Temubual
Pelakon "Lari" kongsi pengalaman


Tarikh disiarkan: 11 Jun 2013

Pengarah dan penerbit terkenal, Ahmad Idham mengangkat isu perdagangan manusia menerusi filem terbarunya, "Lari".

Diterajui oleh Aaron Aziz, Hazama Azmi, Dira Abu Zahara dan Erin Malek, "Lari" yang padat dengan aksi ini turut menggunakan khidmat pengarah aksi filem Thailand terkenal "Ong Bak".

Kami sempat bertemu Hazama, Dira dan Erin yang berkongsi pengalaman mereka sepanjang penggambaran filem "Lari".

Apa yang membuatkan Hazama memilih untuk berlakon di bawah arahan Ahmad Idham sekali lagi?
Hazama:
Hubungan saya dengan Ahmad Idham sudah lama terjalin iaitu sebelum filem "Apa Celop Toqq" lagi. Saya sangat selesa bekerja dengan dia kerana Ahmad Idham mengetahui kelebihan dan kelemahan saya dan banyak membantu saya dalam menjayakan watak saya.

Bagi Erin pula, bagaimana rasanya bekerja dengan Aaron Aziz?
Erin:
Saya sangat seronok! Aaron banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi seorang pelakon yang bagus. Walaupun dalam filem "Lari" dia memegang watak sebagai abang saya, namun saya terasa seperti mempunyai abang sendiri ketika sepanjang penggambaran filem ini.

Erin ada melakukan aksi lagak ngeri sendiri?
Erin:
Karakter saya tidak memerlukan saya banyak melakukan aksi jika dibandingkan dengan Aaron. Saya hanya buat aksi yang senang sahaja seperti berlari dan melompat.

Berbalik kepada Dira, boleh ceritakan sedikit mengenai watak Maya yang dipegang Dira dalam filem ini?
Dira:
Saya memegang watak sebagai isteri kepada seorang lelaki jahat dimana saya tidak mempunyai banyak dialog sangat, namun saya perlu bermain dengan emosi dalam menterjemahkan watak Maya dengan lebih baik.

Dira ada melakukan aksi lagak ngeri sendiri?
Dira:
Saya sebenarnya berharap dapat melakukan banyak aksi lagak ngeri. Namun karakter saya dalam filem ini tidak memerlukan saya banyak melakukan aksi lagak ngeri.

Terima kasih Hazama, Erin dan Dira kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual!
Hazama, Dira & Erin:
Sama-sama, jumpa lagi!

Saksikan "Lari" di pawagam sekarang!

Penulis: Dzamira Dzafri