Filem tempatan 'tak laku' tapi anda patut tonton ketika PKP | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem tempatan 'tak laku' tapi anda patut tonton ketika PKP

Penulis: Ashraf Nasser

Sudahkah anda tonton filem-filem hebat ini?
Sudahkah anda tonton filem-filem hebat ini?

Hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang tidak terlibat dalam sebarang kerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu berada di rumah lebih lama apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April ini.

Tidak dapat dinafikan ramai yang sudah bosan duduk di rumah dan tidak boleh melakukan sebarang aktiviti di luar.

Antara cara untuk mengisi kebosanan adalah dengan menonton televisyen atau pun melayari Internet, namun pastinya akan merasa bosan juga nanti.

Cadangan Cinema Online kepada mereka yang berasa seperti di atas ini, apa kata ambil guna masa ini untuk menonton filem-filem tempatan yang 'tak laku' ketika ditayangkan di pawagam, tetapi mendapat kritikan positif daripada pengkritik filem selain pernah mendapat pengiktirafan dan ditayangkan di banyak festival filem antarabangsa.

"Redha" (2017)

Filem "Redha" merupakan filem tempatan pertama yang mengetengahkan isu autism yang mana ia bukan sahaja memaparkan apa itu autism, tetapi juga memberi kesedaran kepada masyarakat yang masih lagi kurang pengetahuan mengenai autism ini. Lebih menarik lagi filem ini diangkat dari kisah sebenar.

Diarahkan oleh Tunku Mona Riza, filem ini berkisarkan mengenai pasangan suami isteri Razlan dan Alina bergelut untuk membesarkan anak lelaki mereka yang mengidap autism. Razlan tidak dapat menerima hakikat telah menyebabkan rumah tangga mereka goyah. Namun Alina terus berusaha dan mereka berjaya mengurus dan membesarkan Daniel. Tetapi apabila satu insiden berlaku, ia sekali lagi menguji keluarga itu.

Dibarisi pelakon hebat seperti Namron, June Lojong, Harith Haziq, Izzy Reef, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Ruminah Sidek dan Susan Lankester, filem ini sudah pun ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa dan mendapat pengiktirafan sebelum ia ditayangkan di Malaysia. Bagaimanapun, apabila ia ditayangkan di sini, kutipan yang diperoleh sangat mengecewakan. Jadi, jika anda kelapangan boleh tonton filem ini kerana ia mendapat kritikan positif daripada pengkritik filem. Tidak keterlaluan jika penulis katakan anda pasti akan berasa sebak apabila menonton filem ini.

"Pekak" (2016)

Antara filem yang paling 'underrated' di Malaysia adalah filem "Pekak". Kenapa penulis berkata sedemikian? Ini kerana kutipan filem ini sangat menghampakan walaupun dibintangi ramai pelakon hebat tanah air. Mungkin kegagalan filem ini kerana judulnya yang tidak menarik perhatian ramai, tetapi percayalah jalan cerita yang ditampilkan dalam filem cukup hebat dan sangat 'relatable' dengan kehidupan kita.

Penulis ingin memberi pujian kepada pengarah filem ini iaitu Mohd Khairul Azri yang berani mengetengahkan isu serius yang dipandang enteng oleh masyarakat. Secara ringkasnya filem ini berkisarkan mengenai seorang lelaki cacat pendengaran bernama Uda yang berazam untuk kembali mendengar. Untuk merealisasikan impiannya itu, dia terjerumus dengan aktiviti penjualan dadah. DIa kemudian bertemu dengan Dara, seorang pelajar sekolah bermasalah ingin melarikan diri daripada bapanya yang terlalu mengongkong. Namun banyak cabaran dan perkara yang berlaku. Kalau anda nak tahu apa yang jadi, anda harus tonton filem ini. Pasti anda tidak akan menyesal.

Filem yang pernah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa ini dibintangi oleh Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Iedil Putra, Amerul Affendi dan ramai lagi.

"Lelaki Harapan Dunia" (2014)

Filem "Lelaki Harapan Dunia" atau judulnya dalam bahasa Inggeris "Men Who Save The World" arahan Liew Seng Tat ini merupakan filem paling kontroversi Malaysia dan yang pertama berkolaborasi dengan banyak pihak seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Torino Film Lab (Itali), Hubert Bals Fund (Belanda), Netherlands Film Fund, World Cinema Fund (Jerman), Visions Sud Est (Switzerland), Fondation Groupama Gan pour le Cinema – Cinefondantion (Perancis), Prince Feature Film Program dan the Doris Duke Foundation (AS).

Sejak tayangan perdananya di Malaysia, ia telah mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mendakwa filem arahan Liew Seng Tat seolah-olah menyindir orang Melayu dengan memaparkan kebodohan penduduk di sebuah perkampungan Melayu. Benar atau tidak, ia telah menyebabkan kutipan filem tersebut sangat mengecewakan. Filem drama komedi ini berkisah tentang sebuah kampung, yang mana berlaku kekacauan akibat salah faham penduduk kampung yang menyangka sebuah rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dihuni oleh 'hantu', sedangkan terdapat seorang pendatang asing Arfika yang menghuni secara sembunyi.

Walaupun dikritik oleh segelintir masyarakat tempatan, namun ia tidak menghalang "Lelaki Harapan Dunia" untuk mencipta kejayaan apabila ia berjaya tercalon di banyak festival filem antarabangsa termasuklah merangkul pelbagai anugerah. Walaupun ia gagal di Malaysia, tetapi filem ini berjaya menang besar di Festival Filem Malaysia ke-27 dengan membawa pulang lima trofi termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Kejayaan yang dicipta oleh filem ini telah melayakkan mereka mewakili Malaysia untuk bertanding untuk Anugerah Akademi tetapi tidak berjaya melepasi nominasi lima terakhir.

"One Two Jaga" (2018)

Filem "One Two Jaga" arahan pengarah dan pelakon terkenal Namron ini merupakan naskhah yang cukup kontroversi kerana ia bukan sahaja memaparkan sisi gelap pasukan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi dialog-dialog yang dilontarkan turut mengundang kontroversi kerana ia menggunakan bahasa pasar ditambah dengan kata-kata kesat yang digunakan dalam filem ini cukup banyak. Malangnya dialog kata-kata kesat itu dipotong untuk tayangan di pawagam tempatan.

Sebelum filem ini ditayangkan di Malaysia, ia telah berjaya meraih ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa, termasuk menerima pelbagai pengiktirafan. Walaupun kutipan di Malaysia amat mengecewakan, namun ia bagi mereka yang menonton filem ini pasti akan berpuas hati apabila keluar dari panggung. Dibintangi oleh Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Iedil Putra, Timothy Castillo dan ramai lagi, anda yang ingin tonton filem ini disarankan untuk tonton di platform penstriman video terkenal Netflix kerana versi di platform itu tiada sebarang potongan.

"Fly By Night" (2019)

Sebuah lagi filem bagus yang dipandang sepi oleh penonton tempatan iaitu "Fly By Night". Jika sekali pandang mungkin ramai yang akan menyangka ia sebuah filem Cina tempatan. Jawapannya ya dan tidak! Mengapa ya? Sebab filem ini menggunakan bahasa Cina hampir 80 peratus dalam filem ini. Mengapa tidak? Untuk pengetahuan anda, filem ini sebenarnya diarahkan oleh seorang pengarah Melayu iaitu Zahir Omar dan penerbit eksekutif-nya adalah berbangsa India iaitu Perin Petrus. Unik bukan sebuah filem Cina diarah dan diterbit oleh bangsa ini. Inilah keunikan yang ada di Malaysia.

Filem "Fly By Night" ini berkisarkan mengenai sisi gelap pemandu teksi di Kuala Lumpur. Ia menceritakan tentang sekumpulan pemandu teksi di Kuala Lumpur menjalankan aktiviti jenayah kecil dengan memeras ugut penumpang kaya yang mereka bawa dari lapangan terbang. Perkara menjadi sebaliknya apabila seorang pemandu teksi muda mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan salah seorang daripada mangsa mereka, yang mahu mengugut kekasihnya yang curang.

Sejujurnya apa yang boleh penulis katakan mengenai filem ini adalah ia sebuah naskhah yang cukup hebat, maka tidak hairanlah filem membuat tayangan pertamanya di Festival Filem Antarabangsa Busan pada tahun 2018 sebelum ditayangkan di Malaysia. Bagaimanapun kejayaan yang dikecapi di peringkat antarabangsa tetap tidak menjanjikan kejayaan di negara sendiri apabila filem ini turut menerima nasib yang sama seperti filem lain apabila tidak mendapat sambutan.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon mantap seperti Sunny Pang, Jack Tan, Fabian Loo, Bront Palarae dan ramai lagi. Jika kita oleh menonton filem-filem antarabangsa, apa salahnya anda beri peluang untuk tonton filem ini. Pasti anda tidak akan menyesal.

Cinema Online, 05 Apr 2020

Filem Berkaitan:
Redha (KKIFF) (Malay) (22 Jul 2017)
Pekak (Malay) (01 Sep 2016)
Lelaki Harapan Dunia (Malay) (27 Nov 2014)
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)
Fly By Night (Malay / Mandarin) (11 Apr 2019)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan