Misteri taman tema terbiar bakal dirungkai dalam "Miimaland"? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Misteri taman tema terbiar bakal dirungkai dalam "Miimaland"?

Penulis: Ashraf Nasser

Adakah anda akan tonton filem
Adakah anda akan tonton filem "Miimaland" di pawagam?

Ketika filem "Miimaland" diumumkan ramai yang teruja dan tidak sabar untuk menonton filem itu yang mana ia akan menceritakan mengenai misteri di sebalik taman tema terbiar yang pernah menjadi taman tema terbesar di Asia Tenggara dari tahun 70an hingga 90an iaitu Mimaland yang terletak di Gombak, Selangor.

Bagaimanapun tragedi kematian dan tanah runtuh yang berlaku di situ menyebabkan taman tema itu ditutup sehingga kini dan ia mula menjadi lokasi tumpuan para kumpulan paranormal untuk melawat lokasi itu bagi mengesan entiti atau hantu yang ada di situ selepas banyak ura-ura mengatakan lokasi itu sangat keras.

Filem seram ini sepatutnya ditayangkan pada 4 Jun tetapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 pada Mac lalu menyebabkan seluruh pawagam di negara terpaksa ditutup dan hanya kembali beroperasi pada awal Julai lalu.

Walaupun ramai penerbit filem tempatan tidak berani untuk menayangkan filem mereka pada tahun ini selepas pawagam dibuka berikutan prosedur operasi standard (SOP) di pawagam bimbang filem mereka rugi, berbeza pula dengan penerbit filem "Miimaland" yang berani ambil risiko untuk tayang mereka pada 24 September depan.

Jadi sebelum anda ke pawagam September ini Cinema Online ingin kongsikan sedikit mengenai filem ini bagi menimbulkan lagi keterujaan pembaca.

Cuba merungkai misteri?

Rasanya ramai yang nak tahu apa yang 'ada' di taman tema itu selepas puluhan tahun ditinggalkan, bagaimanapun penulis nak beritahu siap-siap filem ini bukanlah berdasarkan kisah sebenar. Ia menceritakan mengenai seorang pemuda bernama Ariel yang mahu menyiasat misteri taman tema itu. Ketika dia masuk ke taman tema terbiar itu, Ariel mula berdepan dengan pelbagai kejadian aneh dan menakutkan apabila mendapat tahu banyak kes kehilangan kanak-kanak berlaku di tempat itu. Nak tahu apa yang berlaku selepas ini? Kena la tonton di pawagam!

Diarahkan oleh Nevin Hiong

Bagi yang tidak mengenali Nevin Hiong, pengarah ini bukanlah nama baru dalam industri sebaliknya Nevin sudah hampir sedekad dalam industri seni tanah air. Dia memulakan kerjaya sebagai sinematografer untuk filem Melayu seperti "Cerita Kita", "Nasi Kangkang", "Jin", "Cerita Hantu Malaysia", "Highland Tower" dan banyak lagi. Nevin membuat debutnya dalam dunia pengarahan menerusi filem sains fiksyen permotoran berjudul "Kampung Drift" yang dibintangi oleh Pekin Ibrahim dan Syafie Naswip sebagai peneraju. Kini dia cuba mempertaruhkan genre seram pula menerusi "Miimaland". Dengan 'track record' yang agak baik membuat penulis yakin ramai yang juga tidak sabar mahu menonton filem ini.

Diterajui oleh Fattah Amin

Penulis tujuan 'point' ini khas untuk pelakon utama Fattah Amin. Tidak dapat dinafikan pada awal pembabitan Fattah dalam dunia lakonan dia menjadi pujaan penonton wanita tetapi juga menerima kritikan hebat daripada penonton lain yang mendakwa lakonannya 'kayu' selain sering bawa watak 'mat romeo' sahaja. Bagaimanapun semuanya berubah apabila dia membintangi filem "KL Special Force" apabila menyaksikan Fattah tampil dengan sisi yang cukup berbeza, malah mendapat pujian daripada penonton. Kini suami kepada aktres popular Fazura bakal tampil dengan watak berbeza pula. Mampukah Fattah berikan lakonan mantap? Sama-sama kita tunggu tetapi secara peribadi penulis berharap lakonannya dalam "Miimaland" setanding atau lebih dari filem "KL Special Force".

Turut dibintangi barisan pelakon popular lain

Selain Fattah sebagai peneraju, "Miimaland" turut dibintangi pelakon popular lain seperti Siphia Albarakbah, Camelia Natasya kmn, Hazzy Alzeeq dan Zalif Sidek sebagai pelakon utama lain. Tidak banyak boleh diperkatakan mengenai kesemua pelakon ini kerana mereka merupakan rakan kepada watak lakonan Fattah yang bersama ke taman tema itu untuk menyiasat sesuatu. Tetapi apa yang penulis ingin lihat adalah watak Zalif Sidek bagaimana dia membawa watak serius pula kerana sebelum ini dia terkenal dengan watak-watak komedi.

Mampukah "Miimaland" dapat sambutan?

Ya, ini merupakan persoalan utama dan merupakan faktor utama mengapa ramai penerbit takut untuk tayang filem mereka di pawagam buat masa ini kerana bimbang tidak dapat kutipan seperti yang disasarkan. Secara peribadi penulis merasakan filem seram seperti ini sudah mempunyai peminatnya tersendiri dan tidak mustahil "Miimaland" mampu mencetuskan fenomena baru seperti filem "Highland Tower" pada tahun 2013 yang mana filem bajet kecil itu berjaya menjadi fenomena. Apa-apa pun kita tunggu dan lihat prestasi filem ini di pawagam nanti.

Cinema Online, 20 Sept 2020

Filem Berkaitan:
Miimaland (Melayu) (24 Sept 2020) [Showtimes] [Trailers]


Waktu Tayangan