Filem menarik yang anda boleh tonton di KiniDia | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem menarik yang anda boleh tonton di KiniDia

Penulis: Ashraf Nasser

di KiniDia, anda boleh pilih untuk tonton secara percuma atau 'upgrade' kepada Pro yang berharga RM9.90 sahaja.
di KiniDia, anda boleh pilih untuk tonton secara percuma atau 'upgrade' kepada Pro yang berharga RM9.90 sahaja.

Selepas beberapa platform penstriman video tempatan diperkenal, kini sebuah lagi platform penstriman video tempatan baru dilancarkan iaitu KiniDia.

Baru sahaja dilancarkan, KiniDia mempunyai koleksi filem terbaru dan juga filem lama yang boleh ditonton secara percuma dan berbayar.

Bagi yang ingin menonton filem terbaru, anda hanya perlu membayar sebanyak RM9.90 sahaja untuk sebuah filem yang berada dalam bahagian 'Pro movies'. Untuk tonton secara percuma, anda boleh tonton di bahagian 'free'.

Jadi kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan filem-filem yang terdapat di KiniDia.

Pro Movies hanya RM9.90 untuk sebuah filem

"Garang"

Filem aksi arahan T. Kanageswaran ini berkisarkan mengenai Izam seorang atlet paralimpik dalam acara lumba kerusi roda. Konflik timbul antara dua rakannya, Jasmin dan Reza, yang juga merupakan golongan kurang upaya handal berkerusi roda, apabila Izam ditimpa kemalangan. Perkara itu menyebabkan Jasmin terpaksa meminta bantuan daripada tiga rakan lamanya untuk merungkai konflik tersebut. Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Pablo Amirul, Ahmad Maembong, Osman Omar, John Elijah, Chacha Maembong dan Emma Maembong.

"M.O.X: Misi Operasi X"

M.O.X adalah sebuah badan perisikan yang diketuai oleh `M` manakala KFR13 pula adalah sebuah organisasi diketuai oleh Komander Moshie. KFR13 menjalankan aktiviti haram dan berkait dengan pertubuhan pengganas antarabangsa berpangkalan di Alaska, yang sering melakukan ancaman kepada kestabilan dunia menggunakan peralatan senjata pemusnah yang canggih. Ancaman KFR13 turut menyebabkan ejen-ejen rahsia M.O.X telah terkorban atau hilang tanpa dikesan. Semasa melaksanakan misi rahsia di Filipina, Don Pedro menyelamatkan seorang pelajar Malaysia bernama Martias yang berjaya menggodam rancangan dan formula senjata KFR13. Semenjak itu, KFR13 mengekori Don Pedro ke mana sahaja dia pergi, termasuk Thailand, Malaysia, India dan Alaska, untuk membunuhnya dan memusnahkan bukti. Filem arahan Zulkifli M. Osman ini dibintangi barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia iaitu Ebi Kornelis, Tya Arifin, Shareeta Selvaraj, Wan Adi Rafuan Datuk Rashid dan ramai lagi.

"Nota"

Kamal dan Erin merupakan sepasang suami isteri yang telah lama menghadapi masalah rumah tangga kerana gagal untuk mendapatkan zuriat, akibatnya mereka jarang berkomunikasi. Ketika ulangtahun perkahwinan yang ke-10, mereka memilih untuk bercuti ke Taman Negara Bako di mana Kamal telah melamar Erin, 10 tahun yang lalu. Filem arahan Yasu Tanaka ini dibintangi oleh Hans Isaac, Maya Karin dan Ramli Hassan sebagai peneraju.

"Enjin No 9"

Pak Leman telah berkahwin sebanyak lapan kali. Dia mahu kahwin buat kali kesembilan dengan janda Wan Limah. Dia meminta cucu lelakinya untuk membantu melamar wanita itu. Ia telah ditentang oleh Kak Leha, seorang wanita yang memperjuangkan hak wanita di kampung. Diarahkan oleh pengarah sensasi Raja Azmi, filem ini dibintangi Kazar, Tajul Arif, Sharifah Shahira, Ayuni Asyiqin dan ramai lagi.

"The Spiral"

Filem arahan PF Wong ini berkisarkan mengenai Jon Caine, seorang pensyarah yang hilang, kembali muncul dan mula membunuh orang, dia diberkas oleh Detekif Inspektor Aleana dan dihantar ke tempat perlindungan. Di sana, seorang ahli psikologi jenayah Dr. Melanie Surya menyoal siasat Jon dan mendapati kewujudannya adalah kunci kepada perubahan sikap lelaki itu. Dengan pengetahuannya, dia menemui jalan untuk merungkai rahsia yang disimpan oleh Jon. Ia dibintangi oleh Siti Saleha, Peter Davis, Ben Andrew Pfeiffer, Ayez Shaukat Fonseka dan Patrick Teoh.

"Sindiket"

Filem arahan Bade Hj Azmi ini diinspirasikan dari kisah sebenar, ia memaparkan tentang sindiket pemerdagangan manusia dan mengisahkan tentang seorang wanita yang diperdaya oleh teman lelakinya. Dia telah dijual ke rumah pelacuran di mana dia diberi dadah dan dipaksa untuk menjual dirinya. Ia dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad, Daphne Iking, Liyana Jasmay, Sharifah Amani dan ramai lagi.

"Kamar Seksa"

Ia menampilkan dua cerita dalam filem ini iaitu kisah pertama berkisarkan tentang seorang pembantu rumah bernama Mona yang bekerja di sebuah rumah pasangan wanita biseksual. Bagaimanapun dia mula merasa pelik dengan tingkah laku majikannya dan keadaan menjadi buruk apabila pasangan majikannya menyimpan dendam terhadapnya. Mona yang bingung cuba mendapatkan bantuan jiran. Filem 'panas' arahan M.Suurya ini dibintangi oleh Sazzy Falak, Noorkhiriah, Ieda Moin dan Aiyuni Hashim.

Filem yang boleh ditonton secara percuma

"Cerita Hantu Malaysia"

Filem arahan Pierre Andre adalah sebuah filem omnibus yang mana ia terdiri daripada tiga cerita yang mempunyai kaitan antara satu sama lain. Ia bermula di sebuah sekolah lama di mana seorang pengawal keselamatan bernama Aki mengalami beberapa perkara menyeramkan ketika bekerja. Pihak sekolah kemudian meminta seorang guru agama untuk mengusir mahkluk-mahluk halus dari sekolah tersebut. Dalam cerita kedua, guru tersebut dan penolongnya, Saad, sedang dalam perjalanan kembali dari sekolah itu apabila mereka terlibat dalam kemalangan. Guru itu meninggal serta merta setelah diserang sakit jantung. Saad pula meninggal apabila dilanggar oleh sebuah kereta. Dalam cerita ketiga, Jo, Mansur dan Akim mencari rakan mereka, Rose, yang dirasuk dan telah menghilangkan diri. Mereka mengalami pelbagai peristiwa seram sehingga mereka menjumpai Saad dan guru agama yang terlantar tanpa nyawa di tepi jalan. Ia dibintangi oleh Kamal Adli, Leez Rosli, Kamarul Yusoff, Wan Ellyas dan Mikail Andre.

"Pontianak vs Orang Minyak"

Filem seram komedi ini berkisarkan mengenai persaingan di antara dua makhluk halus, iaitu Pontianak dan Orang Minyak yang baru sahaja muncul di alam ghaib. Mahu dihormati makhluk lain, kemahiran mereka perlu diuji dengan menakutkan penduduk Kampung Puaka yang turut diduduki 5 bomoh. Ponti adalah seekor pontianak lelaki yang dibenci pontianak lain kerana kebanyakan dari mereka adalah perempuan manakala Omi pula adalah orang minyak berhati lembut yang sering menaikkan rasa menyampah orang minyak lain kerana sifatnya yang naif. Untuk memburukkan lagi keadaan, penduduk Kampung Puaka tidak takut dengan makhluk halus kerana ramai dari mereka yang berketurunan bomoh dan ada juga yang asalnya makhluk halus tetapi sudah menginsafi perbuatan di masa silam. Filem arahan Afdlin Shauki ini dibintangi barisan pelakon popular Johan, Nabil Ahmad, Khir Rahman, Lana Nodin dan Adibah Noor.

"Berani Punya Budak"

Sebuah lagi filem arahan Afdlin Shauki. "Berani Punya Budak" berkisarkan mengenai Pairot, kembali semula menjalani kehidupan normal selepas keluar daripada penjara dan dia menguruskan restoran bersama iparnya, Tong. Kemudian, satu hari Pairot mendapat satu panggilan untuk melaksanakan tugas terakhir, iaitu mencuri data peribadi pelanggan daripada sebuah syarikat kad kredit. Ia dibintangi oleh Afdlin Shauki sendiri bersama Awie, Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad dan Riezman Khuzaimi.

"Jalan Pintas"

Filem ini berkisar tentang watak Bakar: seorang pemuda lepasan ijazah dalam jurusan kejuruteraan, juga seorang anak lelaki tertua dalam keluarga (yang tidak lagi berbapa), yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung, untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga – ibu dan seorang adik perempuannya. Filem arahan pengarah dan pelakon terkenal Namron, ia dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti Auf Razak, Bront Palarae, Sharifah Amani dan Zahiril Adzim..

"Kinks"

Ia berkisarkan mengenai dua beradik dari kaum berbeza bertemu semula selepas lama terpisah. Jay yang berkulit putih pulang ke Malaysia untuk merealisasikan impiannya iaitu menerbitkan rancangan 'dating' antara budaya. Adik Joy di Malaysia Joythi pula seorang 'introverted' merupakan wakil daripada Kementerian Kebudayaan dan cuba memperbetul objektif produksi Jay. Filem arahan Juliane Block dan Virginia Kennedy ini dibintangi oleh Juliane sendiri bersama Alfred Loh dan Nina Sharil Khan.

"Los dan Faun"

Carlos Rodrigo dan Ahmad Faun Bin Dollah membuka perniagaan mencari benda-benda hilang. Pada suatu hari, seorang Datin memerlukan pertolongan mereka menjejaki jam tangan hilang bernilai RM40 juta. Filem arahan Afdlin Shauki ini dibintangi oleh Afdlin sendiri bersama Hans Isaac, Erra Fazira, AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie.

"Emperor"

Diarahkan Juliane Block, filem ini berkisarkan mengenai dunia bawah tanah di Malaysia berperang dengan kongsi gelap Hong Kong yang mana ia tidak diketahui oleh orang awam. Tetapi apabila seorang gadis dibunuh, kes tersebut menjadi tajuk utama berita. Kini pihak polis turut terjebak sama dalam situasi parah ini. Ia dibintangi oleh Adrian Lai, Alfred Loh dan Sam Yap.

"Sumolah"

Ramlee yang kesempitan wang menjadi seorang kakitangan kedai Boleh Sushi. Suatu hari Ramlee menyedari bahawa sebahagian kewajipannya adalah untuk menyertai Kejohanan Sumo. Filem arahan Afdlin Shauki, ia dibintangi oleh Afdlin, Awie, Gurmit Singh, Patrick Teoh, Radhi Khalid dan Inthira Charoenpura.

"Qaisy & Laila"

Filem ini berkisarkan mengenai cinta dan pengorbanan gadis Malaysia, Laila yang menyertai Malaysian Relief Team dan jatuh cinta dengan pemuda Afghanistan, Qaisy. Kisah ini bermula apabila Qaisy terpaksa menamatkan pengajiannya di Malaysia untuk menjaga adik perempuannya apabila ahli keluarganya yang lain terbunuh semasa Amerika Syarikat melancarkan peperangan ke atas Afghanistan. Di sana dia berjumpa dengan Laila yang menyertai pasukan perubatan Malaysia. Diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin, ia dibintangi oleh Jehan Miskin, Nur Fazura, Radhi Khalid dan Umie Aida.

"Kelibat"

Dua pengarah filem Selamat dan Indera hendak mengarah sebuah filem realiti mengenai hantu. Mereka akan pergi ke rumah dan tempat yang dikatakan berhantu untuk merakamkan gambar hantu berkenaan, malangnya semuanya merupakan rekaan dan tiada hantu sebenar yang ditemui. Sama seperti beberapa filem Afdlin sebelum ini, menerusi filem ini dia turut membintanginya sebagai pelakon utama bersama Patrick Teoh dan Riezman Khuzaimi.

"Helah"

Filem "Helah" arahan Dick Lee ini diterajui oleh dua penyanyi yang sangat popular ketika itu iaitu Achik Spin dan Siti Nordiana. Ia berkisarkan mengenai Mira anak orang kaya yang sering memperalatkan Nani anak orang gajinya untuk kepentingan diri sendiri. Nani yang sedar akan siapa dirinya terpaksa mengikut apa saja yang diingini Mira. Nani memang pelajar yang cemerlang dalam bidang pelajaran dan ini amat decemburui oleh Mira. Mira menggunakan kesempatan untuk berjaya dalam pelajaran. Pada waktu yang sama Joe jatuh cinta dengan Nani. Namun apabila mengetahui Nani anak orang gaji cintanya beralih ke arah Mira. Mira pula menjadi cemburu apabila Nani berkasih dengan Remy. Pelbagai tipu helah Mira lakukan untuk mendapatkan Remy akhirnya membawa bencana.

"Soal Hati"

"Soal Hati" mengisahkan cinta antara Daniel seorang yang berpelajaran tinggi dan memiliki segalanya dengan seorang jurujual, Nurul Ain. Daniel jatuh cinta pandang pertama ketika terlanggar Ain. Untuk memikat, Daniel memperkenalkan diri sebagai Ahmad kerana tidak mahu kedudukannya bakal menjauhkan Ain daripadanya. Ain merasa dirinya tertipu apabila mengetahui Daniel anak seorang kaya. Daniel terpaksa memujuk semula Ain kerana dia masih mencintai wanita itu. Filem arahan Othman Hafsham ini diterajui oleh Afdlin Shauki dan Erra Fazira.

"Soalnya Siapa?"

Diarahkan oleh Othman Hafsham, filem "Soalnya Siapa?" berkisar mengenai sambungan kisah cinta antara Nurul Ain dengan Ahmad Daniel. Hubungan mereka kembali teruji apabila Ain mula bersikap dingin setelah muncul orang ketiga. Keputusan Ain menerima pinangan orang lain merupakan tamparan hebat kepada Daniel. Masalah semakin rumit apabila Daniel secara spontan membuat pengakuan bahawa Profesor Dr. Sofiah adalah tunangnya. Ia dibintangi oleh Afdlin Shauki, Erra Fazira dan Ellie Suriaty sebagai peneraju.

Cinema Online, 07 Jan 2021

Waktu Tayangan