Pelakon wanita yang sinonim dengan watak antagonis! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Pelakon wanita yang sinonim dengan watak antagonis!

Penulis: Nisa Irina

Pelakon manakah paling memberi kesan setiap kali membawa watak jahat?
Pelakon manakah paling memberi kesan setiap kali membawa watak jahat?

Sebagai pelakon, seseorang itu akan sentiasa maju ke hadapan dan keluar dari zon selesa bagi memperkembangkan karier sehingga bergelar pelakon versatil. Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat watak antagonis lebih menjadi pilihan pelakon berbanding watak protagonis memandangkan ia memainkan peranan penting bagi menjayakan sesebuah filem mahupun drama.

Tidak kira watak perempuan perampas atau orang ketiga, isteri atau anak derhaka, mahupun ibu yang kejam, jika seseorang pelakon itu benar-benar menghayati watak antagonisnya, pasti ia akan kekal dalam ingatan penonton.

Jika sebelum ini Cinema Online telah menyenaraikan lima pelakon watak antagonis lelaki terbaik , mari kita lihat senarai pelakon wanita yang sudah berkahwin dengan jejaka luar pilihan hati mereka!

Nabila Huda

Biarpun sudah hampir dua dekad dalam industri lakonan, namun Nabila Huda masih kekal relevan dan tidak putus-putus menerima tawaran berlakon. Nabila mula menempa nama dalam industri dengan menjayakan watak-watak antagonis jadi tidak hairanlah dia boleh membawa watak sebegitu dengan baik. Bermula dengan filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" serta drama rantaian "Sari Maya", "Teduhan Kasih", "Ariana Rose", "Tanah Kubur" dan telefilem "Ketupat Terakhir", semuanya meninggalkan impak kepada penonton sehingga menjadi sebutan sehingga ke hari ini.

Bakatnya yang luar biasa dalam membawa watak antagonis bukan hanya dipuji, malah turut dibenci oleh para penonton setia. Menerusi filem "Wangi" yang ditayangkan tahun lepas, Nabila membawa watak seorang wanita talam dua muka dan juga perampas kebahagiaan rumah tangga orang lain. Dalam filem "M4M4" pula, biarpun pada awalnya Nabila dilihat sebagai seorang ibu yang penyayang, tetapi satu tragedi hitam menyebabkan sisi gelapnya muncul. Bukan itu sahaja, Nabila juga pernah membawa watak antagonis dalam pementasan teater "Lela Manja" pada 2016.

Umie Aida

Siapa yang pernah menonton filem kontroversi "Dukun", pasti tahu bagaimana jahatnya Datin Seri Umie Aida sebagai Diana Dahlan yang mengamalkan ilmu hitam. Bukan mudah untuk membawa watak yang diinspirasikan dari Mona Fandey, sehinggakan Umie sanggup tidur dengan seekor ular selama dua bulan dan hampir terkena histeria ketika berada di tempat tahanan terakhir banduan sebelum dibawa ke bilik gantung.

Komitmen Umie ternyata tidak sia-sia apabila para penonton memuji lakonannya dan akhirnya dia layak merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30, Anugerah Skrin TV3 dan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur.

Bukan hanya di layar perak sahaja aura 'jahat' Umie dirasai para penonton, malah di kaca televisyen juga menerusi drama rantaian "Ammara Batrisya", "Waris" dan "Kekasihku Seru". Gara-gara terlalu menjiwai wataknya sebagai seorang ibu yang psiko dalam "Ammara Batrisya", ada penonton yang mengaku berasa seriau ketika menonton lakonan Umie!

Sheila Rusly

Kalau baik, baik sangat. Kalau jahat, jahat sangat. Begitulah pendapat para penonton setiap kali melihat lakonan Sheila Rusly. Penghayatannya dalam menjayakan watak antagonis benar-benar menjadi, seperti menerusi drama rantaian popular "Manjalara", "Cucu Betong", "Ramadan Jangan Pergi" dan "Pia", serta telefilem "Terhentinya Doa". Dalam drama "Pia", biarpun membawa watak bisu, namun lakonan menjadi Sheila membuatkan penonton tidak senang dengan watak yang dikatakan menjengkelkan itu.

Baru-baru ini, Sheila sekali lagi mencetuskan fenomena menerusi drama "Bukan Gadis Biasa", di mana dia membawa watak Opah Aminah sehingga dibenci para penonton. Biarpun ramai yang mengkritik kerana keputusan penerbit tidak mengambil pelakon veteran untuk menjayakan watak itu, namun lakonan Sheila masih diterima baik kerana hasilnya, watak itu sangat dibenci ramai! Lebih mengejutkan, ada di antara penonton yang tidak dapat membezakan antara realiti dan lakonan apabila mereka menghantar mesej keterlaluan kepada Sheila.

Wan Maimunah

Selain terkenal dalam menjayakan watak air mata, pelakon veteran Wan Maimunah juga cemerlang dalam menggalas watak antagonis. Watak isteri, ibu ataupun nenek jahat yang dijayakannya pasti akan menerima pujian kerana tahap penghayatannya yang tinggi. Buktinya, para penonton sendiri mengaku rasa ingin menyumpah dalam hati kerana mulut 'puaka' watak Wan Maimunah dalam drama rantaian mahupun telefilem lakonannya seperti "Quran Buruk", "Kifarah", dan "Rawan Seorang Perempuan".

Jangan kata di kaca televisyen sahaja, dalam filem pun sama lagaknya! Masih ingatkah pada filem animasi klasik "Putih", yang dihasilkan berdasarkan cerita rakyat "Bawang Putih Bawang Merah"? Buat pengetahuan semua, watak mak tiri kejam bernama Mak Kundur dalam filem arahan Rashid Sibir itu dialih suara oleh Wan Maimunah. Melihat layanan kasar Mak Kundur terhadap Putih pasti akan membuatkan penonton tak senang duduk biarpun ianya hanya sekadar animasi!

Raja Azura

YM Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku merupakan salah seorang pelakon senior yang mana lakonannya tidak pernah mengecewakan. Walaupun telah membintangi banyak drama dan telefilem, namun watak antagonis yang masih 'melekat' pada ingatan penonton adalah siri telefilem "Takbir Suci". Lakonan Kak Engku sebagai Kak Nora dalam telefilem itu sangat dibenci kerana perwatakannya yang zalim ketika melayan anak yatim.

Di samping itu, Kak Engku juga pandai bermain dengan emosi ketika membawa watak sebagai Permaisuri Laila Sri yang kejam dalam pementasan teater Bidasari pada 2014. Sebagai antagonis, permaisuri itu bertindak ganas dengan memukul, memijak dan menarik rambut Bidasari, lakonan Fathia Latiff, yang lebih cantik daripadanya. Penghayatan Kak Engku membawa watak permaisuri itu dikatakan seakan menenggelamkan watak utama, Bidasari.

Terbaru, Kak Engku berjaya menarik perhatian ramai apabila membuat kemunculan semula dalam drama rantaian "Jujurlah Nikahi Aku" setelah sekian lama tidak berlakon. Tambah menarik, watak Kak Engku sudah pun mengundang sakit hati penonton sebelum drama itu disiarkan selepas dia memuat naik video sedutan babak lakonannya. Dalam babak berkenaan, Kak Engku yang membawa watak Mak Azah, mendera dan menyeksa Nurin, lakonan Uyaina Arshad, hanya kerana benci dengan kecacatan anaknya itu.

Cinema Online, 19 Sept 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan