Fakta-fakta menarik mengenai sisi gelap industri Bollywood | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Fakta-fakta menarik mengenai sisi gelap industri Bollywood

Penulis: Nisa Irina

Kenyataan sisi gelap dunia Bollywood yang manakah anda anggap paling tragis?
Kenyataan sisi gelap dunia Bollywood yang manakah anda anggap paling tragis?

Semua orang tahu bahawa industri Bollywood merupakan industri perfileman kedua terbesar selepas Hollywood. Jadi tidak hairanlah jika industri Bollywood juga dipenuhi dengan rahsia-rahsia dan sisi gelapnya tersendiri seperti Hollywood.

Bukan mudah untuk seseorang melangkah ke dunia kemasyhuran, terutamanya golongan wanita, yang perlu berdepan pelbagai kenangan pahit dan sukar demi mencipta nama dalam industri Bollywood. Untuk pengetahuan anda, tidak semua sejarah dunia Bollywood bermula atau berakhir dengan kebahagiaan.

Menerusi entri kali ini, kami akan senaraikan satu per satu masalah, isu atau kenyataan sisi gelap mengenai dunia Bollywood di sebalik kegemilangan dan kemasyhurannya. Bermula dari isu nepotisme, diskriminasi, hinggalah perkaitan antara dunia Bollywood dan dunia Mafia!

Nepotisme

Sememangnya para penggiat seni Bollywood tidak akan dapat lari dari isu nepotisme yang terkenal dalam industri. Ia kini dianggap isu paling toksik, lebih-lebih lagi selepas kematian mengejut Sushant Singh Rajput, yang ditemui bunuh diri di kediamannya baru-baru ini. Sushant merupakan seorang pelakon luar yang berusaha mencipta nama sendiri dalam industri. Namun sayang, bakatnya tidak dipandang oleh sesetengah pembikin filem, sehinggakan ada yang bertindak menggantikannya dengan pelakon lain yang lebih berpengaruh dan terkenal untuk membintangi filem mereka.

Kini nama pembikin filem Karan Johar mula menjadi bualan ramai apabila dia dilabel hipokrit kerana berpura-pura kisah tentang Sushant. Sedangkan, bak kata warganet, selama ini dia hanya memilih pelakon-pelakon yang berlatarbelakangkan keluarga industri perfileman, atau 'star kids', untuk membintangi filemnya. Beberapa pelakon seperti Taapsee Pannu dan Ayushmann Khurrana juga pernah mendedahkan bahawa mereka dikeluarkan daripada projek-projek yang hanya inginkan pelakon-pelakon berasal dari Bollywood.

'Casting couch'

'Casting couch' merupakan satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan sofa-sofa di pejabat pencari bakat. Ia merujuk kepada aktiviti seksual yang dilakukan oleh penerbit dan pengarah terhadap pelakon-pelakon baru jika mereka ingin mengukuhkan nama dalam industri atau membintangi sesebuah filem. Perbuatan keji ini bukan sahaja berlaku di Bollywood, tetapi juga di Hollywood. Walau bagaimanapun, para pelakon berani bersuara tentang perkara ini, dan apa yang lebih mengejutkan, ia bukan sahaja berlaku terhadap pelakon wanita, tetapi juga lelaki! Antara pelakon-pelakon yang pernah berdepan situasi ini ialah Kangana Ranaut, Kalki Koechlin, Swara Bhaskar, Chitrangada Singh, Sherlyn Chopra, Ranveer Singh dan Ayushmann Khurrana.

Kemurungan dan kematian misteri selebriti

Kemurungan dan tekanan yang dialami oleh penggiat seni Bollywood merupakan salah satu punca mereka nekad membuat keputusan untuk menamatkan riwayat sendiri. Kes terbaru adalah kematian Sushant Singh Rajput yang berpunca dari bunuh diri kerana disyaki mengalami kemurungan selama enam bulan. Kematiannya telah membuka mata ramai orang terutamanya dalam industri, di mana mereka mula mendedahkan sisi gelap industri yang tidak berlaku adil dan melayan orang luar dengan teruk.

Satu persatu rahsia gelap industri mula terbongkar. Seperti diketahui umum, Sushant bukanlah orang pertama yang bertindak membunuh diri kerana kemurungan. Terdahulu, beberapa selebriti seperti ternama seperti Guru Dutt, Nafisa Joseph dan Jiah Khan pernah mengejutkan industri apabila mereka ditemui tidak bernyawa di kediaman masing-masing, dan apabila disiasat, setiap daripada mereka berdepan masalah tersendiri.

Diskriminasi terhadap warna kulit

Soal diskriminasi warna kulit atau 'colourism' merupakan salah satu isu yang terus berlaku dalam industri Bollywood. Sesetengah pihak produksi enggan memilih pelakon berkulit gelap, sebaliknya mereka akan menggunakan teknik solekan untuk menggelapkan warna kulit seseorang pelakon, terutamanya jika watak yang mereka bawakan adalah individu yang datang dari latar belakang keluarga tidak berkemampuan. Nawazuddin Siddiqui juga pernah meluahkan kekecewaannya kerana tidak menjadi pilihan produksi hanya kerana berkulit gelap dan tidak mempunyai rupa. Persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini adalah mengapa mereka enggan memilih pelakon yang secara aslinya berkulit gelap?

Contohnya adalah filem "Bala", lakonan Ayushmann Khurrana, di mana pelakon gandingannya Bhumi Pednekar telah disolek untuk menampakkan kulitnya lebih gelap dari kulit asal. Dalam filem itu juga, wataknya adalah seorang gadis yang berdepan diskriminasi kerana warna kulit. Tindakan produksi berbuat demikian telah membangkitkan kemarahan warganet dan pengkritik filem. Selain itu, Hrithik Roshan juga telah digelapkan warna kulitnya untuk menjayakan watak dalam filem biopik "Super 30", sementara Ranveer Singh dan Alia Bhatt untuk filem arahan Zoya Akhtar, "Gully Boy".

Pelakon tak laku dan veteran dianggap tak wujud dalam industri

Bollywood melihat para pelakon yang filemnya tidak laku sebagai sesuatu nasib malang. Oleh sebab itu juga, para pelakon yang tidak laku diabaikan dan tiada lagi syarikat-syarikat produksi yang mahu menawarkan filem kepada mereka. Selain itu, Bollywood juga telah melahirkan ramai pelakon veteran. Buat pengetahuan semua, ada di antara mereka yang terus dibuang dari industri hanya kerana satu filem yang gagal. Agak mengecewakan apabila melihat bakat pelakon-pelakon sebegini tidak diendahkan sehingga ada di antara mereka meninggal dunia akibat kemiskinan atau sakit mental. Sebagai contoh, pelakon yang menjayakan filem "Shree 420", Nadira, tidak lagi menerima tawaran baru selepas filem-filemnya mula tidak laku. Dia akhirnya meninggal dunia kerana kemurungan. A. K. Hangal pula jatuh miskin di usia tua dan meninggal dunia kerana sakit Akut. Siasatan mendapati dia dan anaknya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli ubat-ubatan.

Industri Bollywood bukan tempat berkawan

Ramai pelakon-pelakon termasuk Kangana Ranaut pernah mendedahkan bahawa industri Bollywood bukanlah tempat untuk membuat kawan. Setiap orang yang ingin berkawan itu akan menggunakan mengambil kesempatan terhadap satu sama lain. Malah, tidak dinafikan ada juga yang bersifat cemburu dengan kejayaan rakan pelakon. Ambil sahaja contoh para pelakon filem ikonik "Kabhi Khushi Kabhie Gham...", iaitu Shah Rukh Khan, Kajol, Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan yang meminggirkan Hrithik Roshan sewaktu penggambaran filem tersebut.

Ia telah didedahkan sendiri oleh pembikin filem Karan Johar, yang bertindak sebagai pengarah, di mana dia menyatakan punca Hrithik dipinggirkan adalah kerana kejayaan filemnya "Kaho Naa... Pyaar Hai". Sejak Hrithik mencipta nama menerusi filemnya, ada media yang membanding-bandingkan dia dan Shah Rukh Khan, kerana pada waktu itu juga terdapat beberapa filem Shah Rukh Khan yang gagal. Malah ramai lagi pelakon-pelakon yang sehingga kini berperang dingin seperti Deepika Padukone dan Katrina Kaif, serta Hrithik Roshan dan Kangana Ranaut.

Kemiskinan bekas-bekas penggiat seni

Industri Bollywood yang gilang gemilang ini menyaksikan ramai para pelakon yang menjayakan filem-filem pecah panggung sepanjang era mereka. Pada hakikatnya, mereka terpaksa berdepan masalah kewangan selepas karier mereka tamat. Itulah realitinya apabila seseorang pelakon tidak lagi berkecimpung dalam bidang perfileman. Malah sesetengah daripada mereka tidak mampu untuk menampung kos sara hidup mahupun perubatan.

Antara penggiat seni yang berdepan masalah ini ialah Bhagwan Dada, Parveen Babi, Kadar Khan, Jagdish Mali, Bharat Bhushan dan A.K. Hangal. Parveen Babi ditemui mati di rumahnya selepas tiga hari, difahamkan kerana kebuluran dan menghidap diabetes. Jurugambar Bollywood Jagdish Mali pula ditemui di tepi-tepi jalanan sedang meminta sedekah dengan berpakaian lusuh dan kotor. Masalah kewangan yang dihadapi memaksanya untuk menjual studionya sendiri.

Terlibat dengan dunia Mafia

Seperti yang dilihat, Bollywood memang kaya dengan filem-filem bertemakan gengsterisme dan dunia bawah tanah Mafia. Namun ia bukan sahaja berlaku dalam filem, tetapi juga dalam dunia sebenar! Ketua gengster dan pengedar dadah paling dikehendaki di India, Dawood Ibrahim, dan beberapa ketua gengster lain dikatakan masih mempengaruhi dunia Bollywood. Pernah timbul persoalan sama ada syarikat Dawood iaitu D-Company pernah menghulur dana bagi syarikat-syarikat produksi dan filem-filem. Industri juga pernah dikejutkan dengan foto Anil Kapoor bersama Dawood yang tular di Internet.

Selain itu, penerbit Javed Siddhique telah dibunuh oleh orang-orang bawahan Dawood apabila dia enggan memilih Anita Ayub dalam salah sebuah filemnya. Pemilik studio rakaman muzik T-Series, Gulshan Kumar, telah ditembak mati ketika dia sedang menuju ke sebuah kuil. Si penembak itu didakwa sebagai salah seorang orang bawahan Dawood. Ia adalah salah satu kes pembuhuhan paling kejam di Bollywood. Sementara itu, penerbit Rakesh Roshan pernah ditembak di lengan dan dada oleh salah seorang orang bawahan Don Ali Baba Budesh kerana enggan berkongsi keuntungan filem "Kaho Naa... Pyaar Hai".

Cinema Online, 27 Jun 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan