Pelakon Malaysia yang membintangi filem Indonesia | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Pelakon Malaysia yang membintangi filem Indonesia

Penulis: Nisa Irina

Pelakon manakah yang anda rasa paling fasih berbahasa Indonesia?
Pelakon manakah yang anda rasa paling fasih berbahasa Indonesia?

Jika diberi peluang dan kesempatan, penulis yakin ramai pelakon tempatan yang berbakat boleh mencipta nama di persada filem antarabangsa. Mereka hanya perlu yakin dengan diri sendiri serta memberanikan diri untuk mencuba benda baru dan keluar dari zon selesa.

Seperti diketahui umum, sudah ramai pelakon tempatan kita telah mencipta nama di industri filem negara lain, terutamanya di negara jiran, Indonesia. Walaupun filem-filem tempatan sukar untuk menembusi pasaran Indonesia, namun mereka sentiasa terbuka menerima kehadiran selebriti Malaysia untuk mencari rezeki di negara itu.

Untuk mengisi masa lapang anda dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, Cinema Online akan menyenaraikan pelakon-pelakon Malaysia yang berjaya mencipta nama di Indonesia.

Bront Palarae

Karier Bront Palarae dilihat semakin kukuh dalam industri filem Indonesia sejak dia diberi peluang untuk membintangi siri thriller "Halfworlds" (2015) arahan Joko Anwar. Filem Indonesia pertama yang dibintangi oleh Bront adalah "Headshot" yang ditayangkan pada 2016, sebuah filem aksi seni bela diri arahan Kimo Stamboel dan Timo Tjahjanto. Masih dalam tahun yang sama, filem komedi "My Stupid Boss" telah dirilis di pawagam, yang mana Bront memegang watak Adrian. Kedua-dua filem itu berjaya meraih kutipan pecah panggung di Indonesia.

Seterusnya adalah filem seram arahan Joko Anwar iaitu "Pengabdi Setan" (2017), yang mana Bront membawa watak Bahri Suwono, seorang bapa yang tegas dengan keluarganya. Boleh dikatakan Bront semakin fasih dan tidak kekok berbahasa Indonesia. Bront kemudiannya berpeluang untuk membintangi filem sekuel popular "Ayat-Ayat Cinta 2" (2017) bersama pelakon-pelakon terkemuka Indonesia.

Tahun lalu, bakat Bront semakin menyinar apabila Joko Anwar sekali lagi memberi peluang kepadanya untuk membintangi "Gundala", filem adiwira pertama di Indonesia yang diinspirasikan dari siri komik. Bront menjayakan watak Pengkor, musuh utama kepada Gundala lakonan Abimana Aryasatya. Filem itu berjaya mendapat tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto (FFAT 2019). menonton filem ini.

Ashraf Sinclair

Allahyarham Ashraf Sinclair mula terkenal di Indonesia selepas dia mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Indonesia Bunga Citra Lestari dan menetap di sana pada 2008. Untuk menceritakan perjalanan kariernya memang agak panjang jadi penulis hanya akan fokuskan filemnya sahaja.

Kebanyakan tawaran yang diterima oleh Ashraf adalah sinetron dan filem Indonesia pertama lakonan di sana adalah "Saus Kacang" (2008), filem romantik diterajui Ashraf dan Bunga sebagai watak utama. Pada 2009, Ashraf dipilih untuk membintangi filem seram "The Real Pocong" arahan Hanny R. Saputra. Ashraf hanya kembali ke layar perak selepas beberapa tahun untuk membintangi filem seram "Bayi Gaib: Bayi Tumbal Bayi Mati" (2018).

Miller Khan

Pemilik nama sebenar Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan ini membuat debut di layar perak menerusi filem arahan Yasmin Ahmad iaitu "Sepet" (2005). Dia kemudiannya membuat keputusan untuk memperkembangkan kariernya di Indonesia pada 2007 selepas lakonannya kurang diterima di Malaysia. Peluangnya dilihat semakin cerah di negara jiran apabila menjadi duta produk berjenama dan pelakon sinetron sebelum diangkat ke layar perak.

Filem-filem Indonesia lakonan Miller ialah "Bukan Bintang Biasa" (2007), "Cintapuccino" (2007), "Hantu Perawan Jeruk Purut" (2008), "Merem Melek" (2008), "Cinta Suci Zahrana" (2012), "Love You...Love You Not" (2015), "Petak Umpet Minako" (2017) "Rasuk" (2018) dan "Assalamualaikum Calon Imam" (2018).

Nora Danish

Pelakon Nora Danish mula melebarkan sayap ke Indonesia apabila dia menerima tawaran untuk membintangi filem kerohanian "Surga Yang Tak Dirindukan 2" (2017). Menurut Nora, dia berasa sangat teruja dan bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk berlakon di samping nama-nama besar di negara jiran seperti Fedi Nuril, Laudya Cynthia Bella, Reza Rahadian dan Raline Shah. Ternyata lakonan Nora berjaya memberi impak dalam filem ini.

Selain itu, Nora juga menjadi pilihan Aziz M. Osman untuk menerajui filem arahannya bersama Herdanous Larobu "Bukan Cinta Malaikat" (2017). Filem itu merupakan kerjasama syarikat produksi Malaysia dan Indonesia iaitu Ace Motion Pictures dan Ganesa Perkasa Films. Selain Nora, ia turut dibintangi oleh Ashraf Muslim, Fachry Albar dan Donita sebagai pelakon utama. Filem ini berjaya meraih kutipan RM1.2 juta selepas ditayangkan di Malaysia pada Januari 2018.

Nur Fazura

Dikenali dengan lakonan yang hebat dan bersahaja, tidak hairanlah bakat pelakon jelita Nur Fazura berjaya menarik perhatian pembikin filem di Indonesia. Filem pertama Fazura di negara jiran adalah "Bulan Terbelah di Langit Amerika" (2015) bersama Abimana Aryasatya, Acha Septriasa, Nino Fernandez dan Rianti Cartwright. Fazura sekali lagi tampil di layar perak dengan filem "Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss Part 1" (2016), diikuti dengan sekuelnya "Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss! Part 2" pada tahun berikutnya.

Selain itu, bintang filem "Gol & Gincu" ini juga pernah membintangi filem komedi "Rafathar" (2017) arahan Bounty Umbara, sebelum ditawarkan untuk membintangi filem sekuel popular "Ayat-Ayat Cinta 2" bersama Bront Palarae dan pelakon-pelakon terkemuka Indonesia. Menurut Fazura, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran filem itu serta menyatakan pengalaman bekerja dengan produksi filem "Ayat Ayat Cinta 2" merupakan satu peluang keemasan buatnya.

Noor Neelofa

Pelakon dan pengacara popular tanah air Noor Neelofa bakal memacu kerjaya lakonannya buat pertama kali di negara jiran tidak lama lagi. Menurut laporan, Neelofa dipilih untuk membintangi sebuah filem berkonsepkan cinta Islamik. Sehubungan dengan itu, Neelofa telah pun membuat persiapan rapi seperti mempunyai pengurus yang akan menguruskan kerjaya seninya di sana serta mempelajari bahasa Indonesia dibantu oleh seorang tutor dari Indonesia.

Buat masa ini, masih belum ada butiran lanjut yang dikongsikan oleh ikon fesyen Malaysia ini mengenai filem tersebut, namun sama-sama kita nantikan!

Kaka Azraff

Jika sebelumnya penyanyi Kaka Azraff hanya tampil sebagai pelakon pembantu menerusi tempatan, kini buat pertama kalinya Kaka menjayakan watak utama bagi filem hasil terbitan kerjasama produksi Indonesia dan Malaysia, "Zharfa" (2019). Menurut Kaka, hasratnya untuk melebarkan sayap ke negara jiran telah tercapai, dengan harapan dapat memperkembangkan kariernya di sana.

Malah sejak hari pertama kehadirannya di set penggambaran telah disambut dengan baik daripada pihak produksi. Pada pendapat penulis yang telah menonton filem ini, Kaka telah menjayakan wataknya dengan baik sekali. Boleh dikatakan Kaka sangat menghayati watak Zharfa. Menerusi filem itu, Kaka digandingkan bersama pelakon-pelakon Indonesia seperti Donny Alamsyah, Betari Ayu, Benny Ruswandi, Shelomita, Piet Pagau dan Anindi Zharfa.

Cinema Online, 04 Apr 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan