Teori-teori berkaitan kes kematian Sushant Singh Rajput | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Teori-teori berkaitan kes kematian Sushant Singh Rajput

Penulis: Nisa Irina

Sejauh manakah kebenaran teori-teori yang dikaitkan dengan kes kematian Sushant?
Sejauh manakah kebenaran teori-teori yang dikaitkan dengan kes kematian Sushant?

Industri perfileman Bollywood sekali lagi dikejutkan dengan berita tragis kematian aktor Sushant Singh Rajput yang bunuh diri di kediamannya kerana disyaki mengalami kemurungan. Seperti yang didedahkan oleh beberapa individu yang berkait rapat dengan Sushant, aktor itu berdepan tekanan dan ujian berat sepanjang berkecimpung dalam dunia perfileman.

Jika disingkap semula, Sushant dilihat cemerlang dalam menjayakan filem-filem seperti "Kai Po Che", "Detective Byomkesh Bakshy", "MS Dhoni: The Untold Story", "Kedarnath", "Sonchiriya", "Chhichhore" dan "PK", jadi sejauh manakah kebenaran bahawa dia sebenarnya dihimpit ujian dan cabaran berat dalam industri sehingga dia nekad mengambil langkah drastik sebegitu?

Menurut perkongsian daripada The New Indian Express, berikut merupakan teori-teori yang dikumpulkan berkait dengan kes kematian Sushant Singh Rajput, di mana majoritinya menceritakan tentang isu nepotisme dalam industri perfileman Bollywood yang sudah sekian lama diperkatakan.

Dikeluarkan daripada tujuh buah filem?


Menurut dakwaan yang dibuat oleh seorang ahli politik, Sushant telah dikeluarkan daripada tujuh buah filem yang ditandatanganinya. Malah dia juga tidak menerima tawaran filem-filem baru dan salah satu filemnya juga tidak dirilis kerana kontrak yang dikatakan berat sebelah. Selain itu, dia juga telah digantikan daripada filem-filem terbitan produksi ternama, seperti filem "Goliyon Ki Raasleela Ram-Leela" terbitan Sanjay Leela Bhansali dan filem "Befikre" terbitan Aditya Chopra.

"Saya tahu keperitan yang kamu telah lalui. Saya tahu cerita orang-orang yang mengecewakan kamu sehingga kamu menangis di bahu saya. Saya harap saya ada di sisi kamu sepanjang enam bulan lalu. Saya harap sangat kamu menghubungi saya. Apa yang berlaku pada kamu adalah karma mereka. Bukan kamu," tulis pengarah dan penerbit Shekhar Kapur di Twitter.

Pengarah Abhinav Singh Kashyap kemudiannya mendedahkan bagaimana agensi pengurusan bakat Yash Raj Films beroperasi. "Pertama mereka mengenal pasti bakat yang 'terdesak' dari luar Mumbai yang tiada hubungan atau harta. Mereka diumpan dengan jemputan istimewa ke parti-parti Bollywood dan mana-mana pelancaran restoran dengan alasan untuk memperkenalkan mereka kepada para selebriti, tetapi mereka kemudiannya diabaikan dan dilayan dengan teruk di parti-parti itu kononnya untuk 'meningkatkan keyakinan mereka'.

"Kemudian agensi itu memberi tekanan kepada mereka untuk menandatangani 'kontrak eksklusif tahunan' dengan berjanji untuk 'melindungi mereka daripada pemangsa atau menawarkan sejumlah wang'. Mereka menjadi 'buruh terikat' dan dipaksa untuk 'melepaskan' hak mereka untuk membuat pilihan sendiri atau pertimbangan mereka berkaitan dengan karier." Tulisnya di Facebook.

Isu nepotisme bagaikan tiada akhirnya


Sekian lama orang ramai telah didedahkan dengan isu nepostisme dalam industri Bollywood, malah segelintir selebriti juga pernah mendedahkan pengalaman pahit mereka ditolak untuk membintangi filem kerana pihak produksi memilih mereka yang lebih terkenal dan mempunyai pertalian keluarga dari bidang filem. Indeks Nepotisme Bollywood meletakkan syarikat produksi Sajid Nadiadwala, Ajay Devgn dan Shah Rukh Khan di tangga teratas senarai penerbit yang memilih aktor-aktor yang terkenal dan kegemaran mereka.

Terbaru, nama pembikin filem tersohor Karan Johar mula naik apabila warganet melabelnya sebagai hipokrit kerana berpura-pura kisah tentang Sushant, selepas dia memuat naik perkongsian yang menyatakan dia menyesal kerana sudah lama tidak berhubung dengannya, sedangkan sebelum ini dia dikatakan langsung tidak ambil tahu tentang Sushant, malah bergosip tentangnya. Lebih kecoh lagi, Karan turut kehilangan ramai pengikut di akaun media sosialnya. Nama aktres Alia Bhatt turut terpalit kerana dia pernah menyatakan dia tidak mengenali Sushant dalam program bual bicara Koffee with Karan.

Namun lain pula pendapat pengarah Mohit Suri, yang mengatakan nepotisme dalam Bollywood tidak wujud. Contohnya, aktres Shraddha Kapoor yang berasal dari keluarga penggiat seni, pernah menganggur selama tiga tahun selepas membintangi filem debutnya "Teen Patti". Sama juga seperti Varun Dhawan, anak kepada pengarah David Dhawan, yang bergelut untuk mencipta nama. Orang luar yang berjaya mencipta nama dalam industri Bollywood ialah Shah Rukh Khan, Akshay Kumar dan terbaru, Ayushmann Khurrana.

Adakah Bollywood akan menyaksikan pengakhiran nepotisme?


Itulah persoalan utama yang terdapat dalam fikiran orang ramai, terutama individu-individu yang berada dalam industri Bollywood, tetapi sehingga kini tiada jawapannya. Setiap individu dilihat memberikan pendapat masing-masing mengenai isu ini, ada yang bersetuju dan ada yang menafikannya. Aktres Kangana Ranaut yang dikenali dengan mulut lantangnya sering bersuara menentang isu nepotisme dalam industri Bollywood.

Selepas kematian Sushant, aktor Vivek Oberoi menasihati semua yang berada dalam industri Bollywood supaya kurangkan penggunaan kuasa atasan, selalu berlembut, mengambil berat dan berlaku baik antara satu sama lain. "Semua yang berada dalam industri perlu menjadi sebuah keluarga, sebuah tempat di mana bakat-bakat dipelihara dan bukan untuk dihancurkan," katanya.

Tiada apa yang diharapkan oleh orang-orang industri selain situasi 'toksik' dalam industri ini dapat ditamatkan. Perkara ini bukan sahaja mengganggu perjalanan karier bakat-bakat baru yang ingin mencipta nama dalam industri, malah ia juga akan memberi kesan kepada kesihatan mental mereka. Harapan penulis dan orang ramai, semoga isu nepotisme berakhir bersama Sushant Singh Rajput, kini dan selama-lamanya.

Cinema Online, 25 Jun 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan