Selebriti yang ikut jejak langkah adik beradik sebagai pelakon | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Selebriti yang ikut jejak langkah adik beradik sebagai pelakon

Penulis: Nisa Irina

Adik beradik selebriti manakah yang paling anda minati?
Adik beradik selebriti manakah yang paling anda minati?

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Begitulah perumpamaan yang sesuai dengan topik kali ini. Saban tahun kita dapat lihat industri seni dan hiburan di Malaysia semakin dibanjiri dengan bakat-bakat baru. Ramai di antara mereka sebenarnya berasal dari keluarga selebriti yang berdarah seni jadi tidak hairanlah bakat mereka sememangnya luar biasa. Antara selebriti yang terkenal sebagai adik beradik adalah Umie Aida, Erma Fatima dan Betty Rahmad, Shaheizy Sam dan Zizie Ezette, Bella Astillah dan Didi Astillah, Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah, Pierre Andre dan Mikail Andre, serta Ogy Ahmad Daud dan Fazlina Ahmad Daud.

Walaupun bergelar adik beradik, namun kesemua selebriti ini tidak menumpang populariti antara satu sama lain, sebaliknya berusaha untuk mengukuhkan nama sendiri di persada seni Malaysia. Malah keakraban mereka juga sering menarik perhatian ramai di media sosial. Jom kita lihat senarai adik beradik selebriti yang sama-sama menceburi bidang lakonan!

Emma Maembong & Chacha Maembong

Biarpun jarang dillihat di layar perak dan kaca TV berbanding kakaknya Emma, namun Chacha tidak berasa ralat kerana dia lebih selesa bersikap 'low profile' walaupun dia terlebih dahulu menceburi bidang lakonan. Bagaikan air dicincang tak akan putus, begitulah akrabnya hubungan adik beradik ini yang sering bertukar pendapat dan nasihat bagi mempertingkatkan kualiti dan prestasi lakonan masing-masing.

Uqasha Senrose, Nelydia Senrose & Raysha Rizrose

Antara adik beradik selebriti yang paling berpengaruh di Malaysia adalah Uqasha dan Nelydia. Wajah mereka sering menghiasi kaca TV sebagai pelakon utama bagi drama-drama rantaian romantik. Sementara itu, Raysha Rizrose pula berjaya mengukuhkan nama dalam dunia seni selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2014/2015. Bagi yang tidak tahu, Raysha sebenarnya adalah adik seibu kepada Uqasha dan Nelydia, tetapi berlainan bapa.

Oktovia Manrose & Aprena Manrose

Tidak hairanlah jika pasangan beradik Oktovia dan Aprena menceburi bidang lakonan kerana mereka lahir dari ibu bapa berdarah seni, iaitu penyanyi dangdut terkenal, Iwan Syahman dan pelakon era 80-an, Allahyarhamah Rosnah Mohd Noor. Bermula dengan watak kecil drama TV, kini mereka sering menggalas watak utama dan masing-masing berjaya membuat debut di layar perak! Lebih menarik lagi, Oktovia dan Aprena juga merupakan sepupu kepada Uqasha, Nelydia dan Raysha. Sebab itu mereka kerap mengambil foto bersama-sama dan dikongsi di media sosial.

Elfira Loy, Ezlisa Loy & Ezzrin Loy

Elfira seringkali dilihat berlakon dengan adiknya Ezzrin sejak mereka digandingkan dalam drama bersiri popular "Qalesya". Kedua-dua mereka bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak zaman kanak-kanak lagi, sementara Ezlisa pula mula berlakon pada usia remaja. Ezlisa juga pernah tular susulan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Ternyata sokongan dan dorongan dari ibu mereka, yang juga seorang ibu tunggal, berjaya membentuk legasi Loy yang mewarnai industri lakonan tanah air.

Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Sharifah Aleysha & Sharifah Aryana

Dikenali sebagai 'Sharifah Sisters', keempat-empat anak perempuan kepada guru seni lakonan, Fatimah Abu Bakar ini ternyata mewarisi bakat ibu mereka yang aktif dalam bidang seni. Cuma kini Aleya dilihat telah memperlahankan karier seninya selepas melahirkan anak kedua.

Sikap peramah dan periang yang ada dalam diri adik beradik ini pasti akan membuatkan sesiapa sahaja berasa selesa untuk berinteraksi dengan mereka. Tahun ini, mereka keluar dari zon selesa apabila menjalin kerjasama dengan syarikat barang kemas ByThian, bagi melancarkan koleksi barang kemas mereka sendiri, SharifahSistersXByThian.

Ruhainies, Risteena Munim & Asha Zainul

Pada awalnya, ramai yang tidak tahu sebenarnya Ruhainies dan Risteena merupakan adik beradik memandangkan wajah mereka tidak begitu mirip. Risteena yang terlebih dahulu menceburi bidang lakonan dan terkenal sejak menjayakan drama "Playboy Itu Suami Aku", sementara Ruhainies dengan drama "Hello, Mr. Perfect!". Kedua-duanya digandingkan bersama pelakon Fattah Amin. Kini, adik mereka, Asha, sedang berjinak-jinak dalam bidang lakonan selepas muncul dalam telefilem "ConGirl" terbitan Ruhainies.

Fasha Sandha & Elisya Sandha

Lakonan hebat Fasha Sandha, terutama dalam menjayakan watak air mata sering meninggalkan impak terhadap para penonton, tak kira dalam drama TV mahupun filem. Biarpun kini Elisya sudah mengikut jejak langkahnya, namun Fasha pernah melarang adiknya itu untuk jadi pelakon kerana bimbang dengan cabaran dunia hiburan. Namun begitu, lama kelamaan dia memberi sokongan penuh kepada Elisya atas kesungguhannya mengukuhkan nama sebagai pelakon.

Anzalna Nasir, Mia Nasir & Afifah Nasir

Kalau lihat Anzalna, Mia dan Afifah, bukan kecantikan dan kepintaran sahaja yang turun temurun tetapi bakat lakonan pun sama! Anzalna dan Mia mula menceburi dunia lakonan pada 2011, sementara Afifah yang asalnya popular sebagai selebriti media sosial, mula berlakon pada 2016. Bersama kakak sulung Diana dan adik bongsu mereka, Nazirah, keakraban adik beradik ini sering menarik perhatian para peminat di media sosial sehingga mereka digelar 'Kardashian Malaysia'!

Eira Syazira & Syafnida Shuhaimi

Kecantikan adik beradik pelakon ini sering dipuji warganet yang menganggap wajah mereka seakan-akan kembar seiras. Hinggakan ada penonton yang keliru sama ada yang berlakon itu adalah Eira ataupun Syafnida. Buat masa ini, Eira sedang mengukuhkan namanya di negara sebarang Indonesia. Untuk yang tak tahu, adik bongsu mereka, Syainie Aida, juga adalah seorang pelakon, yang pernah membintangi beberapa drama serta dua buah filem iaitu "Hantu Wangan" dan "Qhaliq".

Shiera Ijoy & Sharifah Sakinah

Shiera Ijoy sudah menapak dalam industri lakonan sejak tahun 90-an lagi, mengikut jejak langkah kakaknya Sharifah Haslinda yang pernah popular di kaca TV. Seperti kakak-kakaknya, Sakinah juga cemerlang dalam dunia lakonan, di mana dia diterima baik dalam menjayakan pelbagai jenis watak, terutamanya watak psiko, bimbo mahupun antagonis. Agak jarang untuk melihat Shiera dan Sakinah digandingkan dalam mana-mana karya. Mungkin juga kerana kini Shiera lebih menumpukan kerjayanya sebagai penyampai radio.

Syatilla Melvin & Syifa Melvin

Wajah Syifa saling tak tumpah dengan wajah kakaknya Syatilla hinggakan ramai yang sukar untuk membezakan mereka berdua. Selain berkongsi minat dalam bidang lakonan dan fesyen, kedua beradik ini juga handal dalam mengendalikan perniagaan masing-masing. Syatilla juga semakin jarang dilihat berlakon kerana memberi fokus terhadap keluarga. Baru-baru ini mereka telah melancarkan produk Kekasih bersama kakak mereka Syafiqa dan adik, Syida.

Cinema Online, 04 Okt 2020

Waktu Tayangan