Filem tempatan yang pernah cetuskan kontroversi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem tempatan yang pernah cetuskan kontroversi

Penulis: Ashraf Nasser

Sudahkah anda tonton filem-filem ini?
Sudahkah anda tonton filem-filem ini?

Di Malaysia hiburan utama buat rakyat adalah filem yang mana ia bukan sahaja popular di negara ini tetapi juga di seluruh negara. Apa yang menariknya adalah filem mempunyai pelbagai genre seperti aksi, komedi, romantik, thriller, seram, dan banyak lagi, oleh itu ia mampu untuk menepati cita rasa setiap penonton.

Pembikinan filem ini selalunya berdasarkan cerita fiksyen dan ada juga filem yang diinspirasi atau diangkat dari kisah sebenar, namun paling popular adalah filem fiksyen yang mana pembikin filem bebas untuk menggarap naskhah itu mengikut kreativiti mereka.

Bagaimanapun di Malaysia, kebebasan untuk berkarya agak terhad kerana negara boleh dikatakan agak konservatif dan sangat menjaga sensitiviti masyarakat supaya sesebuah filem itu tidak mencetuskan sebarang kontroversi atau perkara tidak diingini.

Walaupun Malaysia mempunyai garis panduan menerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), tetapi ia tidak menghalang segelintir pembikin filem untuk melangkaui batasan dengan menghasilkan filem-filem yang agak sensitif yang mana ia telah mencetuskan kontroversi.

Jadi untuk artikel kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan lima buah filem yang telah mencetuskan kontroversi pada satu ketika dahulu.

"... Dalam Botol" (2011)


Tidak lengkap sekiranya filem "... Dalam Botol" tiada dalam senarai filem kontroversi ini kerana ia merupakan filem paling kontroversi yang pernah wujud di Malaysia. Apa yang membuatkan ia sangat kontroversi kerana ia bertemakankan homeseksual dan transseksual pertama yang berjaya ditayangkan di pawagam Malaysia.

Diterbitkan oleh penerbit sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman, filem arahan Khir Rahman ini berkisarkan mengenai seorang lelaki lembut lakonan Arja Lee membuat keputusan drastik apabila melakukan pembedahan membuang alat kemaluannya untuk menjadi perempuan. Filem ini menerima pelbagai kritikan dan menjadi perhatian seluruh negara.

Mungkin ada yang berkata 'bad publicity is good publicity' bagaimanapun ia tidak berlaku pada filem ini apabila ia tidak mendapat sambutan daripada penonton dan hanya berjaya mengutip sekitar RM570,000 sahaja berbanding kos pembikinan yang melebihi RM800,000 ribu.

"Dukun" (2006)


Walaupun pernah diharamkan pada awalnya, namun filem kontroversi "Dukun" akhirnya dibenarkan untuk ditayangkan pada tahun 2018 selepas tayangan asal yang sepatutnya ditayangkan pada tahun 2006 tidak dibenarkan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) berikutan filem yang diangkat dari kisah benar pembunuhan ahli politik oleh Mona Fandey pada 1993 menyinggung perasaan keluarga yang terlibat.

Bagaimanapun, ramai yang sudah menonton filem ini sebelum larangan tayangan filem itu diangkat apabila ada pihak yang memuat naik filem itu di laman sosial. Filem arahan sulung Dain Said ini akhirnya ditayangkan selepas 12 tahun ini berkisarkan mengenai seorang lelaki bernama Karim, seorang peguam nekad untuk mencari anaknya yang hilang. Masalah Karim menjadi semakin sukar apabila dia membuat perjanjian dengan Diana Dahlan, seorang OKT (Orang Kena Tuduh) yang berjanji untuk membantu pencariannya. Tanpa diduga, Karim membongkar kisah yang lebih gelap menyebabkan dia kehilangan segala-galanya.

Dibintangi oleh barisan pelakon berkelas A tanah air seperti Datin Paduka Umie Aida, Namron, Bront Palarae, Hasnul Rahmat dan ramai lagi ini mendapat pujian daripada pengkritik filem terutamnya lakonan Umie Aida sebagai watak antagonis yang cukup memberikan impak kepada penonton.

"Tanda Putera" (2013)


Jika dua filem di atas menyentuh sensitiviti segelintir pihak, namun untuk filem "Tanda Putera" pula ia sensitif berikutan yang menyentuh peristiwa hitam yang pernah berlaku pada negara iaitu rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang menjadi antara tragedi terbesar Malaysia. Apabila filem ini mula mencetuskan kontroversi sebelum ia diumumkan lagi apabila ada ahli parlimen pembangkang yang mendakwa filem ini menggambarkan kaum Cina dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam konteks yang negatif.

Susulan itu, filem arahan pengarah tersohor tanah air iaitu Datuk Paduka Suhaimi Baba ini terpaksa ditunda beberapa kali selain beberapa kontroversi lain membabitkan filem itu menjadi perhatian ramai. Filem itu akhirnya dibenarkan untuk ditayangkan selepas pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) mengarahkan filem itu disunting semula sebelum ia dibenarkan ditayangkan.

Kontroversi yang melanda, filem "Tanda Putera" yang dibintangi pelakon hebat seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elaidan dan ramai lagi ini telah berterusan apabila ia tidak tercalon di Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) yang mana ia mendapat perhatian pengkritik filem yang mempertikaikan keputusan FFM26. Bagaimanapun filem itu berjaya meraih tiga anugerah di Anugerah Skrin 2014.

"Banglasia" (2015)


Dengar judul sahaja sudah kontroversi, maka jalan ceritanya juga pastinya kontroversi. Siapa tidak kenal dengan artis kontroversi Namewee yang terkenal dengan pelbagai kontroversi. Tidak hanya mencetuskan kontroversi menerusi lagu, Namewee juga menggemparkan negara apabila muncul dengan filem arahannya berjudul "Banglasia" pada tahun 2015.

Filem aksi komedi itu berkisarkan mengenai seorang pekerja asing Bangladesh di Malaysia yang mahu pulang ke kampung halamannya untuk bernikah dengan kekasihnya. Bagaimanapun muncul masalah apabila seorang aktivis Hangouren berkempen mahu masyarakat mengikutnya untuk jadikan negara seperti dahulu tanpa pendatang asing.

Jika diikutkan jalan ceritanya tidaklah kontroversi seperti yang digembar-gemburkan, namun akibat kontroversi itu pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) mengharamkan tayangan filem itu. Bagaimanapun selepas empat tahun larangan tayangan filem ini akhirnya diangkat dan ditayangkan pada suku pertama 2019. Ia dibintangi oleh oleh Saiful Apek, Atikah Suhaimie, Nirab Hossain, Namewee sendiri dan ramai lagi.

"Lelaki Harapan Dunia" (2014)


Judul filem "Lelaki Harapan Dunia" atau "Men Who Save the World" tampak 'harmless' dari sudut luaran, namun jalan cerita yang ditampilkan yang mencetuskan kontroversi. Apa yang membuatkan filem ini kontroversi? Ia dikatakan sebuah naskhah kritikan sinis dan skeptikal yang dilihat memperkecilkan masyarakat Melayu. Lebih menjadikan isu ini lebih panas apabila ia diarahkan oleh pengarah berbangsa Cina iaitu Liew Seng Tat.

Ia berkisarkan mengenai sebuah kampung yang mana berlaku kekacauan akibat salah faham penduduk kampung yang menyangka sebuah rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung dihuni 'hantu' sedangkan terdapat seorang pendatang asing Afrika yang menyembunyikan diri di situ.

Disebalik kontroversi yang melanda, filem ini bukan sahaja mendominasi pencalon di Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) malah berjaya membawa pulang lima anugerah termasuk Filem Terbaik. Selain itu, filem yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Jalil Hamid, Soffi Jikan dan ramai lagi ini turtu berjaya merangkul pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Malah ia juga ditayangkan di festival filem antarabangsa di serata dunia dan telah dipilih untuk mewakili Malaysia ke Oscars.

Cinema Online, 25 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Lelaki Harapan Dunia (Melayu) (27 Nov 2014)
Banglasia 2.0 (Melayu / Mandarin) (28 Feb 2019)
Dukun (Melayu) (05 Apr 2018)
Tanda Putera (Inggeris / Melayu) (29 Ogos 2013)
... Dalam Botol (Melayu) (24 Mac 2011)


Waktu Tayangan