terjadi, namun Alfie masih dibayangi gambaran-gambaran menakutkan. Mimpi ngerinya menjadi kenyataan apabila muncul satu entiti jahat yang kini mahu mengancam Alfie dan rakan-rakannya.

Chelsea Islan bakal kembali menghidupkan wataknya sebagai Alfie bersama barisan pelakon hebat lain seperti Baskara Mahendra, Hadijah Shahab, Widika Sidmore, Karina Salim dan Arya Vasco.

Tarikh tayangan: 27 Ogos 2020

Cinema Online, 31 Jul 2020

Filem Berkaitan:
Roh (Malay) (06 Aug 2020) [Showtimes] [Trailers]
Black Water: Abyss (06 Aug 2020) [Showtimes] [Trailers]
The Jack In The Box (06 Aug 2020) [Showtimes] [Trailers]
Sakral: Keramat (Indonesian) (13 Aug 2020) [Showtimes]
Aku Tahu Kapan Kamu Mati (Indonesian) (13 Aug 2020) [Showtimes] [Trailers]
Dark Secrets (Thai) (20 Aug 2020) [Trailers]
Sebelum Iblis Menjemput: Ayat Dua (Indonesian) (10 Sep 2020) [Trailers]


Waktu Tayangan