Kematian kontroversi selebriti yang mengejutkan dunia Bollywood | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Kematian kontroversi selebriti yang mengejutkan dunia Bollywood

Penulis: Nisa Irina

Pencapaian dan kejayaan selebriti-selebriti ini akan terus diingati sampai bila-bila.
Pencapaian dan kejayaan selebriti-selebriti ini akan terus diingati sampai bila-bila.

Industri hiburan dan perfileman Bollywood diwarnai dengan ramai selebriti berbakat dan popular di seluruh dunia. Namun di sebalik semua kegemilangan itu, tersembunyi realiti gelap dan tragedi yang menggemparkan industri, iaitu kematian mengejutkan selebriti-selebriti terkenal pada tahun-tahun yang lalu. Biarpun sudah tiada, namun kejayaan filem-filem dan pencapaian mereka masih segar dalam ingatan keluarga, sahabat handai, rakan-rakan selebriti serta para peminat. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Kali ini, kami ingin menyenaraikan beberapa kes kematian selebriti Bollywood yang pernah menggemparkan dunia. Malah sehingga hari ini, masih terdapat kes yang berada dalam siasatan dan perbicaraan walaupun sudah bertahun-tahun.

Guru Dutt

Guru Dutt merupakan seorang actor, penerbit dan pengarah berbakat besar yang terkenal dengan filem-filem klasik seperti "Pyaasa", "Kaagaz Ke Phool", "Sahib Bibi Aur Ghulam" dan "Chaudhvin Ka Chand". Namun di sebalik segala persembahannya dalam dunia perfileman, difahamkan Dutt mengalami kemurungan kerana tidak boleh menerima kegagalan. Menurut rakannya, Dutt sering merasakan dirinya tidak mampu memberi yang terbaik untuk filem-filemnya serta hubungannya bersama isteri dan penyanyi versatil, Geeta Dutt.

Hubungan mereka selama hampir 11 tahun bergolak apabila dia mula terpalit dengan kontroversi bersama aktres Waheeda Rehman dan berdepan masalah kewangan. Geeta akhirnya membawa tiga anak mereka, Tarun, Arun dan Nina, untuk tinggal bersama ibu bapanya, menyebabkan Dutt kemurungan dan dua kali cuba membunuh diri. Pada 10 Oktober 1964, Dutt akhirnya ditemui tidak bernyawa di kediamannya akibat minum alkohol berlebihan dan pil tidur.

Divya Bharti

Divya Bharti mula menapak dalam industri perfileman pada tahun 1990-an dengan beberapa filem Telugu seperti "Bobbili" dan "Assembly Rowdy". Dia kemudiannya dipilih untuk membintangi filem Hindi pertamanya iaitu "Vishwatma". Dalam tempoh dua tahun, Divya sudah berjaya mengukuhkan namanya dalam industri perfileman pada usia muda, sehingga digelar 'Saat Samundar Girl' susulan lagu terkenalnya "Saat Samundar Paar".

Sayangnya ia tidak kekal lama apabila pada 5 April 1993, Divya meninggal dunia di usia 19 tahun selepas terjatuh dari balkoni pangsapurinya di Mumbai dan mengalami kecederaan parah di kepala. Insiden itu menimbulkan pelbagai spekulasi sama ada ia adalah pembunuhan atau bunuh diri memandangkan Divya adalah kaki minum. Ramai yang percaya kematian Divya berkait dengan suaminya Sajid Nadiadwala, yang kini pembikin filem terkenal, namun pihak polis menutup kes itu pada 1998 dengan mengatakan ia adalah kematian yang tidak disengajakan.

Nafisa Joseph

Kematian model dan pengacara radio terkenal Nafisa Joseph berpunca daripada kekecewaan yang dialami selepas putus cinta dengan seorang usahawan bernama Gautam Khanduja. Difahamkan majlis perkahwinan mereka telah dibatalkan beberapa minggu sebelum ia berlangsung, selepas Nafisa mendapat tahu Gautam berbohong dengan mengatakan dia sudah bercerai, sedangkan dia masih bersama isterinya. Media pernah melaporkan bahawa Gautam telah memeras ugut Nafisa selepas model itu mengugut untuk bertemu isterinya.

Pada 29 Julai 2004, Nafisa telah ditemui mati selepas menggantung diri di kediamannya. Ibu bapa Nafisa kemudiannya memfailkan laporan polis dengan tuduhan Gautam adalah punca kematian anak mereka. Gautam telah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi Bombay sehingga Januari 2006. Namun Gautam mendakwa tiada bukti yang mengatakan perpisahan mereka adalah punca Nafisa bunuh diri.

Parveen Babi

Bintang Bollywood pertama yang menjadi muka hadapan majalah Time pada 1976, Parveen Babi, adalah seorang aktres, model dan pereka dalaman. Kebanyakan filemnya pada era 70-an dan 80-an berjaya dapat kutipan pecah panggung. Selepas 15 tahun berada dalam industri, Parveen akhirnya membuat keputusan untuk bersara dari dunia lakonan pada 1985.

Bekas teman lelakinya dan aktor veteran Danny Denzongpa mendedahkan bahawa dia menyedari Parveen pernah berkelakuan aneh, sebelum dikatakan menghidap paranoid Schizophrenia, iaitu gangguan mental yang menyebabkan pesakit mengalami ketakutan melampau dan berhalusinasi. Parveen juga pernah bercinta dengan aktor Kabir Bedi dan pembikin filem Mahesh Bhatt.

Parveen akhirnya ditemui mati di rumahnya pada 22 Januari 2005 selepas jiran-jiran mendakwa dia tidak keluar rumah selama tiga hari. Pakar forensik mendedahkan Parveen meninggal dunia 72 jam sebelum mayatnya ditemui, dan bedah siasat menyatakan dia tidak makan selama beberapa hari hingga kebuluran. Selain itu, dia turut dilaporkan meninggal dunia akibat diabetes dan organ tidak berfungsi. Kematian Parveen menimbulkan porak peranda di antara ahli keluarganya yang memfailkan rayuan untuk mewarisi harta peninggalannya.

Viveka Babajee

Model dan Miss Mauritius Universe 1994 Viveka Babajee membuat debut sebagai aktres menerusi filem "Yeh Kaisi Mohabbat" arahan Dinka Kapur yang ditayangkan pada 2002. Biarpun filem itu gagal, namun ia tidak menutup persembahan lakonan Viveka. Gara-gara kecewa dengan hubungan percintaannya bersama Gautam Vora, Viveka akhirnya disahkan meninggal dunia selepas mayatnya dijumpai tergantung di kipas siling rumahnya pada 25 Jun 2010.

Apa yang menarik, pihak polis menemui diari milik Viveka bersebelahan mayatnya dan ayat terakhir yang ditulis adalah "You killed me, Gautam Vora". Difahamkan sebelum kejadian itu berlaku, jiran-jiran terdengar pertelingkahan antara mereka apabila Vora pergi ke rumah Viveka. Vora dikatakan tidak bersedia untuk berkahwin dengan model itu. Selepas dibicarakan pada 2012, Vora dibebaskan oleh pihak polis kerana tiada bukti kukuh, namun ditahan semula apabila terlibat dengan kes pembunuhan ahli perniagaan Arun Tikku.

Jiah Khan

Jiah Khan adalah seorang aktres British-Amerika yang membuat debut dalam bidang lakonan menerusi filem "Nishabd" bersama Amitabh Bachchan pada 2007, di mana dia menerima anugerah Aktres Debut Terbaik Filmfare. Kali terakhir Jiah dilihat berlakon adalah menerusi filem pecah panggung "Housefull" yang diterajui Akshay Kumar.

Pada 3 Jun 2013, Jiah didapati meninggal dunia selepas menggantung diri di rumahnya. Berita tragis itu menjadi perbualan hangat orang ramai di India dan United Kingdom, di mana aktres itu dibesarkan. Beberapa spekulasi timbul dan kebanyakannya berkait dengan kekasih Jiah yang juga aktor Sooraj Pancholi. Ibu Jiah, Rabiya Amin, menuduh Sooraj sebagai pembunuh. Semuanya berlaku selepas nota bunuh diri sebanyak enam muka surat ditemui oleh kakak Jiah.

Setahun selepas kematiannya, Mahkamah Tinggi mengarahkan Biro Siasatan Pusat India (CBI) untuk menyiasat kes itu. Pada 2016, Mahkamah Tertinggi mengarahkan supaya Mahkamah Tinggi mempercepatkan kes dan menurut siasatan, mereka menyatakan kematian Jiah berpunca dari menggantung diri. Namun ibu Jiah tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan mengupah pakar forensik British Jason Payne-James, yang menyatakan kematian Jiah bukan berpunca dari menggantung diri, memandangkan parut di muka dan lehernya berbeza.

Pada Januari 2017, hampir empat tahun selepas kematiannya, pihak pendakwa meminta agar tuduhan dijatuhkan terhadap Sooraj kerana melakukan serangan seksual dan pembunuhan. Sooraj yang dibebaskan dengan ikat jamin mengaku bahawa dia tidak bersalah, malah terpaksa menerima pelbagai cemuhan masyarakat dan digelar pembunuh. Sehingga kini, perbicaraan masih diteruskan.

Sridevi

Berita yang mengejutkan industri Bollywood apabila primadona terkenal Sridevi ditemui tidak bernyawa dalam tab mandi Hotel Jumeirah Emirates Towers, Dubai, oleh suaminya Boney Kapoor pada 24 Februari 2018. Difahamkan beberapa hari sebelum kejadian, Sridevi telah berlepas ke Timur Tengah bersama anak bongsunya Khushi untuk menghadiri majlis perkahwinan anak buahnya Mohit Marwah. Dia membuat keputusan untuk tinggal di sana selama beberapa hari untuk mencari hadiah buat hari jadi anaknya Janhvi.

Biarpun Boney tidak dapat menyertai mereka, namun penerbit filem itu bercadang untuk memberi kejutan kepada Sridevi dan bertemunya. Setibanya di sana, Boney menemui Sridevi di hotel dan merancang untuk keluar makan malam. Namun ketika Boney ingin memanggil Sridevi yang sedang bersiap di bilik mandi, tiada respon yang diterimanya. Laporan bedah siasat mengesahkan Sridevi mati lemas di dalam tab mandi akibat serangan jantung, di mana pakar forensik memberitahu paru-parunya dipenuhi air.

Cinema Online, 27 Mei 2020

Waktu Tayangan