Adakah pembikin filem patut pertimbang rilis filem di platform digital? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Adakah pembikin filem patut pertimbang rilis filem di platform digital?

Penulis: Ashraf Nasser

Sudah tiba masanya pembikin filem tempatan cari alternatif lain untuk tayang filem mereka. (Gambar sekadar hiasan)
Sudah tiba masanya pembikin filem tempatan cari alternatif lain untuk tayang filem mereka.
(Gambar sekadar hiasan)

Ketika ini satu Malaysia perlu patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang telah menyebabkan puluhan orang mati di negara ini.

Berikutan PKP, sebahagian besar dari pelbagai industri lumpuh kerana tidak dibenarkan beroperasi dan industri seni antara yang turut terjejas teruk. Manakan tidak, pawagam di seluruh negara diarahkan ditutup oleh itu banyak filem-filem tempatan dan luar negara tidak dapat ditayangkan di pawagam.

Perkara ini turut berlaku di seluruh dunia yang turut sedang berusaha menentang wabak maut ini.

Keadaan ini nyata membuatkan pembikin filem resah dan gelisah kerana modal besar sudah dikeluarkan tetapi filem tidak dapat ditayangkan berikutan situasi ketika ini.

Namun untuk filem tempatan, pengarah tersohor Mamat Khalid telah menjadi pembikin filem tempatan yang pertama membuat keputusan untuk tidak menayangkan filem terbarunya berjudul "Manap Karaoke" di pawagam, sebaliknya ia akan ditayangkan di saluran Astro First pada 7 Mei ini.

Bagi penulis, keputusan untuk menayangkan filem terbarunya di Astro First adalah tepat kerana Mamat telah mempercepatkan tarikh tayangan dari bulan Ogos ke bulan Mei. Selain itu, pengarah juga mungkin berfikiran sekiranya pawagam dibuka semula pun, pasti ramai yang akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak ke pawagam dalam tempoh 3-4 bulan selepas tamatnya PKP ini.

Jadi rasanya pembikin-pembikin filem tempatan mungkin boleh mengikut jejak langkah Mamat Khalid untuk mempertimbangkan menayangkan filem mereka di platform digital atau pun saluran berbayar.

Di Malaysia kita sudah mempunyai beberapa platform digital dan stesen televisyen berbayar yang boleh 'digunakan' untuk menayangkan filem mereka.

Jom kita lihat platform digital & saluran berbayar yang pembikin filem tempatan boleh pilih:

Astro First

Bagi mereka yang melanggan Astro sudah tentu tahu mengenai saluran Astro First yang mana ia merupakan saluran (terasing) yang mana jika anda hendak tonton saluran ini anda perlu membayar yuran langganan. Kenapa anda perlu bayar sedangkan anda sudah bayar bil Astro setiap bulan? Apa yang menariknya sehingga anda perlu bayar untuk tonton? Untuk pengetahuan anda, saluran Astro First ini adalah saluran yang akan menayangkan filem-filem terbaru tidak kira tempatan atau luar negara. Apabila anda membayar langganan, anda dapat menonton filem itu dalam tempoh tertentu. Sudah pasti ia amat menjimatkan daripada anda ke pawagam bukan!

Memandangkan negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19, banyak filem tempatan yang terpaksa ditunda dan ada yang baru ditayangkan beberapa hari terpaksa dihentikan berikutan pawagam menutup operasi mereka. Jadi, para pembikin filem tempatan sudah boleh memikirkan alternatif lain untuk menayangkan filem mereka kepada penonton.

Sebagai contoh, produksi Astro Shaw telah memilih saluran Astro First untuk menayangkan filem Indonesia "Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini" berikutan penutupan pawagam di seluruh negara. Lebih menarik lagi, pengarah tersohor tanah air iaitu Mamat Khalid juga dikatakan telah memilih Astro First untuk menayangkan filem terbarunya berjudul "Manap Karaoke" yang akan menemui penonton pada 7 Mei ini. Sebelum ini filem Mamat itu dijadualkan akan ditayangkan di pawagam pada Ogos depan, jadi dengan tayangan lebih awal seperti 'hadiah' buat peminat. Jadi, para pembikin filem yang masih menunggu slot tayangan baru selepas terpaksa menunda tayangan filem, mungkin anda boleh guna alternatif ini.

Iflix

Rasanya seluruh rakyat Malaysia sudah mengetahui mengenai platform penstriman video tempatan iaitu iflix. Pada mulanya ramai yang mengecam kerana mengatakan mereka mengambil nama itu dari platform penstriman video terkenal dunia iaitu Netflix untuk menarik perhatian orang ramai. Ternyata strategi itu telah berjaya melonjakkan nama Iflix.

Iflix pada mulanya hanya menawarkan filem-filem tempatan dan luar negara, kemudian telah mengorak langkah apabila menandatangani kontrak bernilai puluhan juta dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menayangkan setiap perlawanan Liga Malaysia. Iflix kemudian mula menghasilkan kandungan mereka sendiri dengan berkolaborasi dengan syarikat produksi tempatan dan siri asal iflix pertama dan paling popular adalah "KL Gangster Underworld" yang mendapat ulasan cukup positif.

Apa yang membuatkan siri asal ini sangat popular kerana tiada tapisan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) atau perlu patuhi garis panduan seperti di televisyen. Dialog yang dilontarkan dalam siri ini sangat bersahaja dan mempunyai kata-kata kesat yang tidak dipotong. Kejayaan siri asal musim pertama itu telah membawa kepada filem iflix pertama iaitu "Rise To Power: KL Gangster Underworld" iaitu sebuah 'spin-off' dari siri itu yang menceritakan mengenai latar belakang salah satu watak utama.

Dengan jumlah langganan semakin meningkat dari semasa ke semasa, iflix kini mula menjadi salah satu platform penstriman video paling popular di Malaysia ketika ini. Jadi, penerbit dan pengarah boleh mempertimbangkan untuk gunakan platform ini untuk menayangkan filem terbaru mereka.

VIU

Platform penstriman video VIU yang berpengkalan di Hong Kong ini pada mula ia diperkenalkan di Malaysia adalah untuk menarik peminat drama dan filem Korea, dan ternyata ia terus mendapat sambutan hangat daripada masyarakat berikutan ketika ia dilancarkan, dunia sedang dilanda demam K-Pop.

Sama seperti platform penstriman video lain, VIU turut menawarkan pelbagai filem-filem antarabangsa untuk pelanggan mereka termasuklah ratusan VIU Original iaitu siri asal terbitan mereka sendiri. VIU Original turut menampilkan banyak siri tempatan dihasilkan, jadi rasanya tiada masalah sekiranya ada pembikin filem tempatan yang mahu tayang filem mereka di VIU kerana ketika ini platform penstriman video menjadi pilihan utama orang ramai sepanjang tempoh PKP ini.

Tonton

Akhirnya sekali pembikin filem juga boleh memilih tonton.my untuk menayangkan filem mereka di sini. Tonton yang merupakan milik Media Prima ini pada mulanya hanya menayangkan drama-drama bersiri yang ditayangkan di televisyen yang mana ia kemudian membolehkan anda menonton semua saluran yang berada di bawah Media Prima seperti TV3, TV9, 8TV & NTV7.

Bukan sahaja drama dari televisyen, tonton.my juga turut menerbitkan siri asal khas untuk platform digital sahaja. Boleh dikatakan platform tonton.my ini lengkap dengan segala-galanya termasuklah radio, berita dan juga siaran langsung seperti majlis anugerah.

Selain pembikin filem, penyedia platform penstriman video juga sudah boleh mula mempertimbangkan untuk menjalin kerjasama dengan pembikin filem untuk memberi peluang kepada mereka untuk memilih samada untuk menayangkan filem mereka secara tradisional iaitu di pawagam atau secara eksklusif di platform penstrimen video.

Dengan situasi negara ketika ini, sudah tiba masanya pembikin filem tempatan membuka mata dan mencari peluang dan cara baru untuk menayangkan filem mereka bukan sahaja kepada penonton tempatan tetapi juga kepada penonton antarabangsa.

Cinema Online, 03 Mei 2020

Waktu Tayangan