Nama sebenar selebriti Malaysia yang anda mungkin tak tahu | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Nama sebenar selebriti Malaysia yang anda mungkin tak tahu

Penulis: Nisa Irina

Antara nama komersial dan nama sebenar selebriti ini, mana yang anda lebih suka?
Antara nama komersial dan nama sebenar selebriti ini, mana yang anda lebih suka?

Nama komersial memainkan peranan penting dalam hidup seseorang selebriti di samping bakat. Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada pilihan masing-masing sama ada mahu menggunakan nama sebenar ataupun nama singkatan yang mudah diingati oleh para peminat. Ada juga selebriti yang mempunyai nama gelaran peribadi yang 'melekat' sehingga hari ini.

Sama seperti Allahyarham Tan Sri Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh yang memilih nama P. Ramlee sebagai nama komersial beliau. Mungkin selama ini anda berpendapat bahawa nama komersial yang selebriti-selebriti gunakan sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan adalah nama sebenar mereka, tetapi sebenarnya tidak. Jadi, mari ketahui nama sebenar selebriti Malaysia yang aktif dalam bidang lakonan!

Rosyam Nor

Nama Datuk Rosyam Nor memang sudah sebati dengan industri filem Malaysia dan Rosyam juga salah seorang pelakon dan penerbit tersohor. Pemilik nama asal Mohamed Noor bin Shamsuddin ini memulakan kerjaya lakonannya sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi filem "Gila-Gila Remaja". Kemuncak populariti Rosyam adalah selepas dia menjayakan filem aksi "Castello" dan "KL Menjerit". Selain itu, Rosyam juga pernah tampil dalam filem Tamil pecah panggung "Kabali" yang dibintangi Rajinikanth.

AC Mizal

Pelawak, pelakon dan pengacara Dato' AC Mizal tidak pernah gagal membuatkan para penonton terhibur dengan aksi jenakanya. Bekas anggota kumpulan hip hop 4U2C itu merupakan salah seorang pelakon terawal yang dipilih membintangi siri drama dan filem "Gerak Khas". AC yang memegang nama sebenar Mizal bin Dato' Zaini juga terkenal dengan filem-filem seperti "Buli", "Baik Punya Cilok", "Cicak-Man" dan "Cicak-Man 2 – Planet Hitam".

Remy Ishak

Hero Malaya yang menjadi pujaan ramai gadis, Remy Ishak, setiap kali menonton lakonannya dalam drama bersiri mahupun filem. Pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei bin Ishak ini pernah bekerja di pasar pagi dengan menjual ikan dan ayam untuk membayar duit yuran persekolahan, menoreh getah dan menjadi kelindan lori serta buruh kasar demi menyara hidupnya sebelum bergelar pelakon. Antara filem lakonan Remy ialah "Sejoli: Misi Cantas Cinta", "Bu, Kasih Suci", "Sangkar" dan "Dendam Pontianak".

Beto Kusyairy

Nurkusyairy Zakuan bin Osman atau lebih terkenal dengan nama Beto Kusyairy, adalah pelakon berpotensi dan berjiwa besar yang terkenal dengan filem-filem seperti "Nur Kasih The Movie", "Jiwa Taiko", "Istanbul Aku Datang!", "CEO" dan "Bisik Pada Langit". Nama Beto itu sebenarnya adalah gelaran rakan-rakannya yang diambil daripada sebuah drama Mexico, jadi dia menggunakan nama tersebut sebagai nama komersial. Beto akan kembali ke layar perak dengan empat filem terbaru tidak lama lagi, termasuk filem epik sejarah "Mat Kilau".

Bront Palarae

Pelakon yang berjaya menempa nama di negara seberang Indonesia menerusi filem "Headshot", "My Stupid Boss", "Pengabdi Setan" dan "Gundala", tak lain tak bukan adalah Bront Palarae. Nama Bront sebenarnya tercipta dari satu gelaran yang diberi keluarganya, tetapi disalah dengar oleh rakan-rakannya dan nama itu 'melekat' sehingga hari ini.

Pemilik nama asal Nasrul Suhaimin bin Saifuddin ini juga merupakan seorang penerbit, pengarah, dan penulis yang telah membintangi lebih 50 buah filem. Filem terbitan syarikat produksinya Pixel Play, iaitu "Crossroads: One Two Jaga", berjaya dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30.

Umie Aida

Kerjaya lakonan Datin Seri Umie Aida, atau nama asalnya Umi Khalsum binti Rahmad Ali, bermula seawal usia 18 tahun. Sering digandingkan bersama Rosyam Nor, Umie kini adalah salah seorang pelakon wanita tersohor di Malaysia dan di peringkat Asia. Oleh sebab Umie sering menjadi pilihan penerbit untuk membintangi filem dan drama berlatarkan zaman dahulu kala, dia turut diberi jolokan Ratu Filem Epik. Beberapa filem ikonik lakonan Umie ialah "Leftenan Adnan", "Embun", "Qaisy & Laila", "Hikayat Merong Mahawangsa" dan "Dukun".

Aeril Zafrel

Pelakon Aeril Zafrel yang juga suami kepada pelakon Wawa Zainal ini mempunyai nama asal Suhairil bin Sunari. Aeril diperkenalkan dalam persada seni menerusi bapa angkatnya Allahyarham Khairil Khamis, seorang pelakon dan penyanyi era 80-an. Terdahulu, Aeril pernah beberapa kali menukar nama komersialnya, bermula dengan Airil Yayang ke Suhairil Suhari ke Aeril Sunari dan Farel. Aeril yang bakal muncul dengan tiga filem baru, pernah membintangi filem "7 Petala Cinta", "99 Kali Rindu" dan "KL Vampires".

Syafiq Kyle

Mohd Syafiq Shamim bin Abdul Razak, itulah nama sebenar kepada pelakon Syafiq Kyle, yang dahulunya bergelar naib juara pertandingan Hero Remaja 2011/12. Lakonannya sebagai Ustaz Adam dalam drama bersiri "Nur" berjaya memberi impak hingga menaikkan nama dan popularitinya. Malah Syafiq juga memberanikan diri untuk keluar dari zon selesa apabila membintangi filem seram penyiasatan "Pusaka" tahun lalu. Terdahulu, Syafiq memberitahu dia lebih selesa merahsiakan maksud dan dari mana wujudnya nama 'Kyle'.

Hannah Delisha

Pelakon dan penyanyi kecil molek berasal dari Singapura yang semakin terkenal di Malaysia adalah Hannah Delisha. Hannah, yang terdahulu meraih kejayaan komersial menerusi drama adaptasi novel, "Mencintaimu Mr. Photographer", sentiasa membuatkan penonton cair dengan perwatakannya yang manja serta wajah comelnya yang persis anak patung. Pelakon yang membuat debut di layar perak dalam filem "Langsuir" ini memiliki nama sebenar Hannah Adlina Blackburne Birch.

Que Haidar

Que Haidar adalah antara pelakon yang sentiasa meninggalkan impak ataupun kesan mendalam terhadap para penonton dalam setiap lakonannya. Mana tidaknya, sebelum tampil di layar perak, Que, atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah bin Tengku Haidar, merupakan bekas pelajar Akademi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang aktif membuat persembahan dalam pementasan teater. Antara filem menarik lakonan Que adalah "Zombi Kampung Pisang", "Rock" dan "Rock Oo!".

Pekin Ibrahim

Mohd Iznan bin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pekin Ibrahim adalah pelakon, pengarah, penulis skrip dan penerbit filem. Pelakon yang meningkat naik dalam industri perfileman menerusi filem "Hantu Kak Limah Balik Rumah" ini kini mempunyai lebih 30 buah filem yang pernah dibintanginya. Pekin yang berkahwin dengan pelakon Mona Allen, atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen, akan tampil dalam empat lagi filem baru.

Elly Mazlein

Setiap kali dia membuka mulut, memang tak boleh berhenti! Itulah pelakon dan penyanyi Elly Mazlein, atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina binti Syed Hanafi. Elly yang juga terkenal dengan nama samarannya Kak Lina Pom Pom, memulakan kerjaya lakonannya dalam drama bersiri "Gerak Khas" dan kini terkenal dengan drama bersiri "Kampung People" yang berjaya mencipta fenomena selepas ditayangkan.

Awie

Siapa tak kenal penyanyi rock tersohor Dato' Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar bin Othman, vokalis utama kumpulan Wings? Awie muncul di layar perak buat pertama kali pada tahun 1990-an dan sejak itu kerjaya lakonannya semakin berjaya apabila dipilih untuk membintangi pelbagai filem berbeza genre, termasuk siri filem komedi seram arahan Mamat Khalid, "Zombi Kampung Pisang" dan "Hantu Kak Limah".

Nazim Othman

Pelakon yang sangat meminati Korea dan muzik Kpop, Nazim Othman, sering sahaja dianggap 'oppa' bagi para peminatnya. Pelakon yang dahulunya pernah bekerja sebagai pramugara Malaysia Airlines, sering menghiasi kaca televisyen dengan drama-drama romantik, termasuk berlakon sebagai jejaka Korea dalam "Cinta Teruna Kimchi". Buat pengetahuan semua, nama sebenar Nazim adalah Nushrul Alif bin Othman.

Emma Maembong

Biarpun sudah beberapa kali dilanda kontroversi, namun Emma Maembong masih bersikap profesional dan meneruskan kerjaya lakonannya. Pelakon yang sering tampil dalam drama-drama bersiri romantik ini sebenarnya menggabungkan namanya, Fatimah Rohani dengan nama bapanya, Ismail Embong untuk nama komersialnya. "Werewolf Dari Bangladesh" arahan Mamat Khalid adalah filem pertama lakonan Emma di layar perak.

Cinema Online, 12 Sept 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan