Sanggupkah anda tonton filem paling 'gore & disturbing' ini? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Artikel

Sanggupkah anda tonton filem paling 'gore & disturbing' ini?

Penulis: Ashraf Nasser

Adakah anda seorang peminat filem bergenre seperti ini?
Adakah anda seorang peminat filem bergenre seperti ini?

Tiada batasan dalam dunia perfileman! Ya ia adalah satu kenyataan yang benar kerana dalam dunia filem fiksyen pembikin filem bebas untuk mengekspresikan kreativiti mereka yang kadang-kala agak keterlaluan buat segelintir pihak.

Namun itulah realitinya dalam dunia perfileman yang mana tiada batasan bagi menjadikan sesebuah naskhah seronok dan menarik untuk ditonton oleh penonton. Filem mempunyai pelbagai genre seperti aksi, seram, komedi, dokumentari, thriller dan banyak lagi.

Jika genre yang dinyatakan di atas ini mempunyai jumlah penonton yang ramai, namun terdapat sejumlah kecil penonton yang meminati filem bergenre 'gore & disturbing'. Peminat-peminat filem bergenre seperti ini selalunya mempunyai tahap hati dan pemikiran yang kental atau dalam erti kata lain 'berhati kering' kerana sanggup menonton babak-babak yang agak ekstrim dan keterlaluan.

Bagi mereka yang tidak meminati filem bergenre seperti mungkin pernah tahu atau pernah menonton sedikit klip video dari filem "I Spit On Your Grave" pada tahun 1978 yang mana ia cukup popular sehinggakan filem itu telah di 'remake' beberapa kali.

Bagaimanapun untuk artikel kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan lima buah filem 'gore & disturbing' yang anda perlu tonton sekiranya anda seorang yang meminati genre ini dan yang paling penting perlu berhati kering.

"Men Behind The Sun" (1988)

Bagi peminat filem 'gore & disturbing', filem "Men Behind The Sun" arahan Mou Tun Fei ini perlu berada dalam senarai 'watch list' anda kerana ia merupakan salah sebuah filem yang amat ekstrim sehinggakan ia diharamkan di banyak negara berikutan visualnya yang agak keterlaluan. Ia berkisarkan mengenai kekejaman tentera Jepun terhadap penduduk di negara China ketika era penjajahan. Apa yang keterlaluannya? Untuk pengetahuan anda pembikin filem dari China ini telah membuat sesuatu di luar jangkaan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pembikin filem lain iaitu terdapat dua babak yang benar-benar berlaku.

Babak tersebut adalah babak membedah mayat kanak-kanak yang merupakan mayat manusia sebenar yang dibeli untuk dijadikan 'prop' dalam filemnya. Manakala sebuah babak ekstrim lagi adalah babak di mana seekor kucing telah dibuang ke dalam sarang tikus yang di dalamnya mempunyai jutaan tikus yang kelaparan. Tak perlu penulis ceritakan secara terperinci kerana anda boleh tonton sendiri untuk rasai sendiri 'pengalaman' memualkan itu.

Bukan itu sahaja, malah terdapat banyak lagi babak yang ekstrim yang mungkin akan membuatkan penonton tidak tahan dan nak muntah dan salah satunya adalah babak di mana seorang lelaki telah diletak dalam satu bilik 'vacuum chamber' untuk satu eksperimen gila. Jadi jika anda seorang yang berhati kering, pastikan anda tonton filem ini.

"Solo 120 Days of Sodom" (1975)

Dalam banyak-banyak filem 'gore & disturbing', filem "Solo 120 Days of Sodom" adalah yang paling popular di kalangan peminat filem bergenre ini. Filem wajib tonton arahan Pier Paolo Pasolini dari Itali ini merupakan sebuah filem gila! Filem ini memaparkan sisi gelap manusia yang sebenarnya ada dalam segelintir manusia di dunia realiti tetapi tidak pernah menonjolkan diri sebenarnya.

Secara ringkasnya ia berkisarkan mengenai golongan bangsawan a.k.a kayangan di Itali yang menggunakan kuasa dan pengaruh untuk merekrut remaja lelaki dan perempuan untuk memuaskan nafsu gila mereka. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah seks semata-mata, tetapi sesuatu di tidak masuk akal dan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata kerana terlalu jijik. Penulis hanya akan beri satu sahaja contoh babak yang ada dalam filem ini yang akan buat penonton nak muntah iaitu babak makan najis. Dengar saja pun nak muntah, bayangkan kalau makan.

"Long Khong 2" (2005)

Thailand sememangnya negara yang cukup terkenal dengan filem-filem seramnya samada filem yang benar-benar menyeramkan atau pun komedi seram. Bagaimanapun untuk filem "Long Khong 2" arahan Pasit Buranachan ini mencampurkan elemen 'gore & disturbing'. Ia berkisarkan mengenai seorang guru wanita (Panor) di pendalaman yang suka menggoda dan mengimpikan kehidupan normal seperti orang lain. Namun kecantikannya menjadi sumpahan kerana Panor menjadi kegilaan ramai pemuda. Susulan itu, dia menjadi mangsa ilmu hitam oleh lelaki yang ingin mendapatkannya.

Jadi bagi mengelak dari dirinya terkena ilmu hitam, Panor terpaksa membunuh Porn seorang pawang untuk mendapatkan Syaitan Tiga Mata yang sangat berkuasa. Elemen 'gore' yang ditampilkan dalam filem ini sangat ekstrim apabila memaparkan babak Panor mengganas dengan melakukan pembunuhan yang sangat sadis dan azab buat mangsa.

Jadi pastikan anda bukan seorang yang lemah semangat atau takut darah kerana naskhah ini penuh dengan babak berdarah yang mampu membuatkan mereka yang tidak berhati kering akan berasa mual atau nak muntah.

"Flowers" (2015)

Berbeza dengan filem-filem yang lain, filem "Flowers" arahan Phil Stevens ini adalah sebuah filem 'silent' yang mana pelakon tidak ada dialog langsung. Secara ringkasnya, ia berkisarkan mengenai enam wanita mati yang terjaga di bawah ruangan merangkak di bawah rumah pembunuh mereka.

Apa yang boleh dikatakan mengenai filem ini ia sangat menjijikan kerana darah, usus perut, mayat berulat dan pelbagai lagi benda jijik dan memualkan dipaparkan sepanjang filem. Bagi anda yang mementingkan jalan cerita, filem ini bukanlah untuk anda kerana plot yang ditampilkan sangat meleret tetapi jika anda seorang peminat tegar 'gore', filem ini untuk anda.

Bagi yang sememangnya lemah semangat atau tak boleh tengok benda-benda jijik, dilarang sama sekali untuk tonton filem ini kerana anda berkemungkinan besar akan muntah ketika menonton filem ini. Tak percaya? Jika tak percaya boleh tonton sendiri.

"Eat" (2014)

Jika filem-filem yang disebut di atas ini boleh dikatakan filem yang agak serius, berbeza pula dengan filem "Eat" arahan Jimmy Weber yang mempunyai sedikit elemen komedi gelap. Ia berkisarkan mengenai seorang pelakon wanita yang tengah bergelut untuk dapatkan 'job' lakonan.

Keadaan menjadi lebih parah apabila dia dihalau keluar oleh tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Kemudian satu insiden telah berlaku apabila dia terpotong bahagian tubuhnya secara tidak sengaja dan mengambil tindakan 'gila' apabila memakan daging tubuhnya.

Sejak dari itu, dia mula ketagih untuk makan tubuh badannya sendiri setiap hari. Mungkin ramai yang pernah menonton filem "Cannibal" dan berasa jijik, namun jika anda tonton filem "Eat" anda pasti dua kali jijik kerana wanita itu bukan makan manusia lain yang sudah mati, tetapi makan daging tubuhnya sendiri.

Cinema Online, 18 Okt 2020

Waktu Tayangan