Rencana
"Rock 4: Rockers Never Dai" filem terakhir dari francais "Rock"?


Tarikh disiarkan: 15 Februari 2020

Mampukah Rimba Bara 2 kembalikan zaman kegemilangan muzik rock?
Mampukah Rimba Bara 2 kembalikan zaman kegemilangan muzik rock?

Pengarah filem tersohor tanah air iaitu Mamat Khalid merupakan salah seorang pengarah filem yang 'pakar' dalam menghasilkan filem-filem trilogi dan salah satunya adalah dari francais "Rock" yang kali pertama menemui penonton pada tahun 2005.

Filem ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton apabila ia berkisarkan mengenai sekumpulan anak muda pada lewat 80an yang memasang impian untuk menjadi kumpulan rock popular di tanah air.

Bagaimanapun perjalanan mereka untuk mengejar cita-cita itu bukanlah mudah dan pelbagai cabaran dan dugaan yang mereka perlu dihadapi untuk berjaya.


Dio dengan kumpulan rocknya yang menggunakan nama Rimba Bara 2.

Filem sekuel hadir selepas hampir sedekad

Selepas kejayaan filem pertama, ramai peminat ternanti-nantikan sambungan filem itu, namun peminat terpaksa menunggu untuk satu tempoh yang lama sebelum Mamat Khalid ambil keputusan untuk menghasilkan sekuel "Rock Oo: Rimba Bara Kembali".

Bagaimanapun, dalam filem sekuel ini memaparkan kumpulan itu berada dalam konflik apabila gitaris utama mereka iaitu Zack (Hasnul Rahmat) telah mengambil keputusan untuk berundur dari kumpulan itu. Manakala Amy Mat Piah (Que Haidar) pula seperti tidak keruan selepas dibuang dari kumpulan itu dan lebih parah apabila vokalis mereka Zul Kapan dan gitaris Lan Lentik turut keluar dari kumpulan itu untuk kembali dengan kumpulan Malaikat Maut.

Akibat konflik perpecahan itu, Jijoe Alfonso (Khir Rahman) yang merupakan ketua kumpulan itu kini dalam misi mencari ahli kumpulan baru dan telah mengambil Slash (Pekin Ibrahim) untuk menggantikan Lan Lentik dan memberi peluang kedua kepada Amy sebagai vokalis utama.

Jika dilihat tempoh untuk Mamat Khalid hasilkan filem kedua ini dari filem pertama ia sangatlah jauh iaitu hampir sedekad (lapan tahun). Selalunya dalam tempoh itu rasanya ramai peminat berputus asa atau lupa dengan filem pertama, tetapi tidak bagi francais ini.

Filem ini bukan sahaja mendapat kutipan pecah panggung, malah ia juga telah berjaya merangkul beberapa anugerah termasuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2013 menerusi Khir Rahman, Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM 26) dan Skrip Komedi Filem Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2013.

Filem ketiga menyusul selepas tiga tahun

Untuk filem ketiga ini diriliskan agak cepat berbanding filem kedua iaitu kira-kira tiga tahun selepas tayangan "Rock Oo: Rimba Bara Kembali". Menerusi filem ketiga yang diberi judul "Rock Bro: Kembali Ke Pangkal Jalan" ini pengarah memaparkan kehidupan mereka selepas berjaya menembusi industri muzik arus perdana.

Selain itu, Mamat turut menampilkan beberapa lagenda rock tanah air seperti Ella, Datuk Hattan dan beberapa lagi membuat penampilan dalam filem itu. Walaupun Rimba Bara sudah bergelar artis rakaman, namun dugaan tetap menanti mereka.

Malah, ketika mereka berada di puncak kerjaya pelbagai masalah baru timbul dalam kalangan kumpulan itu sehingga menyebabkan Slash ditendang keluar dan lebih mengejutkan individu yang merupakan tulang belakang Rimba Bara yang tidak pernah berputus asa untuk menaikkan nama kumpulan itu iaitu Jijoe mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.

Dalam filem ketiga ini pengarah turut memaparkan keadaan industri muzik ketika awal 90an yang mana zaman kegemilangan muzik rock mula merudum apabila muncul muzik moden seperti rapper yang mula mendapat perhatian pendengar.

Watak Zul Kapan juga dikembangkan lagi dan dari situ penonton dari melihat sisi sebenar Zul di sebalik imej rock metal yang akan membuatkan penonton terkejut. Walaupun filem ini sudah lama ditayangkan tetapi penulis tidak mahu dedahkan lanjut kerana tidak mahu dedah 'spoiler' bagi pembaca yang belum pernah tonton filem ini.

Apa yang penulis boleh katakan, pengakhir filem ini agak tragis dan mengundang sebak buat penulis sendiri ketika menontonnya.

Adakah "Rock 4: Rockers Never Dai" filem terakhir francais "Rock"?

Selepas "Rock Bro", peminat merasakan itu adalah filem terakhir termasuklah penulis sendiri kerana banyak persoalan yang sudah terjawab walaupun ramai yang berasa agak ralat apabila pengakhiran filem itu berakhir dengan tragis, tetapi semua dapat menerimanya.

Bagaimanapun penulis kemudian mendapat tahu yang Mamat Khalid sudah ada perancangan untuk membuat filem keempat "Rock 4: Rockers Never Dai" dan ini telah mencetuskan keterujaan penulis dan juga peminat tegar francais ini.

Selari dengan peredaran zaman moden ketika ini, filem keempat ini adalah kesinambungan dari filem ketiga selepas insiden tragis itu. Walaupun ada yang meninggal dunia, namun pemandu yang juga kru teknikal Rimba Bara iaitu Dio tidak meninggal dunia sebaliknya koma dalam tempoh yang lama sebelum terjaga dan mendapati dirinya sudah berada pada zaman moden.

Dio kemudian telah bertemu dengan kumpulan pemuzik rock remaja yang juga merupakan peminat Rimba Bara. Pertemuan ini telah membawa kepada penubuhan kumpulan rock Rimba Bara 2 bagi menyambung legasi Rimba Bara yang kandas di tengah jalan.

Bagaimanapun, ia bukanlah tugas mudah buat mereka untuk menaikkan nama Rimba Bara 2 kerana bukan sahaja perlu berdepan dengan konflik dalaman kumpulan itu sendiri tetapi juga daripada kumpulan-kumpulan muzik lain. Mampukah mereka menjulang nama Rimba Bara 2 ke persada industri muzik tanah air? Sama-sama kita tunggu dan lihat!

Berbalik kepada persoalan asal iaitu adakah filem ini adalah yang terakhir atau francais "Rock" ini akan diteruskan atau akan ada 'spin off'. Persoalan itu hanya penulis boleh jawab selepas menonton filem ini di pawagam kelak.

Filem arahan Mamat Khalid ini akan menampilkan Sharwani, Hazama, Adam John, Nazimi Fahmi, Bulan Terry dan ramai lagi ini akan menemui penonton di seluruh negara bermula 20 Februari ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide