Treler filem Bollywood yang paling tidak disukai ramai | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Treler filem Bollywood yang paling tidak disukai ramai

Penulis: Nisa Irina

Apakah pendapat anda tentang treler filem-filem Bollywood ini?
Apakah pendapat anda tentang treler filem-filem Bollywood ini?

Treler filem sering membangkitkan keterujaan para peminat filem Bollywood sebelum filemnya ditayangkan. Lebih-lebih lagi jika ia membariskan pelakon-pelakon terkenal. Terbaru, treler sekuel filem yang dinanti-nanti ramai iaitu "Sadak 2" telah pun dilancarkan baru-baru ini. Biarpun filemnya masih belum ditayangkan, namun treler filemnya sahaja sudah mencetus kontroversi setelah ia diboikot pengguna media sosial.

Percaya atau tidak, antara punca beberapa treler filem ini mencatat angka beribu-ribu hingga berjuta tanda tidak suka adalah kematian aktor Sushant Singh Rajput, sekaligus membangkitkan isu nepostisme di Bollywood yang heboh dikatakan di media sosial sehingga menimbulkan pergaduhan antara selebriti dan peminat. Oleh itu, kali ini kami ingin senaraikan beberapa treler filem Bollywood yang paling tidak disukai oleh orang ramai di YouTube.

"Sadak 2"

Kematian aktor Sushant Singh Rajput merupakan punca utama filem "Sadak 2" telah diboikot oleh pengguna media sosial walaupun filemnya masih belum ditayangkan. Filem arahan Mahesh Bhatt itu dibintangi anaknya yang juga aktres Alia Bhatt, yang menerima kecaman hebat susulan isu nepotisme dalam industri Bollywood. Dengan lebih 12 juta tanda tidak suka, treler filem yang baru sahaja dilancarkan dalam tempoh seminggu itu kini menjadi video paling tidak disukai di YouTube, meletakkan video muzik penyanyi popular Justin Bieber, "Baby", di tangga kedua.

"Gunjan Saxena: The Kargil Girl"

Aktres dan anak kepada mendiang Sridevi, Janhvi Kapoor membintangi filem biopik ini sebagai juruterbang India pertama, Gunjan Saxena. Filem ini juga diboikot oleh ramai pengguna media sosial memandangkan ia diterbitkan oleh Karan Johar, yang menjadi mangsa kecaman susulan isu nepotisme seperti Alia Bhatt. Janhvi juga merupakan anak bintang Bollywood, jadi ia membangkitkan lagi kemarahan segelintir pengguna media sosial yang mengecam Karan Johar kerana tidak mempedulikan pendatang luar. Treler filem ini mempunyai lebih 254 ribu tanda tidak suka.

"Pagalpanti"

Biarpun filem komedi arahan Anees Bazmee ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti John Abraham, Anil Kapoor, Ileana D'Cruz dan Arshad Warsi, namun sayangnya ia menerima kritikan hebat setelah ditayangkan kerana tidak mencapai jangkaan para penonton dan pengkritik filem. Treler filem ini menerima lebih 557 ribu tanda suka, tetapi bilangan tanda tidak sukanya juga agak tinggi iaitu lebih 51 ribu.

"Race 3"

Salman Khan tidak pernah gagal membangkitkan keterujaan para peminat dengan filem-filemnya yang kebanyakannya bergenre aksi. Namun begitu, treler filem "Race 3" yang dilancarkan dua tahun lalu mencatat bilangan tanda tidak suka lebih 237 ribu, sementara tanda sukanya sebanyak 673 ribu. Jalan cerita filemnya juga dikritik hebat oleh para pengkritik filem, malah ada yang hanya memberi satu daripada lima bintang.

"PM Narendra Modi"

Filem biopik politik ini dibintangi Vivek Oberoi sebagai Perdana Menteri Narendra Modi yang mempunyai kumpulan besar penyokong dan pembangkangnya sendiri. Para pengkritik filem tidak terlalu kagum dengan filem ini, walaupun ia diterima baik oleh ramai penonton. Pada pendapat mereka, pembikin filem ini berat sebelah kerana memaparkan isu kontroversi Modi, seperti rusuhan di Godhra, pada sudut yang positif. Treler filem ini mencatat lebih 364 ribu tanda tidak suka, di sebalik tanda suka lebih 829 ribu.

Cinema Online, 31 Ogos 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan