Filem-filem besar Bollywood Salman Khan pernah tolak | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem-filem besar Bollywood Salman Khan pernah tolak

Penulis: Nisa Irina

Filem yang mana anda rasa Salman Khan patut jayakan?
Filem yang mana anda rasa Salman Khan patut jayakan?

Bintang terkemuka Salman Khan mula mencipta nama dalam industri perfileman Bollywood sebagai pelakon pembantu menerusi filem "Biwi Ho To Aisi" pada 1988, diikuti dengan filem pecah panggung "Maine Pyar Kiya" (1989) dan sehingga kini dia telah membintangi lebih 80 buah filem dalam kariernya.

Bagaikan durian runtuh, kebanyakan filem yang dibintangi oleh Salman seperti "Hum Aapke Hai Kaun", "Kuch Kuch Hota Hai", "Dabangg", "Bajrangi Bhaijaan" dan "Sultan" berjaya meraih kutipan luar biasa dan kekal menjadi filem-filem ikonik sehingga ke hari ini.

Namun di sebalik kejayaannya, sudah tentu Salman pernah menolak beberapa buah filem atas sebab-sebab tertentu dan akhirnya sebahagian daripadanya dijayakan oleh Shah Rukh Khan. Sayangnya di antara filem-filem yang ditolak oleh Salman, telah menjadi filem besar dalam sejarah perfileman Bollywood! Oleh itu, jom ikuti senarai filem-filem besar yang pernah Salman Khan tolak.

"Baazigar"

Pada asalnya, adik beradik pengarah Abbas dan Mustan Burmawalla menawarkan filem thriller jenayah "Baazigar" (1993) kepada Salman Khan. Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa Salman enggan membawa watak antagonis pada ketika itu maka dia menolaknya dan watak tersebut jatuh ke tangan 'King of Bollywood' Shah Rukh Khan, sekaligus menjadi titik permulaan Shah Rukh Khan mencipta nama sebagai bintang dalam industri perfileman Bollywood.

Selain Shah Rukh Khan, filem ini turut dibintangi Kajol dan Shilpa Shetty. Ia diinspirasikan dari filem Hollywood "A Kiss Before Dying" (1991) dan berjaya menerima kutipan pecah panggung serta tercalon dalam sepuluh kategori Anugerah Filmfare ke-39. Daripada sepuluh, ia telah menjuarai empat kategori iaitu Aktor Terbaik (Shah Rukh Khan), Lakon Layar Terbaik, Penyanyi Latar Lelaki Terbaik dan Pengarah Muzik Terbaik.

"Dilwale Dulhania Le Jayenge"

Pengarah filem romantik "Dilwale Dulhania Le Jayenge" (1995) iaitu Aditya Chopra pada asalnya ingin menawarkan filem ini kepada Salman Khan dan Saif Ali Khan tetapi kedua-dua Khan telah menolaknya. Aditya kemudiannya menawarkan watak utama kepada Shah Rukh Khan.

Namun awalnya Shah Rukh Khan juga agak ragu-ragu untuk menerima filem ini kerana berpendapat dirinya tidak sesuai menjadi hero filem romantik dan lebih selesa menjayakan watak antagonis. Setelah beberapa kali dipujuk barulah Shah Rukh Khan bersetuju.

Sehingga kini, filem "Dilwale Dulhania Le Jayenge" masih kekal sebagai salah satu filem Bollywood paling ikonik dalam sejarah. Ia telah menjadi filem Bollywood paling tinggi kutipannya pada 1995, serta memenangi sepuluh Anugerah Filmfare.

"Josh"

"Josh" (2000) merupakan sebuah lagi filem yang Salman tolak dan diberikan kepada Shah Rukh Khan. Filem aksi romantik arahan Mansoor Khan ini turut dibintangi oleh bintang terkenal Aishwarya Rai, yang membawa watak adik beradik kepada Shah Rukh Khan. Ia merupakan sebab utama Salman menolak untuk berlakon filem ini kerana tidak mahu membawa watak itu memandangkan dia dan Aishwarya sedang bercinta pada ketika itu.

Buat pengetahuan lanjut, beberapa jalan cerita dalam filem ini diinspirasikan dari filem Hollywood "West Side Story" (1961). Dengan maklum balas positif daripada para penonton dan pengkritik filem serta kutipan yang menggalakkan selepas ia ditayang di pawagam, filem "Josh" dinobatkan sebagai filem kelima dengan kutipan paling tinggi di India pada tahun tersebut.

"Kal Ho Naa Ho"

Terdapat beberapa spekulasi mengenai filem "Kal Ho Naa Ho" (2003), yang mana salah satunya mengatakan pembikin filem Karan Johar tidak pernah menawarkan filem ini kepada Salman. Selain itu, Salman dikatakan menolak untuk membintangi filem di samping Shah Rukh Khan kurang senang dengan 'screen-time' ketika dia membintangi "Kuch Kuch Hota Hai". Watak itu akhirnya diberikan kepada Saif Ali Khan.

Menurut pengarah Nikkhil Advani, selepas menjalani penggambaran untuk beberapa babak, Shah Rukh Khan mengakui dia tidak mampu untuk berlakon filem ini akibat kecederaan belakang dan mencadangkan Salman Khan mampu menggantikannya tetapi Nikkhil dan Karan tidak bersetuju dan menangguhkan penggambaran selama sembilan bulan sebelum Shah Rukh Khan kembali meneruskannya.

Filem yang turut dibintangi Preity Zinta ini telah menjadi filem paling tinggi kutipannya di India pada 2003, selain memenangi beberapa anugerah berprestij seperti dua Anugerah Filem Nasional, lapan Anugerah Filmfare, 13 Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India dan tiga Anugerah Skrin.

"Chak De! India"

Diterbitkan oleh Aditya Chopra, sehingga kini filem "Chak De! India" masih kekal dalam hati para peminat sebagai salah satu filem sukan Bollywood paling ikonik. Ia diinspirasikan dari kemenangan pasukan hoki padang wanita India di acara Sukan Commonwealth 2002. Selain itu, ia turut memaparkan isu feminisme, seksisme, serta prejudis perkauman dan keagamaan.

Pada mulanya filem ini ditawarkan kepada Salman, namun dia terpaksa menolak atas sebab terikat dengan jadual penggambaran filem "Partner" (2007), dan akhirnya watak utama jurulatih Kabir Khan diberikan kepada Shah Rukh Khan. Tambah Salman lagi, dia mengakui tidak berapa gemar dengan genre sukan pada ketika itu dan lebih memilih genre filem yang komersial.

"Chak De! India" berjaya merangkul pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Filem Nasional, Anugerah Filmfare dan Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa. Pada 30 Ogos 2007, Akademi Sains dan Seni Perfileman meminta salinan skrip filem ini untuk dipamerkan di Perpustakaan Margaret Herrick, California.

"Ghajini"

Difahamkan peneraju utama filem "Ghajini" (2008) iaitu Aamir Khan, mencadangkan supaya Salman menerajui filem ini kerana berpendapat bentuk tubuh tegap Salman lebih sesuai untuk membawa watak Sanjay Singhania. Walau bagaimanapun, tanpa sebab yang diketahui Salman telah menolaknya dan watak itu akhirnya terus dijayakan oleh Aamir.

Filem "Ghajini" berjaya melakar sejarahnya sendiri sebagai filem paling laris 2008 dan sepanjang zaman sebelum "3 Idiots" (2009) yang turut dibintangi Aamir. Malah sebuah permainan video berjudul " Ghajini – The Game" turut dirilis pada tahun sama.

Sebagai tanda ucapan tahniah, Salman yang dikenali dengan bakat seni lukisnya telah menghadiahkan dua buah lukisan bertemakan filem "Ghajini" kepada Aamir. Lukisan itu telah dipersembahkan oleh aktres filem tersebut iaitu Asin Thottumkal dalam sebuah majlis istimewa di Mumbai.

Cinema Online, 16 Mei 2020

Waktu Tayangan