Pengalaman Cinema Online di sekitar 'sinema' baru, CineDrive | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Pengalaman Cinema Online di sekitar 'sinema' baru, CineDrive

Penulis: Ashraf Nasser

Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pawagam pandu masuk.
Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pawagam pandu masuk.

Pawagam pandu masuk atau 'drive-in cinema' bukanlah benda baru atau asing di kalangan masyarakat Malaysia kerana sebelum ini kita pernah menonton filem-filem Hollywood yang memaparkan pawagam pandu masuk ini, namun ramai yang tidak menyangka satu hari konsep pawagam seperti itu akan ada di Malaysia sendiri.

Apabila dunia dilanda pandemik COVID-19 termasuklah Malaysia, pawagam di seluruh negara telah ditutup hampir tiga bulan tetapi kembali dibenarkan beroperasi dengan mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan tiada penularan berlaku ketika pengunjung menonton filem di pawagam.

Bagaimanapun, SOP yang ketat termasuk penjarakan sosial dalam pawagam sedikit sebanyak menjejaskan jumlah penonton ke pawagam berikutan mereka yang datang berpasangan tidak lagi dapat duduk di sebelah pasangan masing-masing, sebaliknya perlu duduk jarak satu tempat duduk.

Susulan situasi itu, idea untuk memperkenalkan konsep pawagam pandu masuk mula diperkenalkan baru-baru ini dan terbaru adalah CineDrive – Drive in Cinema, yang mula beroperasi di tempat letak kenderaan bersebelahan pusat beli belah terkemuka One Utama di Bandar Utama.

Beroperasi selama sembilan hari, penulis telah diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menonton filem di dalam kenderaan sendiri.

Walaupun ini adalah pawagam pandu masuk, tetapi setiap pengunjung yang datang perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, iaitu suhu badan akan diperiksa terlebih dahulu dan anda perlu 'scan' sebelum dibenarkan masuk ke kawasan pawagam.

Tiket terbahagi kepada dua jenis tiket, iaitu VIP di barisan ketiga sahaja dan tiket biasa 'free seating' yang mana harga tiket untuknya adalah RM80 manakala VIP RM100. Anda boleh lihat butiran lanjut di gambar bawah ini.

Selepas selesai urusan di pintu masuk, penulis dibantu oleh 'marshall' yang akan menunjukkan tempat 'duduk' untuk kereta penulis, dan pada malam tersebut penulis disajikan dengan filem pecah panggung tempatan iaitu "Paskal The Movie".

Sebelum tayangan filem bermula, pihak CineDrive akan memaparkan cara untuk anda dengar audio filem dalam kereta anda, yang mana anda perlu tukar ke saluran radio AFO Radio 106.3. Anda dibenarkan untuk menghidupkan enjin untuk penyaman udara sepanjang tayangan filem, tetapi nasihat penulis buka sedikit cermin tingkap untuk keselamatan anda.

Apa yang menariknya mengenai CineDrive ini adalah ia mempunyai skrin terbesar di Malaysia, iaitu berukuran 52 kaki lebar dan 42 kaki tinggi, iaitu bersamaan dengan 1.5x lebih besar dari gelanggang badminton. Malah skrin juga diletakkan pada ketinggian satu tingkat supaya penonton dalam kenderaan di bahagian belakang dapat menonton dengan jelas tanpa sebarang gangguan penglihatan.

CineDrive bukanlah pawagam pandu masuk tetap, sebaliknya ia hanya akan beroperasi selama sembilan hari sahaja bermula 19 hingga 27 September ini dan akan menayangkan 20 buah filem dari pelbagai genre.

Bagi penulis yang berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menonton filem di dalam kenderaan sendiri, ia adalah sesuatu yang 'menarik' sekaligus berbeza dengan tayangan filem di pawagam tradisional.

Tidak dinafikan mungkin akan ada kekurangan berikutan konsep pawagam pandu masuk ini baru sahaja bertapak di Malaysia, namun penulis yakin pihak operator akan ambil maklum dengan maklum balas daripada orang ramai untuk memperbaiki kualiti demi kepuasan pelanggan.

Apa-apa pun sekiranya anda berada di sekitar Lembah Klang, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menonton filem dalam kenderaan sendiri bersama pasangan, keluarga mahu pun sahabat.

Cinema Online, 23 Sept 2020

Waktu Tayangan