Penerbit & pengedar filem atur strategi untuk terus 'survive' dalam industri | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Penerbit & pengedar filem atur strategi untuk terus 'survive' dalam industri

Penulis: Ashraf Nasser

 Johan As'ari akan teruskan kembara ilmu solo ke Korea Selatan pula selepas ini (Sumber foto: bloghiburanterkini.blogspot.com).
Johan As'ari akan teruskan kembara ilmu solo ke Korea Selatan pula selepas ini
(Sumber foto: bloghiburanterkini.blogspot.com).

Apabila seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19, hampir keseluruhan industri terpaksa ditutup kecuali industri keperluan asas sahaja yang dibenarkan beroperasi.

Antara industri paling teruk terjejas adalah industri seni tanah air yang mana hampir kesemua aktiviti seni seperti penggambaran filem, drama, pementasan teater, persembahan muzik dan pawagam terpaksa dihentikan dan ditutup.

Perkara itu telah menyebabkan hampir kesemua penggiat seni terutamanya kru-kru produksi atau pekerja di belakang tabir terjejas teruk berikutan mereka tiada 'job' apabila penggambaran terpaksa dihentikan. Bagaimanapun apabila pihak kerajaan kembali membenarkan aktiviti seni disambung semula ia memberi kelegaan kepada penggiat seni.

Pihak kerajaan juga prihatin terhadap industri kreatif tanah air dan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), beberapa bentuk bantuan telah disalurkan kepada penggiat seni untuk kembali merancakkan ekonomi industri.

Kini penerbit dan pengedar filem tempatan mula mengatur langkah dan strategi untuk memastikan mereka terus kekal dalam industri sekaligus dapat membantu industri untuk pulih semula.

Tidak tertumpu pada satu-satu perniagaan sahaja


Tidak dapat dinafikan perniagaan dalam dunia perfileman, drama, telefilem dan banyak lagi boleh memberikan keuntungan berlipat ganda, namun apabila dunia dilanda pandemik COVID-19, penerbit dan pengedar filem seperti terkena tamparan hebat berikutan satu-satunya medium untuk mereka tayangkan filem mereka terpaksa ditutup lebih tiga bulan.

Walaupun pihak pawagam kemudian dibenarkan untuk kembali beroperasi, namun mereka diarahkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di mana setiap penonton tidak lagi boleh duduk bersebelahan kerana perlu penjarakan sosial. Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan kutipan terhadap sesebuah filem itu. Oleh itu, ramai penerbit dan pengedar filem mengambil pendekatan untuk menangguhkan tayangan filem mereka kerana enggan mengambil risiko filem tak laku.

Untuk mengatasi masalah ini, ada penerbit dan pengedar filem mula mencari peluang baru dalam perniagaan dan yang menjadi pilihan ketika ini adalah dengan menayangkan filem mereka di stesen televisyen berbayar seperti Astro First atau pun tayang di platform penstriman video seperti di Netflix, Viu, HBO, iflix, MUBI dan beberapa lagi.

"Tidak dapat dinafikan COVID-19 telah memberi impak yang besar buat Empire Film Solution kerana banyak filem yang sepatutnya kami edar pada tahun ini terpaksa ditunda buat sementara waktu. Sebelum pelaksanaan PKP kami sempat mengedar dua buah filem sahaja.

"Berikutan ketidaktentuan pasaran ketika ini, beberapa klien kami mahu menunda tayangan filem mereka pada tahun ini. Bagaimanapun kami masih akan mengedarkan sebuah filem pada hujung tahun ini iaitu "Mencari Rahmat.

"Kami juga baru sahaja menayangkan filem "Butak" edaran kami di saluran televisyen berbayar Astro First"," ujar Pengarah Urusan Empire Film Solution iaitu Muhamad Zubir Badar Shair.

Tambah Zubir lagi, mereka kini bukan hanya sekadar mengedar filem sahaja malah mereka kini sudah melebarkan sayap perniagaan mereka ke dalam dunia penerbitan untuk stesen televisyen RTM.

Mereka juga kini sedang mengintai peluang untuk bekerjasama dengan beberapa platform penstriman video popular untuk menayangkan filem-filem edaran mereka supaya dapat memberi peluang kepada orang ramai yang sebelum ini tidak sempat menonton filem edaran mereka di pawagam dapat tonton di platform penstriman video kelak.

Dalam pada itu, walaupun Primeworks Studios merupakan salah sebuah produksi terbesar tempatan namun mereka turut mengakui sangat terkesan dengan apa yang berlaku ketika ini sehingga memaksa mereka untuk mencari jalan untuk mengoptimumkan operasi mereka.

"Pandemik COVID-19 telah menjejaskan semua industri termasuklah industri seni tanah air. Oleh sebab itu, kami segera mencari jalan untuk mengoptimumkan operasi kami dan akan bersikap selektif terhadap projek filem pada masa hadapan.

"Kami juga akan cuba meneroka peluang-peluang baru yang mampu memberi manfaat keuntungan seperti menayangkan filem di platform penstriman video yang kini sangat popular di kalangan masyarakat di seluruh dunia.

"Bagaimanapun bukan bermakna kami akan rilis apa sahaja filem di situ, sebaliknya akan memilih genre-genre tertentu sahaja. Kami sememangnya terbuka untuk bekerjasama, malah ketika ini kami sememangnya ada berkerjasama dengan beberapa platform penstriman video," jelas Liz Chong yang merupakan Ketua Pengedaran Filem & Pemasaran Primeworks Studios.

Ambil pendekatan berhati-hati dan pantau situasi dari semasa ke semasa


Antara faktor mengapa industri seni terutamanya industri filem tempatan masih bergelut adalah kerana ramai penerbit filem ketika ini mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan mahu melihat situasi dari semasa ke semasa terlebih dahulu sebelum ambil keputusan menayangkan filem mereka kerana bimbang tidak dapat kutipan seperti yang disasarkan.

Namun jika hendak dikatakan orang ramai sudah tidak mahu tonton filem di pawagam ia tidak benar sama sekali kerana antara filem tempatan yang terawal menayangkan filem mereka selepas pawagam kembali dibuka adalah filem seram "Roh" dan "Miimaland".

Mengambil kira situasi ketika filem itu ditayangkan, "Roh" berjaya mendapat kutipan lebih RM500,000 manakala "Miimaland" kini sudah mengutip lebih RM300,000 (masih lagi ditayangkan di pawagam) walaupun terpaksa patuh dengan SOP yang ketat. Sambutan yang diterima ini memberi petanda bahawa rakyat Malaysia masih mahu tonton filem di pawagam kerana 'feel' menonton filem di pawagam dan di rumah sangat berbeza.

Bagaimanapun tidak semua produksi yang berani mengambil risiko ini dan salah satunya adalah Astro Shaw yang turut bersama penerbit lain mengambil pendekatan untuk menunda beberapa filem besar terbitan mereka sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

Antara filem besar yang dinanti-nantikan oleh penonton adalah trilogi "Abang Long Fadil 3" dan "Polis Evo 3".

Primeworks Studios turut mengambil pendekatan sama seperti Astro Shaw apabila terpaksa menunda dua buah filem yang sepatutnya ditayangkan pada suku keempat tahun ini. Mereka rancang untuk tayang filem itu pada awal tahun 2021, bagaimanapun semuanya bergantung kepada situasi negara dari semasa ke semasa.

Bantu penerbit cari alternatif tayang filem mereka


Walaupun ada penerbit yang sanggup menunda tayangan filem mereka sehingga keadaan pulih, namun tidak semua penerbit yang dapat berbuat demikian kerana kekangan kewangan menyebabkan mereka perlu mencari alternatif lain untuk menayangkan filem mereka dalam keadaan sukar ketika ini.

Sekiranya penerbit mahu tayang filem mereka tetapi bimbang tidak dapat sambutan di pawagam, mereka kini boleh menayangkan filem mereka di saluran televisyen berbayar popular Astro First yang telah terbukti merupakan pilihan terbaik ketika ini.

Antara filem yang pernah ditayangkan di Astro First sejak PKP adalah "Manap Karaoke", "Syif Malam Raya", "Town Mall" dan "Ada Apa Dengan Dosa" yang mana kesemua filem ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton.

Paling mengejutkan adalah filem "Syif Malam Raya" yang berjaya meraih kutipan lebih RM3 juta selepas 10 hari tayangannya di Astro First.

"Astro Shaw aktif membantu penerbit-penerbit di luar sana yang mencari alternatif dengan tayangan terus ke pawagam di rumah melalui saluran Astro First.

"Selain itu, kami juga turut memberi fokus pada beberapa projek yang masih dalam pembikinan. Kami tidak mahu terburu-buru dan perlu mengambil langkah teratur kerana keselamatan penonton harus diutamakan.

"Semoga keadaan kembali pulih seperti sedia kala dan semua penerbit di Malaysia dapat rancakkan semula industri filem tempatan," ujar Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.

Penerbit perlu bijak atur strategi untuk promosi filem


Filem bagus macam mana sekali pun sekiranya tiada promosi dibuat atau promosi dibuat ala kadar sudah pastinya filem itu tidak akan berjaya. Oleh itu, setiap penerbit filem perlu memberi tumpuan pada pemasaran dengan menyediakan bajet yang secukupnya untuk memastikan promosi filem yang dibuat mampu menarik penonton ke pawagam.

Perkara ini bukanlah perkara baru kerana rata-rata penerbit filem sering ambil mudah soal promosi dan tidak menyediakan bajet yang secukupnya kerana merasakan pelakon popular yang membintangi filem mereka itu mampu tarik penonton, namun sebaliknya berlaku.

Dengan situasi ketika ini sememangnya ramai penerbit yang tidak sanggup keluarkan modal besar untuk promosi filem termasuklah produksi besar, tetapi mereka perlu mencari jalan untuk mempromosikan filem mereka secara efektif dan kreatif supaya ia sampai kepada penonton yang disasarkan.

Kini filem yang gagal di pawagam masih boleh jana pendapatan


Jika dahulu sekiranya sesebuah filem itu gagal di pawagam sudah pasti penerbit akan mengalami kerugian besar kerana peluang untuk tayangkan filem mereka lebih lama di pawagam terhad. Mereka mungkin menjana pendapatan sedikit sekiranya ada stesen televisyen yang ingin membeli filem untuk ditayangkan pada musim tertentu seperti sambutan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas dan sebagainya.

Bagaimanapun bayaran yang diterima adalah sedikit dan penerbit perlu bersaing dengan penerbit lain yang turut mahu menjual filem mereka kepada stesen televisyen.

Dengan dunia semakin moden dan canggih, kini penerbit filem tidak perlu terlalu bimbang sekiranya filem mereka gagal di pawagam kerana kini mereka mempunyai banyak pilihan untuk menjana pendapatan bagi mendapatkan pulangan modal dan juga keuntungan dengan menjual filem mereka di platform penstriman video seperti Viu, iflix, Netflix dan banyak lagi.

Malah mereka juga boleh menayangkan filem mereka sendiri di platform video popular YouTube dan dapat menjana keuntungan dari situ.

Ramalan industri filem tempatan pada 2021


Kita sudah pun berada pada suku keempat tahun 2020 dan dengan situasi ketika ini agak sukar untuk sesiapun meramal keadaan industri filem pada tahun hadapan berikutan pandemik COVID-19 semakin merebak luas di seluruh dunia.

Industri dijangka akan bermula perlahan pada suku pertama 2021 tetapi dengan beberapa buah filem besar tempatan dan Hollywood yang dijadualkan ditayangkan pada tahun hadapan, ramai pemain industri yakin ia mampu kembali menarik orang ramai untuk kembali ke pawagam.

Yang paling penting adalah pemain industri perlu bekerjasama bagi mencari jalan untuk menarik semula penonton ke pawagam kerana penonton adalah penentu kepada kejayaan dan juga kejatuhan industri filem tempatan.

Cinema Online, 14 Okt 2020

Waktu Tayangan