Pelakon veteran Malaysia yang terkenal jayakan watak ibu | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Pelakon veteran Malaysia yang terkenal jayakan watak ibu

Penulis: Nisa Irina

Lakonan pelakon manakah yang paling menjadi dan berjaya sentuh hati anda?
Lakonan pelakon manakah yang paling menjadi dan berjaya sentuh hati anda?

Jika dilihat di kaca televisyen mahupun di layar perak, sejak akhir-akhir ini kebanyakan watak ibu digalas oleh pelakon-pelakon wanita yang lebih muda memandangkan ramai mengamalkan sikap terbuka dalam memilih sesuatu tawaran.

Pada awal tahun ini, kita dapat lihat pelakon Nabila Huda menjayakan watak seorang ibu buat kali pertama dalam filem thriller seram "M4M4". Lakonannya yang penuh emosi berjaya membuatkan para penonton mengalirkan air mata ketika menonton filem itu, malahan menurut Nabila, watak yang dibawanya itu turut meninggalkan kesan dalam dirinya sendiri sebagai seorang ibu.

Namun begitu, pelakon-pelakon veteran atau lebih dikenali sebagai 'otai' yang pernah mewarnai industri hiburan Malaysia masih bertakhta di hati para peminat. Ia susulan persembahan lakonan mereka yang sentiasa memberi kesan kepada penonton biarpun kini nama mereka semakin tenggelam dalam industri. Oleh itu, mari kita singkap semula pelakon-pelakon wanita veteran yang terkenal menjayakan watak ibu.

Wan Maimunah

Siapa tak kenal Wan Maimunah, pelakon serba boleh yang mampu membawa apa jua watak dan sememangnya cemerlang dalam menjayakan watak air mata! Ramai yang memuji bahawa bakatnya memang tiada tandingan. Jika membawa watak antagonis pula, ianya pasti dibenci. Antara telefilem lakonannya yang memberi impak besar kepada para penonton adalah "Qalbu", "Quran Buruk" dan "Keranamu Ibu".

Setiap kali tibanya babak menangis, bukan dia sahaja yang menangis tetapi penonton juga ikut sebak. Lebih lucu lagi adalah apabila ramai peminat yang perasan tuala kecil di bahunya setiap kali berlakon drama untuk dibuat lap air mata. Beberapa tahun lalu, Wan Maimunah pernah terlantar sakit namun kesihatannya kini semakin pulih dan dapat meneruskan kerjaya lakonannya seperti biasa.

Fauziah Nawi

Setiap kali tibanya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, pasti wajah Fauziah Nawi akan menghiasi kaca televisyen dengan telefilem-telefilem serta iklan menyayat hati. Jarang sekali lakonannya tidak berjaya menyentuh hati penonton. Lebih-lebih lagi jika dia membawa watak ibu yang ditinggalkan anak-anak di kampung dan perlu menempuh ujian hidup. Telefilem lakonan Fauziah yang sehingga kini melekat di ingatan ramai adalah "Pondok Buruk". Atas permintaan ramai, telefilem yang turut menampilkan Wan Maimunah, Rosyam Nor, Allahyarham Ismail Din dan Allahyarham Datuk M.Rajoli itu telah disiarkan semula pada tahun lalu menerusi saluran Astro.

Norlia Ghani

Selain terkenal dengan filem komedi "Mami Jarum", Norlia Ghani juga dipilih untuk membintangi drama bersiri Islamik "Tanah Kubur" musim ketujuh hingga musim ke-15. Ibu kepada pelakon Rusdi Ramli sering membawa watak seorang ibu atau nenek yang penyayang. Bukan itu sahaja, sama seperti Wan Maimunah dan Fauziah Nawi, Norlia juga mampu membuatkan penonton bergenang air mata dengan lakonannya. Kini Norlia sudah kembali aktif dalam berlakon selepas lebih tiga bulan tidak menerima tawaran gara-gara situasi semasa yang tidak menentu.

Aida Khalida

Lakonan Aida Khalida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, seringkali membuatkan semua penonton 'cair' kerana keberkesanannya membawa watak ibu yang penyayang. Malah, suaranya yang lemah lembut apabila bercakap pun sudah menunjukkan bahawa dia memang sesuai untuk menjayakan watak sebegitu. Pelakon yang pernah membintangi filem "Pulang" ini juga telah meletakkan had dalam lakonannya iaitu menjaga batas pergaulan, termasuk jika dia melakonkan watak ibu yang mempunyai anak lelaki. Jika terpaksa, Aida akan menolak tawaran jika terdapat babak yang memerlukan dia untuk bersentuhan dengan pelakon lelaki.

Azizah Mahzan

Antara pelakon yang sentiasa mendapat perhatian kerana lakonannya yang menjadi adalah Azizah Mahzan. Baik watak ibu penyayang, garang, tegas mahupun diva, semuanya Azizah boleh bawa dengan jayanya. Semuanya mampu meninggalkan kesan terhadap penonton, lebih-lebih lagi watak antagonis. Namun sejak kebelakangan ini, Azizah jarang dilihat di skrin lebar mahupun di kaca televisyen memandangkan dia semakin selektif terhadap tawaran berlakon yang diterima. Menurut pelakon filem "Ombak Rindu" ini, dia hanya akan menerima watak ibu jika ianya adalah watak utama. Selain itu, dia juga telah menetapkan harga yang agak tinggi atas sebab-sebab tersendiri.

Liza Abdullah

Gara-gara keberkesanannya menjayakan watak ibu mentua yang mempunyai cara tersendiri untuk membahagiakan anak-anaknya, Mak Leha, dalam drama bersiri popular "7 Hari Mencintaiku" dan "7 Hari Mencintaiku 2", nama itu sudah melekat pada Liza Abdullah. Malah sehingga kini terdapat segelintir para penonton yang panas hati dengan watak itu sehingga membenci dan mengecam Liza di media sosial. Walaupun sudah berpuluh tahun kerap membawa watak ibu, namun ternyata drama dan watak Mak Leha memberikan impak berbeza buat Liza.

Walau bagaimanapun, pelakon filem "Ali Setan" itu tidak berkecil hati terhadap kecaman dan cacian yang dilemparkan oleh pengguna media sosial, malah memaafkan mereka kerana menganggap ia hanya watak semata-mata. Ia juga menandakan lakonannya benar-benar menjadi dan meninggalkan kesan kepada penonton.

Jasmin Hamid

Seorang lagi pelakon wanita versatil yang sentiasa meninggalkan kesan kepada para penonton setiap kali dia menjayakan sesebuah watak. Jasmin sering diberikan watak ibu dalam telefilem dan drama-drama lakonannya, sama ada ibu penyayang, ibu yang diva berpangkat datin, mahupun ibu mertua yang kejam dan berhati busuk. Tahun ini, Jasmin tampil sebagai dua watak yang berbeza dalam drama "Nasi Kerabu Untuk Che Abe" dan "7 Hari Mencintaiku 2".

Dalam "Nasi Kerabu Untuk Che Abe", Jasmin membawa watak ibu yang lemah lembut dan penyayang bernama Nolly, berbeza dengan wataknya dalam "7 Hari Mencintaiku 2", iaitu Puan Hayati yang kejam dan licik. Akibat terlalu terkesan dengan watak Puan Hayati, ada penonton yang sanggup menghantar ugutan bunuh kepada Jasmin kerana membenci watak tersebut. Sampai macam itu sekali ya!

Cinema Online, 05 Sept 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan